Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Penyempurnaan Keberangkatan Jemaah Haji Ke Tanah Suci Musim Haji 1446H/2025M


Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku  berangkat ke Majlis Penyempurnaan Pelepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci bagi tahun 1446H/2025M.

Sesungguhnya keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku, amat dialu-alukan dan dinanti-nantikan, terutamanya oleh bakal-bakal Jemaah Haji Negeri Terengganu.


Ampun Tuanku,

Patik ingin menyembah maklum ke sisi pengetahuan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku. Bahawasanya seramai 31,600 orang jemaah haji dari seluruh negara akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, dan mereka telah mula berlepas ke Tanah Suci pada 29 April 2025 yang lalu. Sebanyak 100 penerbangan sewa khas akan digunakan bagi tujuan ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 2008 adalah bakal jemaah haji dari negeri Terengganu. Pada malam ini, seramai 142 orang bakal-bakal haji dari Terengganu akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci Madinah Al Munawwarah pada pagi esok dan ini merupakan penerbangan yang ke-15.

Penerbangan haji Fasa 1 dari stesen berlepas Kuala Terengganu ini telah bermula sejak 30 April yang lalu dan akan berakhir pada 6 Mei yang akan datang. Pada tahun ini, terdapat sebanyak lapan (8) penerbangan dari stesen berlepas Kuala Terengganu ke KLIA. 

Sehingga hari ini, seramai lebih 495 Jemaah Haji Negeri Terengganu sudah pun selamat sampai dan berada di Kota Suci Madinah. 

Patik dan seluruh rakyat Negeri Terengganu mendoakan agar urusan bakal-bakal haji dipermudahkan Allah SWT serta dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna dan pulang dengan Haji yang Mabrur, Insya-Allah.


Ampun Tuanku,

Patik mohon limpah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin sekalian.


Ampun Tuanku.

(SALUTASI)

1.              Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan bakal-bakal jemaah haji, kerana terpilih untuk menjadi Tetamu Allah SWT pada tahun ini. 

2.              Adalah menjadi harapan semoga Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci nanti. 

3.              Jagalah kesihatan, disiplin dan nama baik negeri Terengganu serta Malaysia.

  

Ampun Tuanku,

Demikianlah persembahan ucapan patik, sekali lagi bagi pihak Kerajaan Terengganu dan Lembaga Tabung Haji, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih, di atas limpah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku berangkat mengucapkan Selamat Jalan kepada bakal-bakal Jemaah Haji Terengganu yang akan berlepas ke Tanah Suci. 

Patik berdoa agar Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan terus diberikan kesihatan dan dirahmati oleh Allah SWT, serta dikurniakan kekuatan untuk terus mengimarahkan syiar Islam di negeri Terengganu ini.


Ampun Tuanku.

Patik akhiri ucapan dengan lafaz Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Ampun Tuanku.

Post a Comment

0 Comments