PAS terbuka terima Annuar Musa, individu lain

 

SERDANG: PAS mengalu-alukan siapa saja tokoh atau orang perseorangan yang mahu menyertai partinya termasuk desas-desus mengenai Tan Sri Annuar Musa dikatakan berhasrat demikian selepas Aidilfitri nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kepemimpinan parti sangat terbuka menerima bekas Ahli Parlimen Ketereh serta tokoh lain atau orang tidak berparti untuk menyertainya.

"Beliau atau orang tidak berparti yang kecewa dengan perjuangan sebelum ini yang mahu bersama dengan PAS, sangat dialu-alukan.

"Ini kerana setiap orang yang bersama PAS sama ada pemimpin atau individu, mereka mempunyai peranan masing-masing.

"Saya percaya orang seperti Annuar cukup berpengalaman serta orang lain ada peranan masing-masing yang boleh diberikan untuk memperkasakan PAS sebagai parti politik yang sah dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekas Setiausaha Agung UMNO yang didakwa sudah memilih 'bahtera' baharu untuk meneruskan perjuangan politiknya dengan menyertai PAS.

Tindakan itu dibuat hanya beberapa bulan selepas beliau dipecat dari UMNO selepas dilihat terus 'melawan 'kepemimpinan yang ada dalam parti terbabit.

Terdahulu Ahmad Samsuri melancarkan program Bantuan i-Fitri Perantau selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan bersama YAB Menteri Besar Terengganu dan Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan barisan EXCO negeri lain.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu bagaimanapun menyatakan beliau tidak boleh mendedahkan nama individu lain yang bakal menyertai PAS.

"Insya-Allah ada, tetapi tak boleh sebut nama lagi, ia tidak terhenti di situ saja," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima daripada Kerajaan Pusat, beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun beberapa hari lalu, kita ada menerima sedikit pendahuluan daripada peruntukan itu, belum sepenuhnya lagi.

"Saya percaya baki akan sampai tidak lama lagi. Kita ada terima sebahagian kecil.

"Pada prinsipnya proses terbabit akan terus berjalan. Banyak perkara perlu diuruskan bersama Kementerian Kewangan dan juga pihak lain termasuk Pejabat Peguam Negara," katanya.

Berkenaan bantuan i-perantau sebanyak RM20 juta diperuntukkan yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 penerima.

Ia adalah sebahagian daripada RM57 juta bantuan i-fitri yang membabitkan 190,000 penerima.

Post a Comment

0 Comments