Kerajaan Terengganu sedia teliti keputusan Mahkamah Persekutuan


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan meneliti semula keputusan Mahkamah Persekutuan melibatkan 18 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019, Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penelitian itu merangkumi semua aspek berdasarkan kepada keputusan mahkamah tersebut.

 Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Terengganu tidak bercanggah dengan peringkat Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pihak yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau menggangap keputusan Mahkamah Persekutuan itu dilihat memberi impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Kelantan malah melibatkan seluruh negara termasuk Terengganu.

“Sekiranya semua ini berterusan, kita bimbang Mahkamah Syariah selepas ini tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Post a Comment

0 Comments