Teks Ucapan Penggulungan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Persidangan Belanjawan 2025 Negeri Terengganu



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wrh brh.

MUQADDIMAH

YB Dato’ Yang di-Pertua

YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ahli-ahli Yang Berhormat

Ketua – ketua Jabatan, Pegawain – pegawai Jabatan – Agensi – Badan Berkanun dan GLC,

Pimpinan parti politik, rakan media, bentara Dewan dan petugas, serta para pemerhati sekelian.

1. Alhamdulillah, kita hampir selesai sesi Mesyuarat Ketiga Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 dari 18 – 21 November 2024 pada hari ini.

2. Sekalung penghargaan saya rakamkan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 pada kali ini, termasuklah penghargaan kepada semua kakitangan pentadbiran Kerajaan yang turut sama berperanan, bagi menggali maklumat dan membantu mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan.

3. Sebahagian dari persoalan yang dibangkitkan dalam sesi pada kali ini, telah dijawab oleh YB Ahli Majlis Kerajaan Negeri – samada secara bertulis, lisan dan dalam sesi penggulungan masing-masing. Saya percaya, sekiranya masih ada persoalan tambahan dan baharu yang timbul, pintu pejabat kami semua senantiasa terbuka untuk menerima apa jua keluhan dan persoalan-persoalan yang ingin disampaikan. 

4. Sudah tentu, segala pandangan dan cadangan baharu serta penambahbaikan, malah kritikan yang baik untuk rakyat dan negeri, akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri dengan hati yang terbuka, insya-Allah. Terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat.

5. Walaupun kita tidak mempunyai pihak pembangkang dalam Sidang Dewan ini, tetapi tugas semua Ahli Yang Berhormat adalah masih menjadi elemen semak dan imbang, menegur dan mencadang, mengingatkan saya pada ucapan yang pertama yang disampaikan YB Dato Onn Jaafar, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Sidang Pertama Dewan Rakyat di Dewan Tunku Abdul Rahman Jalan Ampang, pada hari Jumaat 11 September 1959 di mana beliau menyebut : “Bercakap untuk diri saya sendiri saya boleh memberi anda jaminan. Ini kerana saya pernah mendengar kebimbangan yang diluahkan di sesetengah pihak bahawa pembangkang hanya akan menentang. Sebenarnya ia tidak akan begitu. Matlamat pembangkang adalah untuk menawarkan pandangan yang membina”.

6. Pada hari ini dan pada ketika ini, tujuan dan maksud itu adalah diambil oleh semua Ahli Yang Berhormat sekelian, dan Kerajaan Negeri akan mendengar dengan jiwa dan hati terbuka, dan sekali-kali kita tidak boleh berdendam atau menghukum mereka yang memberikan pandangan berbeza.

7. Di hari yang sama juga, YB Dato Onn juga menyebut dalam Sidang Pertama pada 11 September 1959, beliau menyebut, “Saya ingin mengatakan bahawa walaupun ahli pembangkang hanya kira-kira satu pertiga daripada keseluruhannya, saya berharap dalam mana-mana perbahasan di Dewan ini, perlu diingat bahawa satu pertiga ini mewakili 46 peratus daripada jumlah pengundi pada Pilihan Raya Persekutuan baru-baru ini”

8. Sehubungan dengan itu juga, memang kedudukan kita dalam dewan ini adalah 100% parti mendokong Kerajaan, yang merupakan satu sejarah baru yang kita semua adalah karektornya.

9. Walaupun kita 100 % di Dewan ini, perlu diingat bahawa dalam Pilihanraya Umum Kerusi Negeri pada 12 Ogos 2023 yang lalu, di mana jumlah pengundi yang berdaftar adalah 933,761 orang, dan penduduk Terengganu adalah sekitar 1,209,400 orang.

10. Manakala yang keluar mengundi adalah seramai 696,185 orang iaitu 74.56% daripada jumlah pengundi berdaftar pada ketika itu. Ini memberi maksud, bahawa yang membuat keputusan dalam pengundian pada waktu itu, hanyalah sekitar 57.6% dari jumlah keseluruhan penduduk Terengganu yang turut merangkumi semua peringkat umur termasuk bayi dan kanak – kanak.

