Sokong tindakan terhadap individu berpakaian mencolok mata

 



KUALA TERENGGANU - Kebanyakan masyarakat Terengganu yang ditemui bersetuju sekiranya kerajaan negeri menguatkuasakan tindakan terhadap individu Muslim yang berpakaian mencolok mata di tempat awam, namun ia perlu dilakukan secara berhikmah.

Pembantu kedai makan, Siti Zubaidah Ramli, 24, berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat membendung masalah sosial terutama dalam kalangan golongan muda.

"Walaupun ia mungkin tidak sepenuhnya mampu mengawal masalah sosial dalam kalangan kita, ia sekurang-kurangnya mampu mendidik kita menjadi insan yang lebih baik.

"Bagi seorang wanita, berpakaian mencolok mata juga boleh menarik perhatian dan tumpuan lelaki terhadap diri mereka. Jadi, adalah lebih baik sekiranya ia ditutup sekali gus dapat menjaga batasan yang ditetapkan dalam agama," katanya.

Bagaimanapun, Siti Zubaidah berkata, tindakan denda dan penjara bagi kesalahan perlu dilaksanakan sebaiknya bagi mengelak memberi tekanan kepada pesalah.

"Untuk ajak orang buat kebaikan ini bukan satu perkara yang muda. Seolah menarik rambut di dalam tepung. Kalau boleh, biarlah tindakan yang dikenakan itu secara berhikmah.

"Tetapi, menurut pengamatan saya, zaman sekarang ni payah juga nak nampak individu berpakaian mencolok mata di tempat awam di Terengganu. Makin ramai dah bertudung dan berpakaian sopan. Kalau dulu-dulu ya, ramai yang mendedahkan aurat," ujarnya.

Senada dengan Siti Zubaidah, Mohd Khairul Azali Muda, 27, berkata, sebagai rakyat dia berpandangan langkah dan usaha kerajaan untuk memacu sesuatu ke arah kebaikan wajar disokong.

"Sebagai rakyat biasa, sewajarnya kita ikut apa yang kerajaan buat. Kita sokong perkara-perkara yang menjurus ke arah kebaikan bersama," ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Afifah Pasaluddin, 23, pula berkata, dia bersetuju dengan langkah kerajaan itu, namun baginya langkah memupuk kesedaran perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan sesuatu undang-undang.

"Lebih baik bagi nasihat dulu sebab kadang-kadang mungkin juga yang berpakaian tidak sopan itu orang luar yang datang ke Terengganu untuk bekerja dan sebagainya.

"Mungkin juga dia tidak tahu undang-undang di sini. Jadi bagi saya lebih baik jangan hukum dulu, bagi nasihat, pupuk kesedaran dulu," katanya.

Menurut Aimi Athirah Zahari, 23, teguran bagi wanita Islam yang tidak bertudung wajar diberikan berbanding mengenakan hukuman yang berat.

"Kalau berpakaian ketat dan mendedahkan bahagian tubuh mungkin wajar dikenakan tindakan terus, tetapi bagi yang tidak bertudung tu agak sukar sekiranya mereka dikenakan tindakan secara keras," katanya.

Seorang pelancong dari Muar, Johor, Zainal Md Yusof, 57, berkata, dia menyokong penuh sekiranya kerajaan Terengganu ingin menguatkuasakan tindakan terhadap individu berpakaian tidak sopan di negeri itu.

"Saya setuju sangat kalau perkara ini mahu dikuatkuasakan kerana bagi saya eloklah nilai-nilai kesopanan kita amalkan dan terapkan dalam kehidupan seharian kita.

"Apa yang akan dibuat kerajaan negeri itu tiada salahnya. Alangkah elok jika kita semua kembali kepada pakaian menutup aurat dan membudayakan syariat Islam dalam kehidupan. Negeri kita pun akan lebih berkat," ujarnya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 1 Disember tahun lalu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pindaan itu juga bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.

Ia turut merangkumi tambahan peruntukan terhadap Seksyen 34 iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35 iaitu menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Post a Comment

0 Comments