Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) Oleh Ahli Parlimen Kemaman

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih diucapkan kepada Dato' Yang Di-Pertua, di atas ruang yang diberikan kepada saya untuk berbahas berkenaan RUU Perbekalan 2026.

1. Saya yakin telah banyak isu yang dibangkitkan oleh rakan-rakan Ahli Parlimen sama ada di sebelah sini mahupun di sebelah sana, sebagai usaha menambah baik pelbagai perkara, seperti yang dinyatakan di dalam Belanjawan 2026.

2. Belanjawan ini merupakan satu polisi jangka pendek Kerajaan, untuk memastikan negara sentiasa berada di landasan yang tepat dalam memajukan ekonomi, dan mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya khusus untuk tahun 2026.

PENGLIBATAN GLC SECARA LANGSUNG

3. YAB Tambun telah menyatakan, bahawa Kerajaan kini telah berjaya menurunkan defisit. Penurunan defisit ini secara umumnya boleh dicapai melalui tiga kaedah, iaitu sama ada (1) dengan meningkat hasil atau (2) mengurangkan perbelanjaan atau (3) kedua-duanya sekali.

4. Namun Kerajaan pada ketika ini menambah satu lagi kaedah, iaitu dengan melibatkan GLC dan GLIC secara langsung, di dalam perbelanjaan Kerajaan Persekutuan. Ia telah menimbulkan persoalan bukan sahaja kepada rakyat di luar sana, bahkan di kalangan Ahli Parlimen yang berada di sini.

5. Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2026, yang menyenaraikan sumbangan berbentuk pelaburan daripada GLIC dan GLC berjumlah RM50.8 bilion, saya memohon pencerahan berikut:

5.1 Adakah terdapat peruntukan undang-undang atau keputusan jemaah menteri, yang membenarkan Kerajaan memasukkan perbelanjaan atau projek yang dilaksanakan secara langsung oleh GLIC dan GLC, ke dalam angka Belanjawan Persekutuan?

5.2 Apakah kerangka kawal selia yang boleh memastikan, bahawa sebarang arahan perbelanjaan yang diperlukan oleh Kerajaan daripada GLIC dan GLC, adalah tidak bercanggah dengan tanggungjawab asal dan utama bagi pihak pengurusan serta para pemegang saham syarikat tersebut?

5.3 Apakah pecahan terperinci ke atas perbelanjaan RM50.8 bilion tersebut yang merangkumi senarai projek, syarikat penerima, jumlah peruntukan bagi setiap item dan tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.

5.4 Berapakah sasaran pulangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun sosial, bagi setiap komponen pelaburan daripada GLC ini, termasuk metrik yang digunakan seperti Kadar Pulangan Dalaman (IRR), Nilai Kini Bersih (NPV), jumlah pekerjaan yang dicipta, dan sumbangan kepada KDNK, serta apakah mekanisme pemantauan dan tempoh masa yang ditetapkan untuk menilai keberhasilan tersebut?

5.5 Adakah semua transaksi berkaitan RM50.8 bilion akan diaudit oleh Ketua Audit Negara, atau badan bebas lain bagi memastikan ketelusannya, dan bilakah tempoh laporan audit awam akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan?

6. Saya berpandangan, bahawa Kerajaan seharusnya membantu dan menggalakkan GLC dan GLIC, dalam menambahbaik operasi mereka dari semasa ke semasa, agar mereka mampu menjadi syarikat multi nasional (MNC) yang berstrategik untuk Negara, mampu melaksanakan pelaburan luar negara secara berhemah; seterusnya menyumbang kepada Kerajaan melalui pemberian dividen yang tinggi.

7. Contohnya adalah seperti PETRONAS, yang pada setiap tahun akan memberikan berpuluh bilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan melalui pembayaran dividen, bukan sumbangan secara terus.

Dato' Yang Dipertua,

KECEKAPAN KUTIPAN HASIL

8. Melihat perincian di dalam dokumen Anggaran Hasil dan Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan, hasil yang dikutip oleh Kerajaan mengalami trend penurunan saban tahun.

