Terengganu masih menunggu bayaran penuh DKKP

 

KUALA NERUS: Kerajaan negeri masih menunggu jumlah sebenar bayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sepatut diterimanya daripada Kerajaan Pusat kerana jumlah diterima pada akhir bulan lalu hanya sebahagian kecil saja, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan Kementerian Kewangan (MOF) sedang membuat pengiraan mengenai jumlah itu, selain kerajaan dikatakan akan mempunyai satu dasar jelas mengenai DKKP.

"Kita ada menerima sebahagian kecil bayaran DKKP dan masih menunggu jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar Kerajaan Pusat.

"Saya difahamkan MOF sedang membuat kira-kira mengenainya dan selepas ini ada dasar jelas mengenai pemberian DKKP ini, mungkin nama (akan) berubah balik kepada wang royalti, saya tidak pasti dan harap begitulah," katanya selepas program Prihatin Ramadan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini, kelmarin.

Ketika ditanya jumlah pembayaran diterima, Ahmad Samsuri enggan mendedahkannya sambil memaklumkan belum ada tarikh ditetapkan untuk bayaran baki DKKP.

"Belum lagi tahu (tarikh pembayaran) sebab MOF sedang menyediakan dasar baharu kepada pemberian DKKP.

"Disebabkan ketika pemberian DKKP itu pada Mac seperti yang biasa dibayar kepada kerajaan negeri, kita berharap gunalah peluang baik ini untuk mengembalikan nama itu kepada wang royalti," katanya.

Pada 15 Mac lalu, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu dijangka menerima bayaran DKKP daripada Kerajaan Pusat seperti disalurkan sebelum ini.

Katanya, khabar gembira itu diperoleh hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 14 Mac lalu.

Post a Comment

0 Comments