Dr. Sam Tak Kempen Sambil 'Menjamu', Elak Kesalahan


KEMAMAN, 23 November- Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Dato' Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dirinya bersikap ekslusif dalam berkempen berikutan tidak dilihat menghadiri majlis-majlis, jamuan dan ber'jalan-jalan' di kedai-kedai makan bertemu rakyat.

Menteri Besar Terengganu itu sebaliknya bersikap cermat bagi memastikan kempen dilaksanakan PAS tidak melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita sangat berhati-hati ketika berkempen ini. Sebenarnya penjamuan, makan di kedai dan sebagainya tidak dibolehkan dalam peraturan pilihan raya menurut aspek larangan-larangan ketika kempen, sebab itu saya sangat cermat kerana lawan kita ini, dia tidak ikut peraturan dan apabila tidak puas hati, dia terus petisyen pilihan raya.

"Jadi, kita sangat cermat untuk pastikan bahawa kita tidak pergi ke tempat-tempat yang boleh dipertikaikan, itu antara sebabnya saya tidak berada di tempat-tempat makan dan seumpama dengannya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Walkabout di Mesra Mall, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu turut mengulas dakwaan terhadap kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai ahli parlimen sekiranya dipilih.

"Pada saya, itulah realiti yang perlu dihadapi bahawa apabila saya menjadi ahli parlimen Kemaman nanti, tugas mengurus tadbir negeri tetap berjalan seperti biasa di samping tugas-tugas yang lain. Itu realiti yang kita semua kena terima.

"Bagi saya, ia tidak memberi apa-apa masalah kerana keempat-empat DUN di Kemaman ini sudah dimenangi oleh PAS, jadi dengan keupayaan ADUN dalam parlimen ini sangat baik dan sangat membantu tugas parlimen, ini termasuk parlimen-parlimen lain dalam negeri Terengganu," katanya.

Post a Comment

0 Comments