Assalamualaikum wrh brh
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ahli Dewan Rakyat dan Negara, Ketua – Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai – Pegawai, wakil Syarikat Berkait Kerajaan, wakil Badan Berkanun, para pemerhati di atas sana, tetamu jemputan dan semua yang hadir dalam Dewan yang mulia ini.
1. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT diatas kesempatan yang telah diberikan kepada kita semua, untuk sama-sama berada dalam dewan yang mulia ini dengan penuh yang harmoni dan sejahtera.
2. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih, kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu. Ribuan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan pandangan-pandangan yang bernas dan menarik, untuk diteliti dan dipertimbangkan, bagi mencapai matlamat Terengganu Maju Berkat Sejahtera. Saya dapati kali ini perbahasan di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam suasana yang lebih baik dengan cadangan-cadangan dan pandangan-pandangan yang telah diberikan.
Hasil Negeri Terengganu
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat
3. Terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Besut, Kuala Berang, Kemasik, dan Manir yang menyentuh tentang hasil kerajaan negeri termasuk royalti serta peranan GLC dalam memangkin ekonomi negeri.
4. Secara asasnya pada tahun 2025, jumlah hasil negeri adalah berjumlah RM 1.92 bilion. Jumlah hasil ini melibatkan hasil cukai sebanyak RM 104.9 juta, hasil bukan cukai berjumlah RM 282.3 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM 1.54 bilion di mana RM1.37 bilion daripadanya merupakan bayaran royalti petroleum.
5. Untuk rekod, daripada RM 1.37 bilion royalti hanya RM 659 juta sahaja disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri. Manakala RM 713 juta atau 52% daripada royalti petroleum tidak disalurkan ke akaun Kerajaan Negeri. Keadaan ini mengulangi penyaluran royalti pada tahun 2023 (disalurkan hanya RM802 juta daripada RM 1.52 bilion) dan 2024 (disalurkan hanya RM 733 juta daripada RM 1.55 bilion). Secara kumulatifnya, sebanyak RM 2.25 bilion tidak disalurkan kepada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat
6. Walaupun kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai tekanan yang bolehlah kita katakan sebagai “paksa – rela” ini dan kaedah pembayaran yang ajaib berbanding dengan negeri yang sama parti antara Negeri dan Persekutuan, alhamdulillah, dari sudut yang lain, kita telah berjaya meningkatkan hasil janaan Kerajaan Negeri kepada RM 454.69 juta untuk tahun 2025 berbanding RM 267.77 juta pada tahun 2024. Angka ini merupakan satu sejarah baharu di Negeri Terengganu. Sebelum ini capaian hasil negeri tidak pernah mencapai angka RM 300 juta.
7. Saya mengambil kesempatan hari ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berusaha untuk meningkatkan hasil negeri Terengganu sekaligus merealisasikan sebahagian Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu (New Income Terengganu) yang kita sasarkan hasil negeri sebanyak RM 500 juta menjelang tahun 2030.
8. Selain itu juga, menyentuh berkenaan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), saya masih ingat pada tahun pertama pentadbiran kita pada tahun 2019 lalu, kita telah melakukan beberapa transformasi pengurusan dan penjajaran (re-alignment) GLC. Alhamdulillah, hari ini kita telah dapat merasai hasil daripada usaha sebelum ini, antaranya ;
a. Pendapatan Kasar (Gross revenue) Kumpulan Terengganu Inc daripada RM 964 juta pada tahun 2018, telah berjaya kita tingkatkan kepada RM 2 bilion pada tahun 2025. Dalam tempoh 7 tahun kita berjaya tingkatkan pendapatan Kumpulan TI sebanyak RM 1 bilion atau 104%.
Untuk pelan jangka panjang 5 tahun, Kumpulan TI menyasarkan pendapatan RM 3.9 bilion pada tahun 2030, peningkatan sebanyak RM 1.9 bilion atau 95% dari tahun 2025.
b. Pendapatan TDM Berhad pula meningkat daripada RM 398 juta pada tahun 2018 kepada RM 768 juta pada tahun 2025.
Pada tahun 2018, TDM Berhad telah mengalami kerugian sebanyak RM 36 juta dan alhamdulillah, kita telah berjaya pulihkan, hasilnya pada tahun 2025, TDM telah berjaya mencatat keuntungan RM 19 juta.
c. Pendapatan EPIC juga meningkat kepada RM 409.4 juta pada tahun 2025 berbanding RM296.9 juta pada tahun 2018.
9. Tahniah dan terima kasih kepada semua, semoga prestasi yang baik ini akan terus dipertingkatkan sama ada diperingkat kerajaan negeri, agensi dan badan berkanun dan GLC untuk manfaat rakyat dan negeri Terengganu.
Geopolitik dan Harga Bahan Api
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat
10. Yang Berhormat Bandar, Pengkalan Berangan, Ladang, Sura, Rantau Abang, Air Putih dan Bukit Besi membahaskan berkenaan konflik geopolitik yang sedang berlaku dan kesannya kepada negeri serta negeri kita. Terima kasih atas pelbagai cadangan dan saranan yang diberikan dan saya dapati sudah ada respon yang telah diberikan oleh Yang Berhormat EXCO-EXCO mengenai pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan diambil berdasarkan pada portfolio masing-masing.
