DUNGUN - Kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin melabur bagi membangunkan kawasan tapak pembangunan berorientasi transit (TOD) di stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat empat stesen ECRL terlibat bagi pembangunan tersebut iaitu di stesen Kuala Terengganu, Jerteh, Dungun dan Chukai.
Bagaimanapun, katanya, isu infrastruktur menjadi antara cabaran dihadapi dalam pembangunan TOD bagi menjadikan kawasan itu sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan industri baharu Terengganu.
"Ada cabaran tertentu tetapi saya rasa kerajaan negeri sangat terbuka untuk bincang dengan mana-mana pelabur yang ingin melabur untuk sama-sama bangunkan TOD.
"Antara cabaran kita ialah menyediakan kedudukan infrastruktur supaya mereka (pelabur) dapat terus menjalankan pembangunan di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen ECRL Dungun, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
TOD merupakan kawasan utama yang menerima limpahan langsung daripada pembangunan ECRL di mana penentuan sempadan kawasan tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor.
Jelas Ahmad Samsuri, strategi pembangunan di kawasan itu sedang dirangka bagi memudahkan membawa pelabur ke situ.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini sedang merangka pelan induk TOD di kawasan terlibat yang dijangka akan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
"Dan kalau kita tengok secara spesifiknya cabaran di sini, saya rasa jelas ini adalah kawasan yang green area (kawasan baru) dan ada stesen yang berada pada kedudukan lapan hingga sembilan meter atas aras laut, maka ia perlu ditimbun bagi mengelakkan banjir.
"Kita perlukan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pastikan jalan masuk ke sini tiada gangguan banjir dan kawasan pembinaan pembangunan juga dapat meminimumkan kesan banjir itu sendiri," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, katanya, secara keseluruhan pembangunan ECRL di Terengganu mencapai kemajuan 90 peratus sekali gus meletakkan ia berada pada kedudukan terpantas berbanding negeri-negeri lain.
Ahmad Samsuri berkata, pembinaan projek melibatkan enam lokasi di Terengganu itu mengikut jadual termasuk stesen di Dungun. - Sinarharian
0 Comments