Dr Ahmad Samsuri calon PAS PRK Kemaman


KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diisytiharkan sebagai calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Pengumuman itu dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK P.040 Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, sebentar tadi.

Turut berceramah ialah Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris, Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Dato’ Saiful Bahri Mamat dan Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS Pusat menerima lima nama untuk dipilih sebagai calon bagi PRK Parlimen Kemaman.

Katanya, kajian demi kajian dibuat kerana semua calon itu hebat belaka.

“Maka dengan ini saya mewakili Tuan Guru Presiden mengumumkan calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL dalam pilihan raya P.040 Kemaman ialah Yang Amat Berhormat Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar,” ujarnya yang disambut dengan laungan Allahu Akbar.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember sementara penamaan calon pada 18 November dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Menurut SPR, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

Post a Comment

0 Comments