1. Alhamdulillah, pada malam ini kita berada dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi di Dewan Arena Square, Dungun.
2. Ucapan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini, khususnya Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, bagi Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.
3. Ucapan tahniah pula saya tujukan, kepada para para peserta, yang telah gigih berusaha mempersiapkan diri, untuk menyertai pertandingan ini. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan mendapat ganjaran pahala di sisiNya.
Hadirin dan Hadirat
sekalian,
4. Tilawah dan hafazan Al-Quran adalah manifestasi kecintaan kita, terhadap wahyu Ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup. Penghayatan Al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus-niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia.
5. Majlis ini memberi peluang untuk kita memahami keindahan seni bacaan al-Quran, menghayati seni kandungannya dan dalam masa yang sama mengingatkan kita tentang intipati sebenar Al-Quran yang menyeru kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang.
6. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited untuk memartabatkan syiar Islam melalui pelbagai program dan inisiatif yang memberi fokus kepada pendidikan dan penghayatan Al-Quran.
7. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menubuhkan satu Akademi Al-Quran Negeri Terengganu.
8. Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Quran, sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu Ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda pada hari ini.
Hadirin dan Hadirat sekalian,
9. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,
saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran
Peringkat Negeri Terengganu 1446H/2025M.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
0 Comments