KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Dengan keindahan semula jadi yang memukau dan kekayaan warisan budaya, Terengganu kini giat merancang strategi pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan melihatnya sebagai batu loncatan untuk mempromosikan Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Kami bercadang untuk menjadikan Tahun Melawat Terengganu 2027 lebih ikonik dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Primula Beach Hotel, di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut beliau, fokus utama adalah pada aktiviti pelancongan yang dekat dengan alam, seperti recreational vehicle (RV), camping, dan food hunting.
"Kami mahu menarik lebih ramai pelancong yang sukakan pengalaman unik.
"Aktiviti seperti ini bukan sahaja mempromosikan keindahan alam semula jadi Terengganu tetapi juga memberikan impak langsung kepada ekonomi tempatan," tambah beliau.
Beliau turut mengulas mengenai rekod cemerlang sektor pelancongan Terengganu yang menerima 8 juta pelawat pada tahun 2024.
"Ini adalah pencapaian besar, dan kami berazam untuk meningkatkan angka ini dengan menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih menarik dan mesra pengunjung,” jelasnya.
Dalam usaha itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana untuk memperbaiki fasiliti pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, dan Pulau Kapas.
"Kami ingin memastikan setiap pelawat yang datang ke Terengganu membawa pulang pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Dato’ Nara Setia juga menekankan bahawa pelancongan bukan sekadar menarik pelawat tetapi juga membantu komuniti setempat.
"Pelancongan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, dan mempromosikan warisan budaya negeri.
"Ia adalah tonggak penting dalam pembangunan ekonomi kami,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek untuk memperbaiki kemudahan pelancongan dan mengurangkan kadar kehilangan air (NRW) di kawasan strategik.
"Pelan ini akan memastikan kemudahan asas lebih cekap dan bersedia menyambut pertambahan pelawat pada masa hadapan.
"Dengan perancangan rapi dan komitmen tinggi, Terengganu kini bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia," katanya. - TRDI
0 Comments