Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Pembentangan Rang Enakmen Perbekalan 2025


 

بِسْمِ الِله، والْمَْدُ لِله

الصَّلَةُ وَالسَّلَمُ عَلَى رَسُوْلِ الِله، وَعَلَى ٰالِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ وَالَهُ أَمَّا ببعَْدُ

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,

Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi,

Yang dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, petugas media, semua tetamu dan pemerhati.

1.            Kepada Allah SWT jualah kita bermohon semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di- Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar dianugerahkan naungan, perlindungan, penjagaan, pemeliharaan, keselamatan dan kesejahteraan, taufik dan hidayah yang sempurna lagi berpanjangan.


Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

2.            Saya memohon untuk membentangkan di Dewan ini Enakmen Perbekalan 2025 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 seperti yang diperincikan dalam Buku Belanjawan 2025 Terengganu Darul Iman.

ANGGARAN HASIL & PERBELANJAAN

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

3.            Setelah meneliti keperluan dan keutamaan semasa, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan 2025 ini menganggarkan sejumlah RM1.887 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta. Manakala hasil pula dianggarkan berjumlah RM1.997 bilion.

4.            Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk Perbelanjaan Lain.

5.            Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM385.79 juta (86%) untuk Sektor Sosial, RM44.28 juta (10%) untuk Sektor Pentadbiran dan RM19.93 juta (4%) untuk Sektor Ekonomi di bawah Perbelanjaan Pembangunan.

6.            Manakala bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion. 

HALA TUJU STRATEGIK 

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

7.            Belanjawan 2025 ini bertemakan “Demi Masa Depan Terengganu”, menggariskan lima fokus Kerajaan Negeri iaitu :

FOKUS 1 Peningkatan          Kelestarian          Fiskal (Fiscal Sustainability) – meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan yang telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan yang efisien.

FOKUS 2 Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain) – merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama, menarik bakat muda, memperkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan. 


FOKUS 3 Pengukuhan Modal Sosial (Social Capital) – melibatkan upaya mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program keagamaan,                    keilmuan,                               pendidikan dan pembangunan modal insan serta penglibatan NGO dalam menangani jenayah, memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan.

FOKUS 4 Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) – mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

FOKUS 5 Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society) – melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mencipta dan mengembangkan peluang  pasaran  serta  membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.

8.            Bagi memandu perancangan dan pelaksanaan rangka tindakan kesemua fokus Belanjawan 2025 ini, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran “masa depan” Negeri Terengganu untuk tempoh jangka sederhana menjelang tahun 2030 seperti berikut :

(1)         Hasil janaan negeri mencecah RM510 juta1 di samping menerima penarafan yang baik daripada Ketua Audit Negara dan badan bebas bagi pengurusan kewangan dan proses belanjawan.

(2)         Pertumbuhan sektor pertanian sekitar 10.6 peratus2 dengan pengeluaran hasil komoditi makanan utama meningkat antara 4.5 hingga 6.0 peratus setiap tahun. 


(3)         Tahap kebahagiaan negeri dan kesejahteraan rakyat melebihi skor 4.753 dan 140.04 masing- masing selari dengan penurunan kadar jenayah indeks per 100 ribu penduduk dan jenayah syariah di bawah paras 50 dan 250 kes masing-masing.

(4)         Ekonomi berkembang antara 6.0 hingga 7.2 peratus setahun5 mencecah RM51.5 bilion6 dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 bilion masing-masing.

(5)         Bilangan PMKS bertambah kepada 53,9007, manakala jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) turut meningkat kepada melebihi 550.

9.            Justeru, ke arah merealisasikan kesemua sasaran ini, Kerajaan Negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI).

INISIATIF BERKEUTAMAAN TINGGI

(High Priority Initiatives, HPI)

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

10.        Menerusi keberkesanan pelbagai strategi yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri sebenar pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta adalah lebih tinggi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta. Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta. Selari dengan itu, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga.

11.        Selain akan menggalakkan penggunaan sistem e-Tanah yang berjaya mempercepatkan proses urusan tanah, PTG juga akan berusaha menyelesaikan tunggakan cukai tanah antaranya melibatkan notis amaran dan notis rampasan kepada pemilik tanah yang gagal melunaskan bayaran cukai.

