KUALA NERUS: Hakisan pantai yang semakin parah di Batu Rakit kini menjadi ancaman utama kepada penduduk setempat apabila lebih enam rumah, jalan raya dan kawasan perkuburan berada dalam risiko tinggi.
Menangani masalah berkenaan, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan sebanyak RM80,000 untuk membina benteng perlindungan di kawasan terjejas.
ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, keutamaan diberikan kepada kawasan kritikal seperti Kampung Pengkalan Maras, yang menyaksikan hakisan hampir memusnahkan tanah perkuburan dan rumah penduduk.
“Setakat ini, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan RM50,000 minggu lalu untuk membina benteng batu di kawasan perkuburan.
“Hari ini, RM30,000 lagi diluluskan untuk melaksanakan gotong-royong menyelamatkan rumah yang terancam,” katanya memetik laporan Terengganu Darul Iman (TRDI).
Menurut Shafizi, empat keluarga telah dipindahkan ke Kampung Kolam dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
“Alhamdulillah, keluarga yang dipindahkan kelihatan ceria dan berterima kasih atas usaha ini. Keutamaan kami adalah keselamatan dan juga nyawa mereka,” ujarnya.
Selain kediaman beliau berkata, hakisan turut memusnahkan beberapa premis perniagaan, menyebabkan penduduk hilang punca pendapatan.
“Mangsa hakisan kini kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian, menjadikan keadaan semakin meruncing. Hakisan bukan sahaja memusnahkan rumah, malah ia turut meranapkan kedai-kedai yang menjadi sumber rezeki penduduk.
“Kita memohon doa daripada semua pihak agar Allah melindungi mangsa-mangsa ini, terutama rumah-rumah yang masih terancam,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, usaha menangani hakisan itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk kontraktor dan syarikat swasta.
“Saya ingin berterima kasih kepada GPQ Sdn Bhd dan Aen Projek, yang merupakan anak jati kampung ini atas keprihatinan mereka. Sumbangan batu daripada Rimbun Tekad Sdn Bhd sangat bermakna kepada penduduk dalam usaha membantu mengawal hakisan.
“Melalui sumbangan ini, kami mengharapkan keberkatan dari Yang Maha Esa, semoga urusan penyumbang dan penerima dipermudahkan. Kami percaya, dengan doa dan sokongan semua, masalah ini dapat diatasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025
0 Comments