MARANG, 10 Mei – Terengganu dijangka tidak berdepan masalah untuk terus membekalkan air mentah ketika cuaca panas yang disebabkan oleh fenomena El-Nino.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bekalan air termasuk di empangan mencukupi untuk terus membekalkan air mentah kepada penduduk ketika fenomena tersebut melanda negeri ini.
"Setakat ini tiada kebimbangan terhadap pembekalan air mentah di seluruh Terengganu.
“Sekiranya fenomena El Nino dengan keadaan cuaca yang kering ini menjangkau sampai Oktober pun, insya-Allah, bekalan air mencukupi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini semalam.
Tambah Dr Samsuri, bekalan air mentah dijangka mencukupi berikutan permulaan musim monsun timur laut kebiasaannya berlaku pada awal bulan November.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak menerima kesan serius terhadap fenomena El Nino.
“Pelbagai langkah diambil diperingkat agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan tidak ada gangguan yang teruk pada rakyat kita terutama dari aspek air dan sebagainya,” ujarnya.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah meramalkan bahawa negara Malaysia akan berdepan dengan El Nino selama lima bulan bermula April.
0 Comments