PAS komited penuhi keperluan semua kaum – Dr Samsuri


 NIBONG TEBAL: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden PAS menegaskan bahawa PAS telah lama komited untuk memenuhi keperluan negara yang berbilang kaum.

Menurut beliau, PAS bukan parti baru dan mempunyai perlembagaan yang digubal sejak tahun 1951 di mana ia jelas menunjukkan parti itu ditubuhkan untuk memenuhi kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Kenapa PAS ditubuhkan, salah satunya untuk memenuhi keperluan urus tadbir negara dalam pelbagai sektor untuk rakyat. Kita sedar realiti kaum di dalam negara kita, suasana di Terengganu tak (tidak) sama dengan Kelantan atau Kedah.

“Terengganu mempunyai peratusan Melayu yang lebih tinggi berbanding Kelantan dan Kedah, walaupun peratus orang Melayu tinggi, kaum Cina dan India juga adalah rakyat saya.

“Untuk memenuhi pelbagai keperluan itu mestilah diurus tadbir dengan cara yang baik tanpa ketirisan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup semasa Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Perniagaan Kaum Tiong Hua di sini, hari ini.

Beliau mengajak masyarakat Cina terutamanya untuk datang ke Terengganu dan melihat sendiri peluang yang ada di negeri tersebut.

“Datang ke Terengganu dan lihat sendiri peluang yang ada, Terengganu menerima 75 peratus hasilnya dari minyak yang ada di luar pesisir pantai Terengganu.

“Kita ada pelabuhan Kemaman yang menjadi pintu masuk perdagangan antara China dan Malaysia,” ujarnya menjelaskan bahawa Terengganu mempunyai banyak lagi tanah yang boleh digunakan untuk pelbagai industri.

Menurutnya, Terengganu terbuka kepada sebarang perniagaan dari Pulau Pinang yang bersesuaian di mana negeri itu terdapat pantai yang indah termasuk Pulau Redang, Pulau Kapas dan Perhentian.

“Banyak perkara yang boleh dinikmati di Terengganu,” katanya menegaskan bahawa negeri itu sentiasa terbuka untuk mendengar dan menyelaraskan pelbagai industri serta mengajak para pelabur untuk datang dan melihat sendiri peluang yang ada.

Post a Comment

0 Comments