9. Secara statistiknya, peningkatan hasil pada tahun 2024 adalah sebanyak 3.1%, manakala anggaran peningkatan kutipan hasil pada 2026 adalah sebanyak 2.7%. Perbezaan sebanyak 0.4%.

9.1 Apakah faktor menyebabkan berlakunya penurunan trend peningkatan ini, dan mengapakah perkara ini berlaku di saat Kerajaan sedang meluaskan dan memperkenalkan pelbagai jenis cukai kepada kebanyakan rakyat seperti cukai SST dan cukai Barangan Nilai Rendah?

9.2 Sejauh manakah, Kerajaan melihat trend penurunan ini sebagai satu signal kepada penurunan prestasi dalam kecekapan kutipan hasil? Adakah ia sesuatu yang membimbangkan, dan memerlukan kepada usaha yang tuntas untuk mengatasinya?

9.3 Apakah langkah strategik Kementerian Kewangan dalam memastikan trend penurunan dalam peningkatan hasil ini berjaya dihentikan, kerana perbelanjaan mengurus Kerajaan saban tahun meningkat dengan kadar yang lebih cepat. Contohnya seperti pembayaran emolumen dan persaraan di mana masing-masing mengalami trend peningkatan dalam perubahan tahunan iaitu pada kadar 3.5% dan 6.3%.

Dato' Yang Dipertua,

PENURUNAN PERUNTUKAN PEMBANGUNAN

10. Di dalam Belanjawan 2026, Peruntukan Perbelanjaan Mengurus (OE) semakin meningkat manakala Perbelanjaan Pembangunan (DE) pula semakin menurun. Ada dua perkara yang menjadi kebimbangan daripada trend ini.

11. Pertama, dalam tempoh 2023 hingga 2026, OE mengalami peningkatan sebanyak 7.3% daripada RM314.96 bilion (2023) kepada RM338.2 bilion (2026).

12. Kedua, dalam tempoh yang sama, DE mengalami penurunan sebanyak 15.7% daripada RM96 bilion (2023) kepada RM81 bilion (2026).

13. Soalan saya, pertama, apakah pendirian dan tindakan Kerajaan terhadap penurunan dalam perbelanjaan pembangunan kerana seperti semua sedia maklum, DE ini merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberikan pulangan ekonomi yang lebih baik kepada negara, menghidupkan rantaian aktiviti ekonomi, selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi?

14. Kedua, bagaimanakah langkah Kerajaan untuk melaksanakan transformasi ekonomi melalui semua sektor, yang memerlukan peningkatan projek terutamanya berkaitan industri berasaskan teknologi, automasi dalam sektor pembuatan, pembangunan pertanian dan galakan dalam sektor pelancongan.

Dato' Yang Dipertua,

KESEIMBANGAN WILAYAH

15. Keseimbangan wilayah melalui amalan federalisme yang baik dan non- political, akan mampu menghasilkan impak ekonomi yang signifikan, terutama kepada semua Negeri yang membentuk Malaysia.

16. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengajukan empat persoalan berkaitan peruntukan perbelanjaan pembangunan di dalam Belanjawan 2026:

16.1 Satu, perbelanjaan pembangunan bagi sub-sektor pengangkutan menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2026 iaitu sebanyak RM17.53 bilion. Bagaimanakah pengagihan perbelanjaan ini dilaksanakan secara adil oleh Persekutuan terutama dalam menjadi pemacu pembangunan ekonomi bagi negeri yang masih kekurangan infrastrukturnya ?

16.2 Dua, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3) sentiasa menjadi tajuk yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Terengganu dan Kelantan supaya dipandang serius oleh Kerajaan Persekutuan. Bilakah perkara ini akan diberikan komitmen sepenuhnya oleh Kerajaan?

16.3 LPT3 yang diumum sejak RMK-9 (2006) dengan kos asal RM2.867 bilion, kini meningkat kepada RM9.8 bilion akibat beberapa kali penangguhan. Walaupun kajian awal sudah disiapkan pada Ogos 2022, namun ia masih tidak disenaraikan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.

