Perasmian Kiosk Layan Diri Terengganu Pay


 1. Alhamdulillah pada pagi ini, kita menyaksikan Perasmian Kiosk Layan Diri Terengganu Pay yang sudah dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO tadi berkenaan dengan peranan dan tujuan kenapa diwujudkan Kiosk Terengganu Pay ini.

2. Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Terengganu 2020 yang lalu, pelbagai pelaksanaan inisiatif e-pembayaran melalui penjenamaan Terengganu Pay telah diperkenalkan sebagai pendekatan bagi mewujudkan persekitaran masyarakat tanpa tunai atau cashless society dalam kalangan rakyat Terengganu. Jadi untuk permulaan ini, sebanyak 8 unit Kiosk Layan Diri  Terengganu Pay telah disediakan dan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk di Wisma Darul Iman, Pejabat Tanah dan daerah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus serta beberapa tempat yang terpilih.

3. Sudah tentu apabila kita melaksanakan inisiatif yang seperti ini, objektif kita yang pertama ialah untuk memudahkan pengguna di kalangan rakyat pelbagai golongan, pelbagai kefahaman, pelbagai latar belakang untuk menggunakan kiosk ini untuk memudahkan kerja mereka. Dan dalam masa yang sama, lebih mudah kepada Kerajaan Negeri. Daripada senantiasa berdepan di kaunter-kaunter dan sebagainya. Mungkin hasil daripada penggunaan kiosk ini boleh mengurangkan bottleneck di kaunter-kaunter dan sebagainya, dan ini menambah kecekapan. Jadi ada dua, ada beberapa multi-PROM strategi kenapa pelaksanaan ini adalah sangat baik kepada rakyat dan juga kepada Kerajaan Negeri.

4. Dalam masa yang sama, saya percaya bahawa pelaksanaan yang seperti ini tentunya kita akan berdepan dengan rungutan-rungutan awal daripada para pengguna yang mungkin tak biasa, yang mungkin atas pelbagai sebab; tak dapat akses, tak dapat baca, tak dapat baca kad, touch tak jalan dan sebagainya. Yang semuanya perlu kita hadapi dengan perasaan yang tenang dan cuba kita selesaikan satu persatu. Dan memang di mana-mana organisasi pun apabila diperkenalkan satu benda baru, terutama yang melibatkan pengguna di kalangan rakyat, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Dan ini memerlukan proses penambahbaikan secara berterusan sebab itu dia ada version 1, version 2 dan sebagainya. 

5. Dalam kita mengadakan perkhidmatan seperti ini, bagaimana yang saya sebut tadi, objektif untuk memberi kebaikan, kemudahan daripada rakyat itu mesti the top priority. Jadi, kalau rungutan daripada rakyat tiba-tiba dia guna, dia rasa koho payah, patut makin senang. Dia kata koho payah bermakna tentu ada sesuatu yang boleh kita tambah baik sama ada memberi penerangan kepada rakyat cara penggunaan - benda baru, memanglah benda baru. Bila mula-mula kita pergi ke restoran, kena scan, lepas itu order pakai tekan-tekan saja, memanglah. Awal-awal itu, orang-orang tua, orang lama yang masih lagi pakai Nokia dan Ericsson ini, mengamuklah sampai ada yang keluar kedai, tak nak order.

6. Dia kata kalau macam ini, macam tak nak bagi orang makan, tak nak orang beli. Itu adalah respon awal yang tidak melemahkan kita. Dan jika ada berlaku kelemahan dan sebagainya, mana-mana yang berkait dengan teknologi yang boleh kita tambah baik bahagian teknologi maklumat, lakukanlah dengan hati yang terbuka dan dengan segera tanpa memerlukan kita kumpul masalah-masalah ini berlonggok, di suatu-suatu masa baru kita lakukan penambahbaikan.

7. Jadi, mana-mana dan dalam masa yang sama, tentulah kita ingin menambah kiosk-kiosk ini supaya jangkauan kepada rakyat itu makin luas. Dan yang seterusnya ialah saya rasa kita juga tidak ingin kekal dengan apa yang kita ada sahaja dalam menu. Tentulah kita ingin integrate dengan perkara-perkara lain yang tidak menjadi halangan dalam peraturan perbankan, tidak ada halangan dari segi Bank Negara Malaysia dan tidak ada halangan dari segi peraturan-peraturan kewangan.

8. Jadi, mana-mana yang kita boleh integrate-kan pembayaran lain yang mungkin setengah itu tidak berkait dengan Kerajaan Negeri tapi boleh dibayar menggunakan kiosk, sekiranya menepati syarat-syarat yang saya sebutkan tadi tanpa mengganggu peraturan bank negara dan sebagainya, saya rasa boleh kita tambah baik supaya dia menjadi the truly one stop centre kepada rakyat untuk melakukan pembayaran.

9. Memanglah pada ketika ini kita ada pelbagai medium yang saya anggap kita jangan fikir ianya adalah merupakan competitor kita, walaupun dari satu segi kita merasakan mereka adalah pesaing kita. Contohnyalah, Touch & Go, contohnya dan lain-lain. Ada entity yang merasakan bahawa Touch & Go contohnya, oleh kerana penggunaan mereka sangat meluas menjangkaui soalan macam bank, tapi mereka bukan bank. Jadi seolah-olah mengambil ruang orang lain ataupun dalam bahasa Terengganu kita, masuk sempadan orang lain, kita duduk galau tanah orang lain. Tapi,saya rasa dalam dunia tanpa sempadan seperti ini, kekangan peraturan undang-undang mesti ada, itu sebagai syarat utama. Tetapi mana-mana yang boleh kita kembangkan supaya memberi kemudahan, saya rasa kita boleh laksanakan. 

10. Walaupun mungkin pembayaran itu tidak berkait dengan Kerajaan Negeri kita, kita kata mungkin buat apa kita susah-susah? Kerajaan Negeri kita collect yang berkait dengan Kerajaan Negeri sajalah. Yang tak berkait, yang jenis top up- top up, yang tak support kita nak buat sini, kita membantu syarikat orang lain. Tetapi kita sebagai kerajaan, kita kena berfikir lebih daripada itu lagi. Bahawa apa yang kita sediakan ini adalah untuk kebaikan rakyat, memudahkan rakyat, bukan kerana kita ingin bersaing dengan mana-mana pihak.

11. Mudah-mudahan, inisiatif ini akan terus menyumbang kepada usaha kita bersama untuk membina negeri yang lebih maju, lebih moden, lebih sejahtera dan mendatangkan kebaikan, bukan sahaja kepada negeri, bahkan kepada rakyat kita sendiri.

12. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kiosk Layan Diri Terengganu Pay. Semoga terus memberikan manfaat secara bersama kepada kita semua.

Sekian, Wabillahi Taufiq, Wal Hidayah. Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Post a Comment

0 Comments