12.         Hasil daripada sektor perlombongan pula akan ditambah dengan meminda kadar royalti mineral yang telah diguna pakai sejak lebih 20 tahun lalu. PTG juga meluluskan dua kawasan untuk kajian awal bagi perlombongan unsur nadir bumi selain bekerjasama dengan MBI bagi meneruskan perundingan dengan para pelabur untuk merintis pembangunan industri mineral di negeri kita.

13.        Selain itu, Kerajaan Negeri juga dijangka akan memperoleh hasil daripada pelesenan pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber melalui penguatkuasaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

14.        Supaya pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan.

15.        Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama Belanjawan (ICC-KBI) bagi memacu prestasi dan menggembleng penglibatan pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan rakyat.

16.        Kerajaan Negeri juga akan menyelaras pewujudan sebuah pengurusan dana yang lebih cekap bagi mengumpul dan mengagihkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan sasaran sebanyak RM15 juta daripada anak syarikat dan badan berkanun Kerajaan Negeri serta pihak swasta untuk memberikan impak yang lebih maksimum.

17.        Selain itu, dalam daya upaya untuk meningkatkan taraf sosioekonomi di negeri kita, instrumen wakaf amat berpotensi sebagai pemacu bagi menangani isu pengangguran, kemiskinan, keterjaminan makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Justeru, bagi mencapai hasrat ini, inisiatif berskala besar yang melibatkan instrumen kewangan Islam untuk membiayai pembangunan hartanah akan digerakkan bersama MAIDAM. 

18.        Bagi mengurangkan beban kewangan dan mempercepatkan proses pembangunan pula, UPEN akan mewujudkan kerjasama awam-swasta yang lebih mesra dan efisien termasuk dalam membangunkan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar stesen ECRL.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,


19.        Sektor Pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4 peratus berbanding penguncupan

3.3 peratus pada tahun 2022, didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor Tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor Perikanan. Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023.

20.        Bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri kita, Kerajaan Negeri akan membuka kawasan baharu untuk memperluas kawasan bertanam melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh program pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras.

21.        Pelbagai usaha juga dijalankan untuk menambah populasi lembu, kambing dan ayam dengan mentransformasikan model dan infrastruktur ladang penternakan serta menggiatkan permanian beradas.

22.        Bagi memperkaya sumber perikanan pula, perhatian akan diberikan kepada usaha pembangunan dan penyelenggaraan ekosistem marin, pelepasan benih ikan ke perairan umum dan pengeluaran akuakultur serta penaiktarafan pelabuhan dan kompleks perikanan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

23.        Menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur. 

24.        Dalam usaha membangunkan industri asas tani pula, Kerajaan Negeri memudahcara untuk melengkapkan para usahawan dengan keperluan pensijilan kualiti, penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan serta pengeluaran seterusnya bersedia untuk pemadanan perniagaan, pemasaran dan pengeksportan.

25.        Di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Trengganu dan TADC juga turut menggerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic di Setiu.

26.        Inisiatif-inisiatif ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada 65 program di bawah 27 strategi yang terangkum di dalam 5 kluster Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2024-2030 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

27.        Secara umumnya, taraf dan kualiti hidup rakyat negeri kita berada di kedudukan tiga teratas di Semenanjung Malaysia terutamanya bagi komponen pendidikan, keselamatan awam dan keluarga. Selain peranan kerajaan, ia adalah manifestasi daripada hubungan antara individu, keluarga dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama yang lahir daripada proses agama, ilmu dan budaya dalam masyarakat kita.

28.        Justeru, Kerajaan Negeri akan menganjurkan sebuah karnival induk di kesemua 32 DUN yang bertemakan “Indahnya Hidup Bersyariat” membabitkan pelbagai aktiviti bermanfaat bagi meningkatkan penghayatan Islam, memperkasa institusi keluarga, membangunkan potensi belia, memudahcara pemadanan pekerjaan, meningkatkan jualan peniaga, mempromosikan produk pelancongan dan mengakses perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, penganjuran karnival ini akan turut melibatkan pelbagai agensi seperti JHEAT, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YPK, YPU dan THRDC.

29.        Kerajaan Negeri juga akan memastikan jentera penerangan kerajaan iaitu UPDI dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber manusia yang kompeten untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada semua kumpulan sasar.

