Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Perasmian Masjid Ajil, Hulu Terengganu


 Assalamu’alaikum wrh brh

Segala puji bagi Allah, yang memiliki dan menguasai segala yang di langit dan di bumi. Selawat dan Salam dilafazkan dengan seikhlas hati ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda.

Mengadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman Serta Segala Jajahan Takluknya.

Ampun Tuanku

Sesungguhnya patik dan hadirin sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas limpah perkenan berangkat untuk bertitah dan seterusnya merasmikan Masjid Ajil, Hulu Terengganu pada hari ini.

Sesungguhnya dengan  keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat dialu-alu dan dinanti-nantikan, terutamanya oleh penduduk Ajil, Hulu Terengganu. Kesudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke majlis ini menunjukkan keperihatinan Tuanku terhadap hal ehwal agama dan seluruh rakyat jelata terutamanya rakyat Negeri Terengganu Darul Iman ini.

Ampun Tuanku,

Dengan penuh hormat  takzimnya, patik memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, untuk patik berucap  sepatah dua kata kepada para hadirin sekalian yang turut hadir dalam majlis pada hari ini.

Ampun Tuanku,

(SALUTASI)

1.         Terlebih dahulu marilah kita sama-sama bersyukur Kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita berhimpun dalam Majlis Perasmian Masjid Ajil oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

2.         Masjid Ajil merupakan salah sebuah daripada 80 buah masjid di daerah Hulu Terengganu. 

3.         Bangunan asal Masjid Ajil mula dibina pada tahun 1974 dan mampu menampung 700 orang jemaah pada satu-satu masa. 

4.         Ekoran dari perkembangan semasa dan pertambahan penduduk, beberapa lot tanah telah diambil balik oleh kerajaan bagi tujuan pembinaan bangunan baru masjid yang melibatkan keluasan keseluruhan tanah 2.0629 hektar (bersamaan dengan 5 ekar).

5.         Kerja-kerja pembinaan bangunan telah dimulakan pada 14 Mei 2018 dan siap dibina sepenuhnya pada hari Khamis 22 Jun 2023. Bangunan baru Masjid Ajil ini mula digunapakai pada Solat Asar 4 Ogos 2023M dan Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 11 Ogos 2023M bersamaan dengan 24 Muharram 1445H. 

6.         Bangunan masjid ini dapat menampung kira-kira 1500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan.

7.         Saya ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian pada hari ini sama ada terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga majlis ini memberi seribu manfaat kepada kita semua dan diberkati oleh Allah SWT.

Ampun Tuanku,

Demikianlah persembahan ucapan patik sempena majlis ini. Sekali lagi, bagi diri patik, ahli ahli jawatankuasa dan seluruh hadirin rakyat jelata sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga di atas limpah perkenan Kebawah Duli yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke majlis pada hari ini.

Ampun Tuanku,

Wabillahi Taufiq, Wal Hidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ampun Tuanku.

Post a Comment

0 Comments