Rakyat Teruja Jumpa MB

 

HULU TERENGGANU, 15 April - Rata-rata rakyat di Hulu Terengganu sangat gembira menghadiri program Prihatin Ramadan kerana dapat bertemu dengan Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seorang penduduk yang hadir, Ahmad Tarmizi Abdul Razak, 33, berkata kehadiran pemimpin nombor satu Terengganu itu telah mengubah persepsi serta desas desus yang menyatakan bahawa Menteri Besar Terengganu itu sukar bertemu rakyat.

"Sebenarnya MB tidaklah sebagaimana yang didakwa oleh segelintir pihak yang cuba untuk memadamkan rekod kecemerlangan MB dalam pentadbiran.

"Hari ini dengan kehadiran beliau ke sini membuktikan beliau tidaklah sebagaimana yang disangka, sebaliknya menunjukkan beliau merupakan seorang yang sangat mesra dengan orang ramai dengan memperlihatkan sikap bersahaja serta tidak kekok bersama rakyatnya," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui ketika Program Prihatin Ramadan Bersama MB, di Masjid Al-Amin Kampung Buloh, semalam.

Sementara itu, bagi Muhammad Syahir Zainaripin, 32, pula berkata program Prihatin Ramadan yang diadakan itu sangat bertepatan dengan kehendak bulan yang penuh kemuliaan ini.

"Melalui program seumpama ini hubungan erat antara pemimpin dengan rakyat, mungkin dengan peluang yang ada ini akan diambil kesempatan oleh rakyat untuk mengenali pemimpin mereka sendiri yang selama ini telah berjaya mentadbir negeri ini dengan baik 

"Cuma saya mengharapkan juga di masa akan datang, MB boleh pergi bertemu dengan rakyat yang berada jauh di pedalaman sebagai contoh kalau di Hulu Terengganu ini Kampung Betong, mungkin perlu ada program MB bersama penduduk di kawasan pedalaman ini.

"Di samping akan melahirkan perasaan gembira penduduk di situ, mungkin juga akan melahirkan idea-idea yang baru untuk MB untuk  membangunkan kawasan luar bandar agar seiring dengan bandar," katanya.

Shamsiah Mohd Hassan, 62, turut berharap agar program seumpama Prihatin Ramadan membabitkan pemimpin dengan rakyat itu terus diadakan secara konsisten.

"Apabila dapat bertemu seumpama ini, orang kampung sangat gembiralah jiwa terasa dekat dengan pemimpin, terasa dicaknai.

"Walau bagaimanapun saya mewakili masyarakat kampung serta penduduk sini sangat berterima kasih dalam keterbatasan masa kerana sibuk dengan pelbagai urusan masih sempat untuk bertemu masyarakat di sini," katanya.

Post a Comment

0 Comments