11. Namun, izinkan saya menambah sedikit sebagai melengkapkan respon-respon yang telah diberikan sebelum ini. Sebagaimana yang kita semua tahu, kedudukan geopolitik semasa telah memberi kesan langsung kepada ekonomi negeri.
12. Ianya berpunca dari kuasa besar Amerika Syarikat dan regim Zionis yang telah mengambil tindakan Unilateral terkutuk yang kita kategorikan sebagai state terrorism ke atas Replublic Sebelah Iran. Kesannya Reaction chain atau domino effect daripada peningkatan harga minyak adalah sangat besar dan meliputi semua sektor ekonomi.
13. Situasi ekonomi stagflasi iaitu situasi di mana berlaku kelembapan atau kemerosotan pertumbuhan ekonomi dan kenaikan kadar inflasi berlaku secara serentak. Kesan kepada pengeluar atau firma adalah meningkatkan kos pengeluaran dan kesan kepada pengguna pula, adalah peningkatan harga barang, yang menjejaskan disposable income (pendapatan boleh guna) yang akhirnya mengurangkan kuasa beli rakyat.
14. Kesan sebegini adalah kepada semua rakyat. Semua rakyat berdepan dengan tekanan ekonomi bermakna – tanpa mengira keahlian parti politik, tanpa membezakan apakah anutan agama seseorang, tanpa mengira kaum dan etnik, tua atau muda semua terkesan kepada tekanan ekonomi yang sedemikian.
15. Oleh yang demikian, sebarang langkah untuk mewujudkan dasar intervensi perlulah berlaku adil kepada semua kelompok. Itulah komitmen kita kepada rakyat negeri Terengganu, dan kita juga berharap agar pendekatan yang sama diamalkan oleh semua pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan.
16. Manakala, bagi ekonomi negeri Terengganu, sektor perkhidmatan khususnya sub sektor borong dan runcit, sektor pertanian dan sektor pembinaan dijangka paling teruk terjejas. Dalam keadaan kedudukan fiskal negeri yang ketat ekoran isu-isu yang berkait wang royalti petroleum, keupayaan Kerajaan Negeri agak terbatas.
17. Namun demikian, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dan saya telah meminta YB SUK, Pejabat Perbendaharaan dan UPEN untuk menilai dan menyusun semula perbelanjaaan negeri dan inisiatif bantuan serta sokongan kepada golongan rentan.
18. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan membuat penjajaran semula (re-alignment) terdapap Belanjawan Negeri.
a. Pengubahsuaian belanjawan akan memfokuskan kepada perbelanjaan untuk menggerakkan ekonomi yang menjurus kepada ’sector based’, iaitu memberi tumpuan kepada sektor keutamaan yang mempunyai rantaian ekonomi terluas dan penglibatan rakyat paling ramai tanpa pengabaian sektor lain (merujuk kepada sumbangan dalam KDNK).
b. Pelaksanaan program-program keraian juga akan dikurangkan serta dikaji semula untuk memberi tumpuan kepada suntikan insentif ekonomi dalam pelbagai bentuk.
19. Manakala, bagi inisiatif sokongan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian moratorium kepada peminjam-peminjam Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) sehingga 12 bulan.
20. Kerajaan Negeri juga sedang membuat kajian terhadap beberapa inisiatif-inisiatif lain iaitu:
I. Pemberian moratorium kepada peminjam-peminjam Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).
II. Pemberian insentif pesawah.
III. Kajian semula beberapa item di dalam Jadual Kadar Harga, Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu khususnya melibatkan bahan-bahan binaan yang mengalami kenaikan harga yang mendadak.
21. Selain dari itu, pelaksanaan projek pembangunan dan program akan dibuat penilaian semula keperluannya. Projek atau program yang berimpak tinggi dan memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian, IKS dan pelancongan akan terus dilaksanakan.
Penyatuan Ummah
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat
22. Yang Berhormat Sura, Jertih dan Bukit Tunggal ada membangkitkan berkenaan agenda Penyatuan Ummah sempena penganjuran Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026. Saya kira Yang Berhormat EXCO telah memberikan ulasan yang baik, namun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan beberapa pandangan.
23. Negeri Terengganu perlu menjadi penghubung utama dan menunjukkan contoh dalam agenda penyatuan ini terutamanya melibatkan orang Melayu-Islam. Kita tidak boleh membiarkan perbezaan politik atau kepelbagaian aliran-mazhab menjadi benih perpecahan yang menggugat kestabilan negara; sebaliknya, kita wajib memastikan ukhuwah sesama umat Islam terus terpelihara.
24. Oleh itu, semua pemimpin dan wadah perjuangan di pelbagai bidang perlu mengetepikan kepentingan sempit. Kita perlu sedar bahawa perpecahan akan hanya melemahkan kuasa kolektif umat Islam. Dengan menyatukan matlamat demi kemaslahatan ummah, kita mampu membina sebuah kepimpinan yang teguh dan dihormati, tanpa membiarkan perbezaan pandangan, termasuk perbezaan fahaman politik, agar tidak menjadi punca keretakan ukhuwah. Sebagai pemimpin kitalah yang mencorak bentuk negara, negeri dan rakyat kita sendiri.