16.4 Hal ini kerana, berdasarkan jawapan Menteri pada sidang mesyuarat yang lalu, ia masih di peringkat penyediaan dokumen Request for Proposal (RFP), walaupun sudah sekian lama. Sedangkan manfaatnya akan dirasai oleh rakyat di Terengganu dan Kelantan (3.14 juta penduduk). Justeru, apakah pendirian dan justifikasi Kerajaan terhadap perkara ini?

16.5 Tiga, oleh kerana perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2026 bagi sub-sektor pertanian menurun sebanyak 82% berbanding Belanjawan 2025, iaitu daripada RM3.06 bilion kepada RM550 juta, berapakah peruntukan pembangunan sektor ini akan diberikan kepada setiap negeri di Pantai Timur, iaitu negeri – negeri yang disasarkan, sebagai hab pengeluaran makanan negara dan hab pembangunan ekonomi biru, seperti yang dinyatakan di dalam RMK-13.

16.6 Empat, Sempena tahun Melawat Malaysia 2026, bagaimanakah peruntukan sektor pelancongan sebanyak RM700 juta akan diagihkan mengikut negeri supaya negeri-negeri dapat memainkan peranan yang lebih optimum untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini?

Dato' Yang Dipertua,

17. Tiada negara yang mampu mencapai kemajuan sebenar tanpa penyertaan wilayah secara saksama. Bagaimana Malaysia ingin mencapai status negara maju menjelang tahun 2030 jika ketidakseimbangan wilayah masih wujud?

18. Soalan ini bukan soal retorik, tetapi persoalan asas tentang hala tuju atau

roadmap (dengan izin) pembangunan negara.

19. Ketidakseimbangan wilayah atau horizontal imbalance (dengan izin) ini berpunca daripada pengagihan fiskal antara negeri dan Persekutuan yang tidak berasaskan keperluan sebenar.

20. Adakah kita tidak mempunyai satu formula yang mengukur fiscal need dan fiscal capacity setiap negeri secara objektif. Jika ada, soalan saya, apakah formulanya?

21. Ini kerana, jika tiada formula khusus sebegini akan menyebabkan negeri- negeri kurang membangun kekal terperangkap. Bukan kerana kurangnya potensi, tetapi kerana struktur pengagihan yang objektif. Dan selama jurang ini tidak ditangani, kita akan terus tersekat dalam middle income trap.

22. Saya ingin mengingatkan bahawa isu ini bukan kali pertama saya bangkitkan. Dalam perbahasan Belanjawan tahun lalu dan juga perbahasan RMK-13 yang lepas, saya telah menyatakan bahawa negara ini memerlukan satu mekanisme agihan fiskal yang benar-benar adil, telus, dan berdasarkan formula yang jelas.

23. Namun, sehingga kini, masih belum ada usaha konkrit daripada Kerajaan untuk bergerak ke arah itu.

24. Justeru saya ingin bertanya: Apakah usaha sebenar Kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme pengagihan fiskal yang saksama antara wilayah?

25. Sejauh manakah pendirian Kerajaan terhadap cadangan untuk menambah baik Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act) ? Supaya elemen perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri (inter- governmental fiscal arrangements) diberikan penekanan supaya ia berlangsung dengan lebih adil dan kukuh.

26. Negara-negara seperti Australia dan Kanada telah membuktikan keberkesanan pengagihan yang diselia oleh badan bebas. Brazil pula melalui The Brazilian Inter-governmental Fiscal Transfer System, iaitu satu model pemindahan fiskal yang telus, berasaskan formula tertentu, bagi memastikan wilayah yang kurang membangun tidak ditinggalkan. Malaysia juga seharus bergerak ke arah ini.

