Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta


 KEMAMAN, 24 Mei - Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, East Coast Fertilizer Sdn Bhd akan membina sebuah kilang baja berteknologi tinggi yang pertama di negeri ini.

Kilang yang akan dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan lebih 50,000 kaki per segi itu akan berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran baja berjumlah 50,000 metrik tan bagi setiap tahun dan mampu mencapai kapasiti maksima sehingga 100,000 tan metrik setahun.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kilang berkenaan yang akan dibina pada tahun ini dan dijangka akan memulakan operasinya pada tahun hadapan akan mewujudkan 250 peluang pekerjaan di negeri ini.

"Dengan adanya kilang ini nanti ia akan memberi peluang dan membantu golongan petani dan pengusaha di negeri ini untuk mendapatkan baja yang berkualiti bagi meningkatkan hasil pertanian mereka dengan cara yang lebih berkesan.

"Secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan pengusaha ladang, pekebun dan petani kepada baja dari luar, sebaliknya akan mendapatkan baja yang berkualiti untuk mengaplikasikan pertanian yang lebih berkualiti dan sesuai untuk keadaan tanah di Terengganu dan Wilayah Pantai Timur," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Kilang Baja ECFSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Teluk Kalong, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor pertanian di negeri ini.

"Kerjasama antara ECFSB dan EPIC akan membawa manfaat yang besar kepada industri pertanian dan penternakan di negeri ini dalam memastikan hasrat Terengganu untuk menjadi negeri pegeluar makanan dan menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian yang berdaya saing tinggi,"ujarnya.

Dalam pada itu Ridzuan pula menyifatkan lokasi pembinaan kilang tersebut adalah strategik, sekali gus akan membuka pintuk kepada ECFSB untuk menerokai pasaran Pantai Timur dan seterusnya berkembang ke peringkat negara-negara jiran dan juga pasaran serantau.

Post a Comment

0 Comments