KUALA TERENGGANU: Tindakan Kerajaan Persekutuan menyekat royalti buat Terengganu tetapi kemudian meminta negeri itu menjana hasil baharu minyak dan gas dilihat sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Itu penegasan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berkata juga bahawa tindakan itu seumpama ‘mengikat kaki dan tangan kemudiannya disuruh berenang’.
Sehubungan itu, beliau mengumpamakan negeri-negeri di Malaysia sebagai anak-anak kepada Kerajaan Persekutuan sebagai bapa.
“Anak-anak yang lain dapat berenang bebas, puncanya kerana anak ini berbeza pandangan politik kepartian dan ada rakan taulan baik.
“Si bapa ini pula beranggapan jika ditekan, disusahkan, dan dilemaskan anak ini, mungkin akan ada hasilnya kepada ‘kawan ayah’ di suatu hari nanti di tempat bertuah ini.
“Justeru, saya ingin tegaskan, bahawa mana-mana pihak yang merancang dan menyambut dengan gembira sekatan ‘wang royalti minyak dan gas’ ke Negeri Terengganu, atas apa jua alasan kepentingan politik atau tidak, merekalah sebenarnya kelompok yang membawa rakyat, masyarakat, negeri dan negara ke belakang, dan wajar ditolak oleh rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketikamenjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Kedua Penggal Dua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Ahmad Shah dalam soalan asal meminta Samsuri menyatakan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada kerajaan negeri.
Dalam pada itu juga, Samsuri menganggap pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan negeri menuntut hak wang royalti seperti peribahasa ‘sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’.
Beliau berkata, ini kerana bagi rakyat minyak dan gas yang diperolehi di negeri ini adalah hak Terengganu sejak 1978.
“Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam sidang yang lalu dan di Dewan Rakyat, dan yang termaktub dalam berbagai dokumen rasmi dan kontrak…keadaan ini pula hanya bermula dan berlaku akibat daripada perbezaan politik pilihan rakyat dalam pilihanraya.
“Oleh yang demikian, adalah tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan kenapa Terengganu bergantung kepada hasil minyak dan gas sedangkan pada kami ini adalah hak negeri, sama ada saudara yang kebingungan ini suka atau tidak,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024
0 Comments