'Beri bantuan ikut kelayakan, bukan berdasar fahaman politik'

SHAH ALAM: PAS menegaskan parti itu melaksanakan amalan menyalurkan bantuan kepada rakyat berdasarkan kelayakan dan bukannya dipilih mengikut fahaman politik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mendakwa amalan bantuan terpilih berlaku di tempat lain tetapi di negeri itu, PAS berjaya menghentikan amalan lama.

Katanya, perkara itu yang dianggap kecil tetapi jika tidak ditangani, ia akan memberi kesan tidak sihat kepada rakyat.

"Sebelum ini, mahu minta biasiswa perlu jumpa dan minta tandatangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mereka pula tanya orang mana? Kalau orang PAS maka tidak dapat.

"Itu yang berlaku dalam masyarakat sebenarnya, apa yang kita jangka, mereka mesti marah dan geram akhirnya seteru dalam politik semakin berkembang dalam kalangan masyarakat.

"Begitu juga atas pelantikan jawatan dalam kerajaan negeri walaupun untuk jawatan rendah sebagai 'peon' (pembantu am) jika ahli PAS mereka tidak dipilih," katanya dalam ucaptama Majlis Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 Create Better Malaysia, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, sebarang bantuan untuk rakyat dan lantikan jawatan dalam kerajaan sepatutnya bebas daripada isu politik, malah perlu diagih-agihkan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Sebab itulah, saya tekankan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu supaya bantuan perlu diberikan kepada mereka yang layak tanpa melihat ideologi politik. Kalau cukup syarat bagi apa yang diperlukan," katanya.

Post a Comment

0 Comments