KUALA NERUS: Hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat perlu diperkukuhkan demi mewajarkan pembangunan wilayah secara seimbang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata hubungan antara kedua-duanya juga sudah sedia terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, hubungan menerusi konsep muafakat kuasa Kerajaan Pusat dan negeri wajar diteruskan dan diperkukuhkan untuk kepentingan rakyat.
"Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memberi gambaran kesungguhan semangat hubungan yang proaktif antara negeri dan Persekutuan.
"Hubungan akrab antara negeri dan Persekutuan memberi gambaran bahawa suatu kerjasama mesti berlaku," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani Bersama Rakyat di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Anwar yang juga Menteri Kewangan, dengan yang turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri memerlukan libat urus, pertemuan dan perbincangan, perkongsian maklumat serta hubungan dilakukan atas semangat saling percaya mempercayai antara satu sama lain.
"Teladan profesional kepimpinan negeri dan Persekutuan atas konsep 'federalisme' akan memberi pengharapan kepada seluruh rakyat.
"Hubungan akrab yang terjalin dan akan diperkukuhkan memberi makna bahawa pemimpin yang menjadi menjadi tempat rakyat mengadu nasib," katanya.
0 Comments