Program Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Terengganu 2025


SALUTASI
Muqaddimah

1. Alhamdulilah Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana pada pagi ini Kita dapat bersama dalam Program Walimatulurus Perdana peringkat Negeri Terengganu 2025  di Hulu Terengganu yang saya juga difahamkan diadakan serentak di seluruh Negeri Terengganu di keseluruhan daerah-daerah Di Negeri Terengganu.

2. Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru yang pagi tadi secara serentak diijabkabulkan seramai 192 orang pasangan seluruh negeri dan 20 pasangan bagi daerah Hulu Terengganu. Tahniah kepada para ibubapa pengantin, ahli-ahli keluarga dan semua pihak yang menjayakan program pada hari ini.  

3. Kalau Kita tengok pasangan pengantin sebelum akad nikah pagi tadi mungkin kita nampak raut wajah yang berdebar-debar. kalau kita tanya dia kata debo boh. Lepas selesai belake doh, masuk dalam dewan ini kita dapat tengok senyum simpul belaka hok laki, hok puan pasangan pengantin senyum. Kalau kita ambik masa seminggu lagi kita tanya dia pulok guane kehidupan baru? Pada waktu itu saya rasa jawapan dia kalau tahu gini, setahun doh nikah. Itulah bagi kami semua ingin menyampaikan setinggi-tinggi tahniah kepada pasangan pengantin. Anda telah menempuh alam yang baru dan tentunya alam ini penuh dengan suka duka, ada kebahagiaan, ada kepayahan dan sebagainya. Tempuhilah dengan bersama sebagai satu keluarga dan insya-Allah selepas 9 bulan, setahun nanti akan dikurniakan cahaya mata yang akan mengeratkan lagi hubungan di antara suami dan isteri.

Walimatulurus Perdana

Para hidirin sekalian,

4. Sebagaimana Yang Kita semua maklum, perkahwinan adalah merupakan satu sunnah Nabi SAW serta fitrah manusia melalui satu ikatan yang diberkati Allah SWT. Ia juga merupakan suatu perjalanan yang panjang dalam membina baitul muslim, sebuah rumahtangga muslim. Ianya adalah suatu amanah yang besar, yang memerlukan kesabaran, persefahaman, toleransi, dan kasih sayang yang berterusan. 
 
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu, maka berkahwinlah...” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penutup

Hadirin dan hadirat sekalian,

5. Saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada pengantin-pengan dan ahli keluarga dan seluruh agensi yang menjayakan Program Walimatulurus Perdana peringkat Negeri Terengganu bagi tahun tahun ini bukan sahaja di Daerah Hulu Terengganu tetapi di seluruh Negeri Di Terengganu.

6. Ada pantun,

Ke Hulu Terengganu membeli tepung, 
Untuk dibuat kuih bahulu,
Hari ini kita berkampung,
Meraikan Mempelai Pengantin Baru.

Ikan tenggiri di tengah lautan,
Pergi memukat bersama nakhoda;
Suami isteri saling meraikan,
Bahagia hidup kekal selamanya.

7. Dengan membaca Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Program Walimatulurus Perdana peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 2025.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah
.والسلام عليكم ورحمة الله وبركات


Post a Comment

0 Comments