Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Mengadap
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Segala Jajahan Takluknya,
Mengadap
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu.
Mengadap
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.
Ampun Tuanku,
Patik menjunjung duli dan menjunjung setinggi-tinggi kasih, di atas limpah perkenan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku, berangkat Ke Majlis Perasmian Terengganu International Endurance Park (TIEP) dan Clubhouse, serta Penyampaian Hadiah Karnival TIEP (Bidong Flora Fest), sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu, di Lembah Bidong, pada petang yang penuh bersejarah ini.
Sesungguhnya dengan keberangkatan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mencerminkan sokongan dan perhatian tinggi, terhadap pembangunan sukan dan aktiviti-aktiviti lain di Lembah Bidong. Patik merafak sembah tahniah dan menjunjung kasih, atas kepimpinan Tuanku dalam menjayakan berbagai aktiviti sukan yang berprestij, di Lembah Bidong ini.
Sesungguhnya, keberangkatan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencemar duli ke majlis ini, menaikkan lagi semangat dan motivasi kepada semua pihak, dalam menjayakan TIEP, sebagai hab sukan endurance bertaraf antarabangsa.
Ampun Tuanku,
Patik dengan rendah diri, memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk patik berucap sepatah dua kata kepada para hadirin sekalian.
Ampun Tuanku,
[SALUTASI]
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu kehormat dan para jemputan, ke Majlis Perasmian Terengganu International Endurance Park (Tiep) dan Clubhouse serta Penyampaian Hadiah Karnival TIEP (Bidong Flora Fest) di Lembah Bidong.
2. Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar. merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat Terengganu dalam sukan berkuda lasak. TIEP bukan sahaja menjadi pusat latihan dan pertandingan, bahkan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
3. TIEP juga dilengkapi dengan kemudahan bertaraf antarabangsa, termasuk trek endurance sejauh 160 kilometer, kandang moden, hospital veterinar, kawasan latihan dan kemudahan sokongan lain. Fasiliti ini bukan sahaja menjadi medan penganjuran kejohanan bertaraf dunia, malah turut berfungsi sebagai pusat latihan, pendidikan dan penyelidikan dalam bidang ekuin dan veterinar.
4. TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan bertaraf antarabangsa, sehingga kini sebanyak 84 kejohanan peringkat antarabangsa, dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan telah berjaya dianjurkan di TIEP sejak tahun 2004, menjadikannya antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini.
5. Antara kejayaan yang paling membanggakan ialah, penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, menjadi lokasi aktiviti acara kuda lasak sempena Sukan SEA 2017, yang menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, merangkul pingat emas dalam acara individu 80km dan acara berpasukan.
7. Selain kejohanan-kejohanan besar ini, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan yang berprestij seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, serta kejohanan lain seperti RTES Ride, Piala Ketua Polis Negara, dan Piala Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
8. Kini, TIEP telah berkembang menjadi pusat berkuda bertaraf antarabangsa, yang turut menawarkan fasiliti lengkap, bagi penganjuran acara show jumping dan dressage. Dengan dua arena utama — iaitu warm-up arena dan competition arena — yang dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa, TIEP bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia, dan menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan bertaraf global.
9. Club House yang akan dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP, serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara.
10. Semoga pembangunan TIEP akan terus memberi impak positif kepada Daerah Setiu khususnya, dan Negeri Terengganu amnya dalam jangka masa panjang. Dengan kemudahan yang tersedia, dan perancangan pembangunan komprehensif yang dirangka, TIEP berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
Ampun Tuanku,
11. Demikianlah sahaja persembahan ucapan patik. Patik sekali lagi mewakili ahli jawatan kuasa dan hadirin sekalian, menjunjung duli dan menjunjung setinggi-tinggi kasih, atas limpah perkenan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku, berangkat ke Majlis Perasmian Terengganu International Endurance Park (TIEP) dan Clubhouse Serta Penyampaian Hadiah Karnival TIEP (Bidong Flora Fest) pada petang ini.
12. Patik sekalian mendoakan, agar Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, serta Paduka Anakanda-Anakanda dilimpahi rahmat, serta berada di bawah perlindungan dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.
Ampun Tuanku,
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ampun Tuanku,
0 Comments