Perutusan Tahun Baharu 2025 YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar


Perutusan Tahun Baharu 2025

Menteri Besar Terengganu Darul Iman

Demi Masa Depan Bersama

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita masih dikurniakan nikmat usia yang panjang untuk melangkah ke tahun baharu 2025. Dengan berbesar hati, saya ingin menyampaikan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Terengganu terutamanya atas sokongan padu dalam usaha memajukan dan membangunkan negeri serta negara tercinta ini.

Segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat merasai nikmat pembangunan secara adil dan saksama. Kejayaan yang kita kecapi bukanlah hasil usaha individu semata-mata, bahkan hasil kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat. Sebagaimana kata pepatah, "seikat bagai sirih, serumpun bagai serai," begitulah yang kita cuba terapkan dalam pentadbiran negeri.

Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai sepanjang pentadbiran sebelum ini demi kemaslahatan rakyat dan negeri ini, di samping turut memperbaiki segala kelemahan yang ada sama ada daripada aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan bersama. Saya juga berharap Malaysia akan terus harmoni secara keseluruhannya terutama dalam amalan federalisme seperti hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, pembahagian sumber yang adil dan saksama serta tumpuan pembangunan yang setara antara semua wilayah.

Pastinya pelbagai perkara telah dihadapi oleh setiap daripada kita untuk tahun ini sama ada suka atau duka. Namun, yakinlah ada hikmah tersingkap dalam setiap kejadian yang berlaku. Dalam kita mengejar kejayaan, jangan sekali-kali kita lupa pada akar budaya dan agama yang menjadi tunjang kepada jati diri kita. Tetaplah terus berpegang teguh dan sentiasa berusaha yang terbaik untuk beroleh redha-Nya.

Akhir kata, saya mendoakan agar negeri kita terus maju, diberkati dan dirahmati Allah SWT. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, membina dan membangun Terengganu dan Malaysia yang lebih sejahtera.

Selamat Tahun Baharu 2025
‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
31 Disember 2024

Post a Comment

0 Comments