`Lambaian Bayu' produk pelancongan baharu Terengganu

 

KUALA TERENGGANU: Projek Lambaian Bayu bernilai RM200 juta yang akan dibangunkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), bakal menjadi produk pelancongan baharu Terengganu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata projek membabitkan kawasan pesisir pantai sepanjang 16 kilometer bermula dari Teluk Ketapang hingga ke Pantai Pandak, Chendering, dekat sini, dijangka mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan bermula tahun ini.

Katanya, ia membabitkan pembangunan enam zon secara berperingkat iaitu Zon Pesisir Payang, Zon Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Zon Primula Batu Burok, Zon Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak.

"Sebagai contoh, Zon Pesisir Ketapang akan dibangunkan sebagai hab sukan melalui pembinaan dua gelanggang bola sepak pantai, trek ATV (kenderaan serba rupa bumi) dan trek berkuda.

"… manakala pembangunan Zon Muara Ibai pula berkonsepkan taman cahaya dengan pembinaan chalet-chalet, taman karavan serta tapak perkhemahan dan landskap muara," katanya pada sidang media di Wisma MBKT di sini, hari ini.

Rosli berkata Projek Lambaian Bayu bertemakan 'Warisan Pesisir Air' itu akan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di negeri ini yang tertumpu di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah.

Situasi itu, katanya, menyebabkan rakyat terutama golongan peniaga di tanah besar kurang menikmati limpahan ekonomi daripada kemasukan pelancong di negeri ini.

"Dengan adanya produk pelancongan menarik di tanah besar, pelancong akan berminat untuk menginap dan berbelanja di tanah besar selain menikmati percutian mereka di pulau.

"Kita jangka 500 peniaga dan usahawan kecil yang akan menjalani penyusunan semula di lokasi-lokasi yang akan dibangunkan bakal mendapat manfaat daripada projek ini nanti," katanya.

- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments