KEMAMAN, 8 Jun - Pembinaan Loji Biogas & Stesen Janakuasa (RE) oleh Ladang Rakyat Sdn Bhd adalah selaras dengan usaha negara untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baru ataupun Renewable Energy (RE).
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memandang positif projek usahasama yang telah dilakukan oleh Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd dalam mengembangkan lagi cabang perniagaannya.
"Umum mengetahui negara kita menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Renewable Energy (RE) kepada 31 peratus menjelang tahun 2025 selain turut komited dalam mencapai neutral karbon menjelang 2050.
"Selain itu, selaras dengan matlamat Food Security Terengganu, bagi menjamin pengeluaran hasil tanaman yang optimum, salah satu faktor penyumbang utama adalah pembajaan.
"Oleh itu, inisiatif yang telah diambil oleh Ladang Rakyat bagi membangunkan Kilang Humus ini bakal menampung keperluan domestik dengan harga yang lebih rendah berbanding baja kimia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Loji Biogas & Stesen Janakuasa (RE) dan Kilang Baja Humus milik Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd di Perkarangan Kilang Sawit Bukit Bandi, di sini, semalam.
Tambahnya, hal itu disebabkan kandungan baja yang dihasilkan, diperolehi secara dalaman hasil dari sisa buangan kilang sawit dan diadun dengan mikrob bagi menghasilkan produk Baja Humus.
"Kilang ini dijangka mampu mengeluarkan sejumlah 20,000 metrik tan baja setahun dan bakal menghasilkan keuntungan berjumlah RM4 juta setahun.
"Dengan keuntungan yang diperolehi, sebahagian daripadanya akan dipulangkan semula kepada rakyat negeri Terengganu menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
"Inilah matlamat utama kerajaan Terengganu menubuhkan anak-anak syarikat kerajaan (GLC) dalam pelbagai sektor perniagaan bagi membantu rakyat negeri ini," katanya.
Loji yang dibangunkan sejak 2021 itu memakan kos sebanyak RM18 juta.
Namun, ia dijangka memberi pulangan semula kerana Ladang Rakyat telah menandatangani kontrak penjualan tenaga elektrik dengan Tenaga Nasional Berhad bagi tempoh 21 tahun.
Selain itu, kerjasama bersama Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan Macrotech Solution Sdn Bhd akan memperkenalkan dan memasarkan produk baja humus kepada pekebun-pekebun di negeri Terengganu dengan harga yang lebih kompetitif bagi mengurangkan kos pembajaan dan meningkatkan produktiviti mereka.
0 Comments