Dato' Yang Dipertua,

PEMBANGUNAN SUMBER TENAGA BAHARU

27. Sektor tenaga baharu sudah pasti menjadi antara tumpuan utama Kerajaan di dalam Belanjawan pada kali ini. Namun, sejauh manakah ia benar-benar diberikan penekanan, sesuai dengan sasaran yang ingin dicapai seperti dalam RMK13. Berkaitan ini, ada empat persoalan saya yang memerlukan pencerahan.

27.1 Satu, apakah penanda aras (milestone) yang ditetapkan oleh Kerajaan, dalam pembangunan teknologi tenaga nuklear secara tahunan seperti yang dinyatakan di dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.

27.2 Kedua, sejauh manakah keseriusan Kerajaan dalam pembangunan sumber nadir bumi (REE) yang kini baru memasuki Fasa ke-2 iaitu masih di peringkat kajian potensi dan pemetaan?

27.3 Tiga, bagaimanakah usaha Kerajaan untuk mempercepat proses pembangunan tenaga REE dari aspek SOP, kepakaran tempatan, pemindahan teknologi dan sebagainya agar Malaysia mendapat manfaat daripada sumber tenaga ini secara lebih optimum.

27.4 Empat, sejauh manakah Kerajaan akan melakukan kerjasama dengan Kerajaan Negeri dari aspek peruntukan bagi pembangunan sumber tenaga REE ini terutama Negeri Terengganu yang mempunyai sehingga 44% REE di negara ini?

Dato' Yang Dipertua,

KEUTAMAAN SEKTOR DALAM R&D

28. Pembangunan R&D terus konsisten menjadi inisiatif di dalam Belanjawan 2026, selaras dengan perancangan di dalam RMK-13. Ia merupakan suatu perkara yang baik dan saya sokong, namun tetap perlu dipantau dari semasa ke semasa agar perjalanan dan hasilnya dapat dimanfaatkan sebaiknya. Persoalan saya :

28.1 Apakah perincian terhadap peruntukan sebanyak RM5.8 bilion bagi tahun 2026 untuk aktiviti R&D rentas kementerian?

28.2 Apakah indikator yang ditetapkan oleh Kerajaan, terhadap hasil daripada kajian R&D rentas kementerian ini bagi memastikan perbelanjaan yang diperuntukkan benar-benar memberikan manfaat yang besar kepada negara.

28.3 Apakah pengkhususan dalam pembangunan R&D yang menjadi keutamaan pihak Kerajaan bagi tahun 2026, terutama yang dikategorikan sebagai teknologi strategik (strategic technologies) untuk Malaysia, dan kenapa bidang berkenaan dipilih ?

Dato' Yang Dipertua,

KEHARMONIAN KAUM

29. Tidak dinafikan, bahawa semua pihak mengimpikan sebuah Negara Malaysia yang bukan sahaja merdeka, tetapi kita semua dapat hidup dengan penuh keharmonian merentasi sempadan agama, kaum, etinik dan latar belakang sosio ekonomi. Inilah antara kunci kestabilan dalam negara kita, baharulah negara dapat bergerak jauh ke hadapan berbanding dengan negara jiran yang lain.

30. Mungkin ada perkara yang kita boleh belajar dari keharmonian yang ada di Sabah dan Sarawak khususnya, di mana kumpulan berbagai etnik yang jauh lebih besar bilangannya dari di Semenanjung dapat hidup dengan penuh tenteram tanpa kekacauan. Itu perkara pertama.

31. Kedua, untuk kita memupuk erti perpaduan dan keharmonian yang merentasi kaum di Semenanjung pula, saya amat berharap agar peruntukan kepada Kementerian Perpaduan Negara dapat ditingkatkan dengan ketara, berbanding menerima peruntukan paling kecil di kalangan seluruh kementerian, iaitu hampir RM768 juta sahaja. Ya betul, ada peningkatan berbanding tahun sebelumnya, tetapi kita wajar mengangkat peranan kementerian ini sebagai agenda penting negara.

32. Mengakhiri ucapan saya, semoga segala perancangan dirahmati dan diberkati Allah SWT. Insya-Allah. Sekian, terima kasih.


Post a Comment

0 Comments