Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Bukit Putera, Setiu


Bismillahir Rahmaanir Rahim.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ampun Tuanku, Mengadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya.


Mengadap,

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.

Ampun Tuanku

Terlebih dulu, patik dan hadirin sekalian menjunjung setinggi – tinggi kasih, di atas limpah pekenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, berangkat untuk bertitah dan seterusnya merasmikan, Masjid Kampung Bukit Putera, Setiu, Terengganu pada hari ini.


Sesungguhnya, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Tuanku amat dinanti-nantikan, terutamanya oleh penduduk   Kampung   Bukit   Putera,   Setiu.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke majlis ini, menunjukkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Tuanku, terhadap hal ehwal rakyat jelata, terutamanya untuk rakyat Negeri Terengganu Darul Iman ini.


Ampun Tuanku,

Dengan penuh hormat dan takzimnya, patik memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk patik menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin sekalian, yang turut hadir pada hari ini.


Ampun Tuanku,

(Salutasi)


1.          Alhamdulilah, kita dapat berhimpun dalam Majlis Perasmian Masjid Kampung Bukit Putera, oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada hari ini.

2.          Masjid Kampung Bukit Putera merupakan salah sebuah daripada 53 buah masjid di Daerah Setiu.

3.          Bangunan asal Masjid ini dibina pada tahun 1970. Bangunan kayu kekal setingkat yang telah berusia hampir 50 tahun itu, adalah berkeluasan 1,812 kaki persegi dan dapat menampung kira-kira 200 orang jemaah dalam satu-satu masa.

4.          Kerja-kerja pembinaan bangunan baru masjid, dengan kos RM 2.4 juta telah dimulakan pada 12 Mac 2018 dan siap dibina sepenuhnya pada 26 Oktober 2019. Bangunan baru Masjid Kampung Bukit Putera mula diguna pakai pada Solat Maghrib 2 Januari 2020 dan Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 3 Januari 2020M bersamaan 7 Jamadil Awal 1441H.

5.          Bangunan masjid ini dapat menampung kira-kira 500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Terbuka, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, dan lain-lain.

6.          Di sini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid, kerana telah menjalankan tanggungjawab bagi mengimarahkan masjid selama ini.

7.          Terima kasih jua kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian pada hari ini. Semoga majlis ini memberi seribu manfaat kepada kita semua dan diberkati Allah SWT.


Ampun Tuanku,


Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik. Sekali lagi, patik bagi pihak diri patik dan seluruh hadirin rakyat jelata sekalian, menjunjung setinggi-tinggi kasih yang tidak terhingga, di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berangkat ke majlis pada hari ini.

Sekian,

Wabillahi Taufiq, Wal Hidayah. Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Ampun Tuanku.

Post a Comment

0 Comments