KUALA TERENGGANU: Hukuman enam sebatan ke atas seorang tukang rumah yang didapati bersalah berkhalwat berulang yang dilaksanakan di khalayak ramai berjalan lancar dengan penuh tertib dan mematuhi prinsip keadilan Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata hukuman dilaksanakan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai satu bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan kepada masyarakat supaya lebih dekat dengan nilai Islam.
Katanya, kerajaan negeri akan kekal komited menjunjung amanah bagi memastikan segala dilakukan selaras dengan syariat Allah dan undang-undang negara.
"Kita merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan pelaksanaan itu terutama Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengurusan masjid, Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) serta pegawai penguat kuasa.
"Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses itu dilaksanakan dengan telus, adil, dan penuh hikmah," katanya melalui Facebooknya hari ini.
Hukuman sebatan ke atas Mohd Affendi Awang, 42, dilaksanakan di dewan A'asim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah, kira-kira jam 2.50 petang tadi.
Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang dijatuhi hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas Mohd Affendi mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Ahmad Samsuri mengharapkan hukuman sebat itu akan menjadi contoh pelaksanaan syariah yang membawa rahmat kepada seluruh rakyat.
0 Comments