11. Secara keseluruhannya, yang mengundi kita dan membawa kita ke Dewan pada waktu ini adalah undi sebanyak 67.95% (saya bundarkan ke 68%), manakala yang tidak mengundi kita adalah masing-masing 28.4% daripada parti X dan 2.76% daripada parti Y, yang kedua-dua ini kita boleh bundarkan kepada 31%.

12. Kita semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, kita tidak hanya mewakili 68 % pengundi, tetapi kita sebenarnya turut mewakili suara kesemua 31 % pengundi yang tidak mengundi kita, dan kita juga menjadi wakil suara rakyat yang belum berdaftar atau tidak dapat mengundi dalam pilihan raya yang berkenaan.

13. Semua pengundi, semua bukan pengundi dan semua rakyat dalam negeri kita ini yang terdiri daripada kaum Melayu – Cina – India – Siam – Orang Asli :- adalah tanggungjawab kita semua- tidak terkecuali, yang perlu didengar, ditekuni, dan dibantu untuk dijaga maslahah mereka semua.

14. Inilah budaya politik baharu yang kita ingin bawa dan kembangkan ke seantero negeri dan negara, kerana inilah perkara yang betul dan tepat untuk dilakukan, untuk membawa negeri dan negara kita lebih jauh ke depan dan mampu bersaing dalam dunia tanpa sempadan ini – yang bukan semata-mata mengenai tahap pencapaian ekonomi, tetapi menjangkaui kesejahteraan fikiran-perasaan, serta kebebasan mengamalkan kehidupan beragama.


ROYALTI & BUDAYA POLITIK.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

15. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Bandar, Seberang Takir, Ladang, Buluh Gading, Kemasik, Manir dan Jertih yang telah menyentuh berkenaan isu royalti sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. Saya percaya semua Yang Berhormat sudah jelas dengan apa yang berlaku.

16. Untuk rekod dalam dewan yang mulia ini, sekali lagi dan sampai bila-bila saya ingin tegaskan sebab ada di luar sana yang tak berapa segar, tak berapa sihat mempertikaikan kenapa kita selalu sebut royalti, royalti, royalti. Ingin saya tegaskan bahawa royalti merupakan hak Negeri Terengganu dan mesti disalurkan mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975 antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS, walaupun ada pihak yang menjadikan alasan peraturan dan akta baharu yang baru ditimbulkan sebagai alasan unutk mengubah tiang gol  yang sudah terpacak sejak tahun 1975 lagi.

17. Namun, di luar sana masih ada yang bertanya atau mungkin buat-buat tanya, sejak bila nak beri bonus kena dapatkan kelulusan MOF?.-Ini pun tak sihat, tak segar orang Terengganu kata. Persoalannya, kenapa perkara seperti ini timbul?

18. Jawapan saya, sejak Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Itu sebab dia. Hingga saat ini, segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada MOF terlebih dahulu.

19. Lebih menyusahkan, pegawai Kerajaan Negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu per satu, case by case kepada MOF, bagi mendapatkan kelulusan peruntukan daripada wang royalti, yang merupakan hak kita, hak rakyat negeri Terengganu.

20. Lebih menghairankan, penyaluran royalti ini pula dibuat dengan dua cara. Pertama, sebahagian kecil disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Negeri uruskan, dan cara Kedua, pihak Putrajaya sendiri yang menyalurkan peruntukan kepada pihak ketiga tanpa melalui akaun Kerajaan Negeri.

21. Sebagai contoh, sehingga Oktober tahun 2024, secara atas kertas diluluskan RM 1.265 bilion wang royalti, akan tetapi hanya RM 528,646,000.00 (RM 528 juta) sahaja yang disalurkan ke akaun Kerajaan Negeri, itu pun sebahagian besarnya melibatkan emolumen. Manakala selebihnya iaitu RM 737,165,059.42 (RM 737 juta), dibayar terus oleh MOF kepada pihak-pihak yang berkenaan.

22. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Terengganu tiada autoriti ke atas hampir 60% hasil royalti Terengganu sebagaimana keadaan sebelum PRU pada bulan November 2022.

23. Inilah politik kuno ketinggalan zaman. Keadaan ini sudah pasti akan menyebabkan rakyat Terengganu, mempunyai suatu perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan Kerajaan di peringkat Persekutuan. Malah dalam dewan yang mulia ini, sudah ada cadangan untuk digerakkan pelbagai himpunan jalanan dan demonstrasi bagi menuntut hak royalti negeri Terengganu.

24. Saya dan rakan – rakan pimpinan yang lain, akan senantiasa memperjuangkan budaya politik lebih segar dan berubah mengikut zaman, dan bertekad untuk menggerakkan kefahaman rakyat supaya kita semua meninggalkan budaya politik diskriminasi balas dendam akibat warna parti politik – dan ini adalah merupakan satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku  dalam Negeri dan Negara kita.

25. Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, maka kita mendera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara. Semua ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian.

26. Sudah pasti, kitaran ganas (vicious cycle) akan terus berulang dan berulang. Oleh yang demikian, saya menyeru, dan mengajak semua pemimpin politik samada di peringkat negeri ataupun nasional untuk menghentikan kitaran ganas ini.

27. Sebagai pemimpin kita mesti mempunyai iltizam dan tekad yang kuat, untuk menghentikan kitaran ganas dendam sebegini. Jika tidak, jangan kita bercakap mengenai reformasi, jangan kita berucap menabur janji menjangkaui awan, dan sudah tentunya jangan kita bercakap mengenai hasrat membawa rakyat ke era yang baharu, yang jauh ke depan.

28. Saya percaya apa yang dilontarkan oleh wakil-wakil rakyat di dewan yang mulia ini, adalah merupakan hasrat dan desakan rakyat negeri Terengganu, yang semakin hari ditekan semakin mencari peluang untuk berjuang melawan tekanan.

29. Tindakan politik kuno yang dilakukan ini, telah mencetuskan suasana yang tidak harmoni dan akan membangunkan dendam yang lebih dalam.

30. Sedangkan kita di peringkat Kerajaan Negeri, bertahun-tahun berusaha memadamkan api dendam dan permusuhan dalam kalangan rakyat.

31. Malangnya, sentiasa ada pihak yang cuba menghidupkan kembali api persengketaan yang telah terpadam di bumi Darul Iman ini. Apakah kita sanggup membayar harga yang mahal, dengan mengorbankan keharmonian rakyat, dek kerana kepentingan politik yang sementara? Ingatlah, bahawa orang politik akan terus disumpah seranah oleh generasi akan datang, sebagai kelompok yang mementingkan diri sendiri dan politik kepartian, melebihi dari menjaga kepentingan rakyat dan Negara.

32. Apakah masih ada pihak yang berfikir, dengan mengenakan tindakan seperti sekatan royalti, termasuk sekatan terhadap wakil rakyat ke institusi Pendidikan, dan pelbagai jenis tekanan kepada parti lawan dan rakyat, akan menyebabkan rakyat menyukai dan memberikan kemenangan dalam pilihanraya?

33. Atas sebab itu juga, saya ingin bertanya satu soalan yang jelas dan mudah.

34. Soalan saya : Siapakah individunya, dan dari parti mana – entiti mana – dan kelompok manakah yang memberikan arahan supaya disukarkan penyaluran dana royalti minyak dan gas Terengganu, sehingga mendera rakyat dan Negeri Terengganu sebegini ? Janganlah cuba berselindung, disebalik kuasa sementara yang diberikan oleh Allah ini, tunjukkan keberanian untuk mengaku supaya rakyat seluruh negeri, negara dan dunia jelas sejelas-jelasnya. Manakala urusan selebihnya, saya serahkan kepada rakyat untuk menghakiminya.