30.        Bagi menggalakkan masyarakat membaca, mentadabbur dan mengamalkan al-Quran, Yayasan Islam Terengganu, KQT dan DUAT akan menyuburkan program penghayatan al-Quran untuk golongan kanak-kanak, dewasa dan OKU serta memperkasa guru-guru al-Quran. Kerajaan Negeri juga mengalu- alukan penglibatan dan penganjuran bersama daripada pihak swasta untuk menjayakannya ke seluruh negeri.

31.        Di samping itu, bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan, Yayasan Terengganu dengan kerjasama Terengganu Inc. akan menambah jumlah dana kepada RM6 juta untuk biasiswa ke peringkat pengajian tinggi.

32.        Unit-unit tubuh dan Akademi Kepimpinan Al-Fateh selain akan diperkasakan objektif dan fungsinya, juga akan bekerjasama dalam melaksanakan program-program pembangunan sumber manusia antaranya Itqan Insani (i-MITS), Dai’e Perintis (DUAT), MediaPro (UPDI), High Potential Talents (UBSNT), Ikon Wanita (USWa) dan Belia Al-Fateh.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

33.        Sesuai dengan kedudukannya dalam Islam, Kerajaan Negeri akan menambah baik prasarana dan kemudahan di mahkamah-mahkamah syariah serta memberikan perhatian terhadap keperluan para hakim syarie. Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu juga dalam proses untuk meminda Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2021 bagi merealisasikan penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tier ke-4 seterusnya akan turut meminda Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2021. Kerajaan Negeri juga akan memantapkan pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dengan nilai perundangan. 

34.         Sebagai usaha untuk mengekalkan kesejahteraan rumah tangga, JHEAT akan memperkasa perkhidmatan ‘ilaj syarie dan runding cara keluarga melalui penglibatan pengamal pengubatan Islam dan profesional kesihatan mental yang berdaftar serta menganjurkan Sambutan Hari Keluargaku Syurgaku (S-Jannati) melalui YPK bagi memangkin pengukuhan institusi keluarga.

35.        Bagi meningkatkan sektor pasaran hartanah dan memenuhi permintaan perumahan terutama bagi kategori rumah mampu milik, Bahagian Perumahan SUK, PMINT dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu akan merancakkan industri perumahan menerusi dasar pembangunan perumahan secara penswastaan yang lebih menguntungkan kedua-dua pemaju dan pembeli. Antaranya dengan menyediakan insentif yang lebih baik kepada pemaju dan memperkenalkan variasi baharu rumah mampu milik sebagai pilihan tambahan kepada pembeli.

36.        Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan memberikan perhatian terhadap usaha untuk menangani isu projek perumahan swasta terbengkalai.

37.        Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kerja-kerja membina sebuah bangunan dewan serbaguna untuk indoor game seperti skuasy dan badminton serta kemudahan berkaitan lain di Kompleks Sukan Negeri Terengganu sebagai langkah bagi melonjakkan kecemerlangan prestasi sukan.

38.        UBSNT pula akan lebih berperanan untuk menggerakkan NGO dalam misi bantuan kemanusiaan dan program pembangunan kapasiti komuniti antaranya melaksanakan program kesedaran kesihatan dan mempersiapkan sukarelawan untuk menghadapi suasana banjir.

39.        Sebagai usaha menangani penghijrahan cendekiawan (brain drain) dan supaya dapat menggembleng kearifan tempatan (local wisdom), Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Majlis Pakar Terengganu (Terengganu Experts Council) sebagai platform kepada anak negeri kita yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang strategik untuk menyumbang bakti bagi merealisasikan “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang tahun 2030.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

40.        Dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk memberi dan mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi di negeri kita sekali gus menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran.

41.        Justeru itu, MBI dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui. 

42.        Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon. Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun.

43.        Di samping itu, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, UPEN dan PMINT akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti. Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

44.        Kerajaan Negeri juga akan mengoperasikan sebuah pejabat pemasaran yang lebih bersepadu dan memainkan peranan yang lebih progresif untuk mempromosikan potensi dan prospek pelaburan, perdagangan serta pelancongan di negeri kita.

