Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ampun Tuanku,
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin,
Pemangku Raja Terengganu.
Ampun Tuanku,
Patik dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung duli dan menjunjung setinggi-tinggi kasih, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, di atas limpah perkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pembukaan Ujana Tenaga yang penuh bersejarah pada pagi ini.
Sesungguhnya dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke majlis ini, yang pastinya memberi makna yang begitu besar kepada pihak PETRONAS dan Muzium Negeri Terengganu di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap usaha pihak PETRONAS menaik taraf sebuah galeri Pertolium yang dahulunya menjadi Ujana Tenaga sebagai pusat pembelajaran dinamik yang menghubungkan sejarah, sains, teknologi dan inovasi.
Ampun Tuanku,
Patik mohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik berucap sepatah dua kata kepada hadirin yang hadir di majlis pada pagi ini.
Ampun Tuanku,
(Salutasi)
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
1. Pembukaan Ujana Tenaga PETRONAS ini adalah menjadi simbol hubungan erat dan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS.
2. Kerjasama ini tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata. Malah merangkumi pendidikan, pembangunan modal insan, pemuliharaan warisan dan pembudayaan ilmu.
3. Ujana Tenaga PETRONAS mencerminkan penjenamaan baharu peranan PETRONAS dan institusi muzium dalam mendidik masyarakat. Muzium kini boleh berfungsi sebagai pusat pembelajaran dinamik yang menghubungkan sejarah, sains, teknologi dan inovasi.
4. Dalam era digital dan teknologi baharu, Ujana Tenaga PETRONAS menawarkan pengalaman pameran yang interaktif dan berasaskan teknologi moden. Pendekatan ini diharapkan mampu menarik minat generasi muda, meningkatkan literasi tenaga dan teknologi serta menyemai kefahaman tentang kepentingan pengurusan sumber secara lestari.
5. Saya percaya, inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, rakyat awam dan mampu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar dan penyelidik.
6. Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik, patik sekali lagi menjunjung duli dan menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas limpah perkenan mencemar duli berangkat ke majlis ini.
Ampun Tuanku,
Sekian,
Wabillahi Taufiq, Wal Hidayah.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

0 Comments