KMI Healthcare, PKENPs Tandatangan MoU Untuk Pembangunan Kesihatan di Perlis


 KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad dan Pembangunan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata usahasama dengan pihak PKENP ini bakal menjadi tanda aras kepada kerjasama yang berterusan antara dua negeri.

"Dengan kepakaran dan kualiti perkhidmatan daripada pihak KMI Healthcare dan TDM Berhad ianya bukan sahaja dapat memenuhi permintaan dan menambah pilihan perkhidmatan perubatan dalam negeri.

"Ia juga berupaya menjadikan satu mercu tanda baharu di Utara tanahair," ujarnya di Majlis menandatangani perjanjian itu di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam.

MoU berkenaan turut disaksikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.

MoU tersebut adalah bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hospital swasta atau fasiliti kesihatan di Perlis yang akan ditentukan perinciannya selepas penyelidikan yang lebih rapi dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Sementara itu, Tuan Mohd Shukri berkata, hospital yang mesra ibadah ini mampu menarik ramai rakyat Perlis untuk mendapatkan rawatan di sini. 

"Selain daripada memberi manfaat dari sudut kesihatan, saya juga mengharapkan peluang pekerjaan dapat disediakan khususnya buat warga Perlis. 

"MoU yang termeterai pagi ini dapat menatijahkan hubungan yang erat di antara kedua negeri ini dan seterusnya paling penting menjadi antara pilihan utama rakyat Perlis dan penduduk sekitarnya dalam menerima penjagaan kesihatan," ujarnya lagi.

Manakala Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, Perlis menjadi pilihan atas dasar permintaan masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri.

"Di tambah lagi ianya adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik lima Tahun KMI Healthcare untuk memperkembangkan perniagaan kesihatan kami supaya lebih berdaya saing.

“Dalam masa yang sama, KMI juga ingin mengimbangkan kedudukan hospital di jaluran Pantai Timur Malaysia, khususnya bandar-bandar utama seperti di Kuala Terengganu, Kuantan dan InsyaAllah di Kemaman dan juga Kelantan," katanya.

Post a Comment

0 Comments