Individu Tercicir Dana Banjir, Sila Tampil Buat Aduan

 

MARANG, 30 Mac - Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, supaya individu yang tercicir daripada menerima dana bantuan banjir tampil membuat aduan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk semakan semula.

"Saya sebenarnya memerlukan lebih banyak maklumat sekiranya ada yang tercicir (daripada menerima bantuan) dan selepas disahkan di peringkat JPKK dan daerah kita akan cuba tangani.

"Sebenarnya, sekarang kita dalam proses menyampaikan (bantuan), saya percaya semua daerah sudah selesai semakan, cuma oleh kerana ramai bilangannya tidak pelik sebenarnya walaupun kita tidak mahu tercicir, kalau ada tampil ke depan untuk kita siasat," nasihatnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Prihatin Ramadan bersama Menteri Besar peringkat Marang di Masjid Sentul Patah, semalam.

Tambahnya, dalam mengatasi masalah tersebut pihaknya akan membuat semakan semula bagi memastikan dana bantuan itu sampai kepada penerima yang layak.

"Apabila kita buat semakan dahulu, kita kena lihat ada 'double claim' atau tidak.

 "Ada juga kes yang berlaku, pasangan suami isteri yang 'claim' di DUN berlainan (bqgi tuntutan yang sama).

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri pun ada sebut beberapa kaedah menangani masalah tersebut dan kita ambil tindakan sama, kita tengok dan periksa lebih teliti," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri menyampaikan bantuan banjir bernilai RM1,000 kepada 110 penduduk terlibat di DUN Rhu Rendang selain turut memberi dana raya kepada 33 anak-anak yatim di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga sempat menziarahi bekas Imam Masjid Sentul Patah, Abd Ghani Ismail yang kini semakin uzur pada usia 85 tahun serta dua penduduk kampung berkenaan, Esah Yunus, 80, dan Mohd Shukri A. Rahman,64, yang menghidap angin ahmar.

Post a Comment

0 Comments