45.        Selain itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang mengusahakan pembangunan sebuah platform sehentian dalam talian yang menyediakan pelbagai maklumat serta membolehkan pengguna menavigasi dan mengakses dengan mudah semua pengalaman unik yang terdapat di negeri kita termasuk destinasi menarik, kemudahan penginapan dan pakej pelancongan.

46.        Bagi mempromosikan negeri kita sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa pula, selain akan meneruskan penganjuran Tour Gateh D’Tranung yang telah mengharumkan nama Negeri Terengganu dengan jolokan “Land of Cyclist”, Kerajaan Negeri juga akan kembali menganjurkan Sultan Mahmud Bridge International Run yang turut melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara. Penganjuran Karnival Pantai Terengganu pada Oktober lepas yang mempamerkan budaya dan warisan negeri kita akan diperhebat dengan turut menonjolkan keunikan beberapa negara serantau bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

47.         Kerajaan Negeri sentiasa prihatin sekali gus memberikan perhatian terhadap keadaan sosioekonomi golongan belia terutamanya melalui program pemadanan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan. Alhamdulillah, kadar pengangguran di negeri kita juga telah menurun dengan signifikan kepada 3.7 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.5 peratus pada suku kedua tahun lalu.

48.        Oleh itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan PMKS ke arah pendigitalan, YPU, TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital. Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan konsortium kedai-kedai runcit milik koperasi kariah masjid bagi memastikan kebolehcapaian terhadap barangan keperluan pada harga berpatutan sekali gus membantu para usahawan untuk meningkatkan jualan dan menembusi pasaran yang lebih luas.

49.        Ke arah merancakkan perkembangan pasaran halal secara holistik di seluruh negeri, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis Halal Terengganu melibatkan pelbagai badan berkaitan kerajaan. Inisiatif ini bagi memperkemas dan memudahcara proses permohonan, pengeluaran dan pematuhan sijil halal serta menggalakkan penyertaan dan pertumbuhan pemain industri ke arah mencapai objektif jangka panjang bagi membangunkan halal park yang berakreditasi di negeri kita.

50.        Di samping itu, YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan.

51.        Menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing.

PENUTUP

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

52.        Mengakhiri ucapan ini, saya ingin menegaskan key success factors bagi memastikan kesemua inisiatif dan sasaran yang digariskan dalam Belanjawan 2025 ini dapat direalisasikan dengan jayanya insyaAllah yang saya rumuskan dalam singkatan I.M.A.N, iaitu :

(1)         Integrity (Integriti) – kita wajib mengamalkan standard akhlak yang tinggi, mengelakkan rasuah dan salah guna kuasa serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

(2)         Mission-driven (Berpandukan Matlamat) – kita harus menjajarkan semua dasar, program dan aktiviti kepada matlamat jangka panjang yang jelas serta berorientasikan keberhasilan.

(3)         Accountability (Kebertanggungjawaban) – kita mesti bertanggungjawab serta menyediakan maklumat yang sebenar mengenai kemajuan dan implikasi bagi keputusan dan tindakan yang dibuat.

(4)         Networking (Jaringan Hubungan) kita hendaklah saling bekerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri dan Persekutuan serta pihak swasta dan orang awam untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai kepakaran, sumber dan inovasi.

53.        Saya optimis, masa depan Negeri Terengganu adalah cerah. Bukan sahaja maju pada aspek ekonomi dan fizikal, rakyatnya juga menikmati kesejahteraan yang menyeluruh dalam segenap aspek. Lebih penting, Negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa diberkati oleh Allah SWT.


فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَ هَّكْ عََ ٱ هَّلِل ۚ إِ هَّن ٱ هَّلَل يُِبُّ ٱلْمُتَوَكِِّيَن

“...kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Ali ‘Imran, 3:159)

 

Sebelum saya akhiri, saya ingin membaca dua pantun pada hari ini.

Makan akok, nganang dan roti,
Ayam percik pula tersedap di dunia,
Marilah kita berpadu hati,
Membawa Terengganu ke pentas dunia.

Minum air coklat berkongsi sama,
Roti bakar dan telur sarapan kita,
Bajet ini bajet kita bersama,
Demi masa depan Terengganu kita.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Saya mohon mencadang.


Sekian.


ٱلسَّلَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحَْةُ ٱلٰلَّهِ وَببرََكَاتُهُ

Post a Comment

0 Comments