Salutasi
Alhamdulillah kita bersyukur ke hadra Allah SWT kerana kita dapat bersama pada malam ini dan saya ucapkan tahniah dan syabas kepada PMINT di atas ulang tahun yang ke-60 ini.
Malam ini adalah malam kita meraikan perjalanan 60 tahun, sebuah institusi yang sangat penting kepada Negeri Terengganu iaitu Perbadanan Memajukan Iqtisad Negeri Terengganu yang ditubuhkan pada 1 April 1965 sebagai sebuah entiti untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.
Alhamdulillah, Kita telah sama-sama saksikan selama enam dekad ini, PMINT telah memikul amanah tersebut dengan ketekunan dan kesungguhan apabila negara memperkenalkan dasar ekonomi baharu pada tahun 1971. PMINT turut bangkit menyokong matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat khususnya di Negeri Terengganu Darul Iman yang kita kasihi ini.
Begitu juga dalam era dasar pembangunan nasional sejak tahun 1991 hingga 2000, PMINT terus mengambil peranan aktif dalam menjayakan pelan pembangunan yang memerlukan sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Aktiviti PMINT pula kini melangkau sektor yang luas meliputi aspek pembangunan hartanah, perladangan, agrobiotek, akuakultur, pembuatan dan perkhidmatan yang kesemuanya dilaksanakan secara langsung dan melalui anak-anak syarikat.
Usaha PMINT ini juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu, pembangunan modal insan yang berterusan sehingga ke arah memperkukuh asas ekonomi Bumiputera untuk melahirkan generasi usahawan serta pengusaha anak Terengganu yang cekap dan berdaya saing.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Malam ini juga kita akan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Perkhidmatan Lama PMINT 2025 dan penghargaan kepada Mantan Pengurus Besar sebagai penghargaan kepada usaha keras warga PMINT sejak sekian lama dalam menjalankan tugas yang amat berat ini. Sekali lagi, tahniah saya ucapkan pada semua.
Sudah tentu kejayaan PMINT ini bukan milik mana-mana orang tetapi ianya adalah milik kita semua. Ianya adalah milik rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Ianya adalah milik Negeri Terengganu yang kita cintai ini. Kepada keluarga dan pasangan warga PMINT yang selama ini menjadi penyokong tegar kepada warga PMINT. Setinggi terima kasih kepada semua.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
0 Comments