Perpaduan Kaum
25. Namun di masa yang sama harus kita ingat bahawa kerangka Penyatuan Ummah ini tidak sesekali meminggirkan elemen perpaduan antara kaum. Pada hari ini, hubungan antara kaum di negara kita seolah-olah berada di persimpangan yang membimbangkan dan ada saatnya dilihat semakin renggang dan menjarak dalam diam.
26. Kita mesti yakin, bahawa masyarakat majmuk yang kita warisi ini adalah merupakan satu nikmat Tuhan yang tiada taranya, namun tanpa pengurusan yang bijak, ia boleh berubah menjadi malapetaka, sebagaimana yang telah meranapkan keharmonian di negara-negara luar termasuk negara yang menjadi juara demokrasi dan hak asasi manusia. Kita juga harus ingat, bahawa kita dipilih untuk menjadi pemimpin semua rakyat, bukan untuk orang Melayu sahaja, bahkan untuk semua kaum : kaum Cina, Tamil, Kadazan, Iban, Bidayuh dan sebagainya.
27. Sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan kembali roh Integrasi Nasional, bukan sekadar sebagai satu konsep politik, tetapi sebagai suatu janji ikhlas untuk saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Kita mahu melihat setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berdiri teguh dengan semangat toleransi yang bukan sekadar 'setuju untuk tidak bersetuju', malah benar-benar menghormati maruah sesama insan.
28. Kita perlu mengimbau kembali saat-saat di mana perbezaan warna kulit dan budaya menjadi kekuatan, bukannya jurang pemisah. Marilah kita merangkul diversity atau warna-warni perbezaan ini dengan hati yang terbuka. Biarlah kepelbagaian ini menjadi simfoni yang indah dalam membina sebuah negara-bangsa yang berjaya. Kerana pada akhirnya, kualiti sesebuah tamadun itu tidak dinilai pada megahnya bangunan, tetapi pada sejauh mana kita mampu hidup rukun dan damai sebagai satu komuniti besar Malaysia.
29. Jika kita mengikuti media sosial, contohnya jika kita melihat video pemilik akaun facebook minyak hitam jalanan original (ini sebagai satu contoh), yang membaiki motosikal seorang pelanggan berbangsa Cina yang dalam kesempitan tanpa mengambil upah.
30. Apa yang menggembirakan saya adalah semangat persaudaraan yang merentas sempadan kaum dan agama, di mana kesusahan seorang manusia dirasai bersama tanpa prejudis identiti.
31. Itulah juga yang kita ikuti, dalam satu eksperimen sosial (social experiment) yang dilakukan oleh seorang pemuda berbangsa Cina yang mengunjungi beberapa rumah orang Melayu di kampung di Terengganu, untuk meminta ihsan bantuan, dan dilayan dengan penuh rasa hormat dan harmoni, sehingga menyebabkan airmata kita bergenang atas satu sebab : bahawa inilah semangat keharmonian, hormat menghormati, faham memahami, dan budaya serta adat kita sebagai rakyat Malaysia, yang kita impikan selama ini.
32. Lebih menyentuh hati saya, berkumpulnya masyarakat daripada pelbagai kaum memberikan komen-komen positif akan perpaduan kaum di negara kita. Inilah gambaran sebenar naluri kita yang rindukan perpaduan dan cintakan keharmonian. Kita perlukan lebih banyak video dan naratif sebegini untuk mengepung kembali rakyat Malaysia ke arah perpaduan bukannya perpecahan.
33. Oleh itu, saya menggesa, setiap perkara yang kontroversi dan menyentuh sensitiviti perlulah diselesaikan dengan cara perundingan, diplomasi dan dalam suasana kekeluargaan. Bukannya dilayani dengan cara konfrontasi dan apologetik. Malah yang paling utama segala pertelingkahan mesti kembali kepada asas yang membina negara kita, asas Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang dan Kontrak Sosial yang membentuk negara kita.
34. Akhirnya, marilah kita mengurus kepelbagaian ini dengan penuh hikmah. Kita raikan keunikan masyarakat majmuk ini bukan sebagai liabiliti, tetapi sebagai suatu aset kekuatan. Kita berazam untuk memimpin naratif penyatuan Melayu-Islam dan perpaduan antara kaum di Malaysia sebagai prasyarat kepada kestabilan nasional, yang akan menjamin kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dalam negara Malaysia yang tercinta ini.
35. Biarlah dari bumi Terengganu ini, bermulanya sebuah gerakan yang menyatukan hati, memadamkan api prejudis, dan membina semula sebuah negara-bangsa yang rukun, damai, dan disegani di mata dunia.
Penutup
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua
Ahli-Ahli Yang Berhormat
36. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, ahli-ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang sidang DUN ini dijalankan, dan Bentara Dewan yang menjalankan tugas dengan penuh cemerlang sepanjang sidang ini berjalan.
37. Dengan ini saya, menyokong dan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu.
Sekian, terima kasih.
0 Comments