Peningkatan Hasil

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

35. Sebagaimana yang saya ucapkan dalam pembentangan Bajet kali ini, Kerajaan Negeri akan terus agresif dan aktif berusaha untuk meningkatkan hasil negeri. Saya menghargai segala pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Bandar, Seberang Takir, Ladang, Buluh Gading, Kemasik, Manir dan Bukit Besi, berkenaan dengan perancangan  pendapatan baharu Negeri Terengganu.

36. Hakikat yang perlu kita akui ialah, usaha peningkatan hasil seperti ini, adalah satu proses yang berkait dengan faktor masa: ada yang memerlukan penambahbaikan enakmen, ada yang berkait dengan perubahan jadual kadar cukai, ada yang memerlukan proses pembidaan, dan ada yang memerlukan proses membawa pelabur, di mana semuanya ini adalah sama iaitu – tanam hari ini, tetapi kutip hasilnya bukan pada hari esok.

37. Dalam usaha meningkatkan hasil janaan negeri, Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri yang dipengerusikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri (PKN), telah merencana pelbagai strategi bersama pelbagai entiti Kerajaan, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

38. Untuk tempoh jangka masa pendek dan sederhana, sebahagian besarnya telah saya jelaskan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

39. Untuk tempoh jangka masa panjang pula, Kerajaan Negeri akan memperoleh hasil, daripada pemajuan perindustrian menerusi pembaharuan prosedur dan proses kelulusan yang lebih efisien, serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif; pembangunan ladang solar baharu; penjanaan dan perdagangan karbon kredit; pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG); pembangunan loji hidrogen hijau; dan perlombongan unsur nadir bumi, termasuklah merangka strategi untuk memperolehi hasil, menerusi aktiviti Carbon Capture Utilization and Storage (CCUS).

40. Insya-Allah, kita berharap segala perancangan yang dilakukan bagi tahun 2025 ini, akan berjalan dengan lancar seterusnya mampu menjadi pemangkin dan asas untuk mencapai 5 sasaran yang telah saya gariskan menjelang tahun 2030.

41. Segala perancangan ini tidak mampu kita capai, sekiranya minda dan cara kerja kita, tidak melalui proses revolusi menyeluruh, yang memerlukan supaya kita lebih pantas (kita semua termasuk dari Menteri Besar hinggalah ke kakitangan yang paling rendah), memerlukan seluruh warga kakitangan kerajaan dapat bekerja mengikut etikanya - di mana saya juga telah minta pihak pentadbiran supaya lebih bertegas terhadap disiplin waktu kerja, mengurangkan kerenah birokrasi, lebih efisien, bersikap mesra dan pro-aktif dalam merundingi pelabur dan sebagainya.

42. Ingatlah, bahawa tugas dan amanah ini adalah ditanggung oleh kita semua, Demi Masa Depan Terengganu.


Musim Banjir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

43. Saat ini, negeri kita sudah memasuki musim Monsun Timur Laut, dan sudah ada kawasan yang sudah pun mengalami banjir. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini, untuk meminta rakyat Negeri Terengganu agar senantiasa berwaspada       dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

44. Semua agensi dan jentera Kerajaan telah membuat persiapan dan penyelarasan semampunya, bersama dengan JPKK dan seluruh warga di kampung, sebagai usaha kita berhadapan dengan banjir tahun ini. Sama-sama kita panjatkan doa, agar semuanya dipermudahkan dan kita semua selamat serta sejahtera di musim ini.

45. Akhirnya, sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan kali ini.

46. Saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun,


Tiadalah Putih Dimandikan Gagak 

Tiadalah Putih Dibasuhkan Arang

Terus Teguh Berdiri Tegak

Hak Negeri Tetap Diperjuang

 

Usaha Menjangkau Sehabis Tangan 

Ruyung Dipecah Dapat Sagu 

Berikhtiar Tawakal Kepada Tuhan 

Demi Masa Depan Terengganu


Sekian, terima kasih.


Post a Comment

0 Comments