KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyelar pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang berterusan membangkitkan mengenai pemberian royalti petroleum kepada negeri itu.
Menurutnya, kerajaan negeri bertindak sedemikian kerana konsisten dalam menuntut hak negeri itu.
“Bila kita sebut acap kali tentang royalti petroleum, ada pihak mengatakan bahawa tidak ada kerja lain, hanya sebut hak royalti.
“Memanglah tak ada kerja lain sebab itu adalah hak kita. Kita konsisten daripada dulu,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah walau sedikit pun rasa royalti petroleum tersebut bukan hak negeri itu.
Ia katanya, memandangkan perjanjian berkenaan telah ditandatangani hasil daripada pembentukan Petronas dan perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas dahulu.
“Jadi, di mana silapnya sebuah kerajaan menuntut kembali apa yang sepatutnya diterima,” katanya.
Tambah beliau, cabaran pembayaran royalti itu tidak akan mematahkan langkah kerajaan negeri, sebaliknya akan terus bergerak dan mencari solusi untuk memastikan pembangunan negeri berjalan mengikut perancangan.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri menyifatkan isu pemberian royalti kepada negeri itu sebagai satu episod hitam yang mencalar hak rakyat Terengganu.
Menurut beliau, bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022, berlaku episod baharu dalam pemberian royalti di Terengganu yang turut dianggap tidak patut berlaku pada zaman moden ini.
Katanya, ia apabila kepentingan politik melebihi daripada kepentingan melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.
“Secara kumulatifnya daripada royalti petroleum Negeri Terengganu bagi tempoh 2023 hingga 2025, Kerajaan Negeri sebenarnya hanya dibenarkan mengurus 50 peratus sahaja dan tidak mengikut perjanjian iaitu dua kali setahun,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Ahmad Samsuri, kerajaan negeri sukar untuk membuat perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri apatah lagi perkara yang berkait dengan rakyat Terengganu. – MalaysiaGazette

0 Comments