Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London


 LONDON, 13 November - Chicken Cottage, jenama makanan segera halal milik anak syarikat Terengganu Inc, telah mencipta sejarah dengan pembukaan 'outlet' terbarunya yang ke-67 di Camden Town, London. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pembukaan premis terbaru itu sebagai pencapaian penting bukan hanya untuk jenama itu tetapi juga untuk ekonomi setempat. 

“Pembukaan outlet baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di pentas antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan. 

“Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar syarikat ini terus berkembang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Pembukaan 'Outlet' di sini, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom; Dato’ Zakri Jaafar, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc; Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage; Greg Milne.

Majlis pembukaan ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Chicken Cottage, yang kini semakin kukuh di United Kingdom (UK), walaupun industri makanan dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran. 

Chicken Cottage yang terkenal dengan hidangan ayam goreng dan panggangnya, telah membina reputasi sebagai jenama makanan halal berkualiti dengan kehadiran lebih 60 'outlet' di UK termasuk di kota besar seperti Glasgow, Newcastle, Cambridge, Oxford, dan Canterbury.

Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi juga mengulas tentang sambutan hangat pelanggan terhadap jenama tersebut yang memiliki pelbagai menu untuk memenuhi cita rasa ramai. 

“Camden ialah 'outlet' ke-10 yang dibuka pada tahun 2024, melengkapkan rangkaian outlet di lokasi strategik lain seperti Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street.

“Ini adalah bukti komitmen Chicken Cottage untuk terus berkembang,” ujarnya.

Untuk rekod, transformasi Chicken Cottage menjadi semakin jelas sejak dua tahun lalu apabila Greg Milne menerajui syarikat ini dan memperkenalkan reka bentuk dalaman moden, kios digital, serta aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan. 

Greg Milne menyatakan bahawa pembukaan outlet di Camden ini mencerminkan kekuatan dan daya tahan Chicken Cottage untuk terus berkembang di pasaran UK. 
“Pada saat banyak syarikat lain terpaksa mengurangkan operasi, Chicken Cottage tetap memilih untuk berkembang dengan yakin, sekali gus membuktikan asas kukuh jenama tersebut serta komitmen mereka dalam menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.

“Kehadiran outlet terbaru ini bukan sahaja memudahkan penduduk Camden menikmati hidangan halal berkualiti, tetapi turut menarik perhatian pelancong yang mengunjungi London,” jelasnya.

Chicken Cottage kini memperkukuh visinya di peringkat global dengan merancang pembukaan dua lagi outlet di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini.

Ia akan dikendalikan oleh usahawan terkemuka Nigeria, Mohammed Adebola Sheidu, yang juga Pengerusi Eksekutif Brains & Hammers, salah satu syarikat hartanah terbesar di Nigeria.

Selain mengukuhkan kehadiran di UK, Chicken Cottage juga akan meluaskan empayarnya ke Afrika dan Timur Tengah dengan tujuh outlet baru di Kenya serta beberapa outlet di Oman. - TRDI

Post a Comment

0 Comments