Terengganu usaha bangunkan kapasiti pelbagai bidang


 KUALA TERENGGANU: Dialog ‘Resilient Terengganu 2024’ (RTD2024) yang dianjurkan Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS) hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan kapasiti menerusi pelbagai bidang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, dialog itu diadakan bagi mengumpul dapatan konstruktif daripada para ahli panel yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

“Perspektif dan saranan yang berdasarkan bukti faktual sangat penting untuk membantu kepimpinan kerajaan negeri dalam membuat keputusan dan tindakan yang berpandukan data atau data-driven,” katanya ketika merasmikan RTD2024 di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob.

Katanya, dialog tersebut merupakan sambungan daripada Persidangan Terengganu Sejahtera 2022, yang menekankan keperluan untuk bermula dari sekarang.

Beliau berkata, cabaran seperti kesihatan di peringkat global, perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, gangguan amalan federalisme dan perkembangan pesat ‘Internet of Things’ (IoT) ‘Artificial Intelligence’ (AI) menjadi tumpuan utama dalam dialog itu.

“Justeru, kita mesti bijak dan cepat mengurus cabaran-cabaran ini supaya kita tidak terperosok di dalamnya sebaliknya mendapat manfaat dan menjadi semakin kuat daripadanya,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, tema resilient atau berdaya tahan adalah penting dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan.

“Saya berharap menerusi dialog inilah yang akan mencetuskan inovasi dalam perancangan, pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri Terengganu.

“Hubungan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan badan-badan pemikir tidak akan berhenti pada program ini sahaja, tetapi akan diteruskan melalui pelbagai projek penyelidikan, inisiatif living lab, aktiviti advokasi, dan program-program lain,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada semua pembentang daripada enam badan pemikir dan pusat penyelidikan ternama di negara ini.

“Antara yang hadir ialah IDEAS, Merdeka Center, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Khazanah Research Institute (KRI), Institute for Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) dan AmInvestment Bank Berhad.

“Saya berharap program dialog tersebut akan menjadi acara tahunan untuk memperkukuh keberdayaan negeri Terengganu,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments