EPIC raih pendapatan RM403.8 juta, tertinggi dalam sejarah


 KUALA LUMPUR: Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarahnya, berjumlah RM403.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK24), meningkat RM59.8 juta berbanding RM344 juta pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili, berkata keuntungan bersih syarikat turut melonjak tiga kali ganda kepada RM28.4 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi tahun kewangan 2025, kami menyasarkan pendapatan sebanyak RM470 juta. Sasaran ini akan dipacu oleh beberapa inisiatif strategik, termasuk pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam Rahah Niaga Sdn Bhd yang terbabit dalam pembekalan bahan api marin. Selain itu, kejayaan memperoleh dua kontrak besar daripada PETRONAS dijangka memberi sumbangan ketara kepada pendapatan kumpulan," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tujuh rakan perniagaan, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Industri dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, yang mewakili Menteri Besar Terengganu.

Kerjasama yang dimeterai membabitkan pelbagai inisiatif strategik, termasuk projek pembesaran pelabuhan, pembangunan infrastruktur gas asli cecair (LNG), pengurusan medan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan, penyelesaian penyahoperasian dan pembangunan bakat, yang bertujuan mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi dan industri di Terengganu.

Antara MoU yang ditandatangani termasuk perjanjian antara EPIC dan E&H Energy Sdn Bhd bagi pajakan tanah untuk pembangunan terminal LNG di Pelabuhan Kemaman. Anak syarikat EPIC, EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB), turut menjalinkan kerjasama dengan Begas Energy Sdn Bhd bagi perkhidmatan pemulihan terminal, penyelenggaraan dan pengubahsuaian di Sabah.

Selain itu, EOGSB, THREE60 Energy dan Saujana Upstream Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama bagi perkhidmatan pengurusan operasi medan (FOMS) untuk platform kepala telaga.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini menegaskan bahawa kerajaan negeri menyokong penuh setiap projek dan pembangunan yang dijalankan oleh syarikat milik negeri kerana ia memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Kami komited untuk memastikan setiap dasar kerjasama dan inisiatif yang dilaksanakan memberi impak dan pulangan maksimum. Usaha ini penting untuk memacu pertukaran kepakaran, menarik pelaburan, membuka dimensi baharu dalam pembangunan bakat serta meluaskan akses pasaran," katanya. - BeritaHarian

Post a Comment

0 Comments