TDM Meterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bersama Affin, Maybank


 KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad memeterai Perjanjian Program Sukuk Wakalah bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad. 

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Doubletree by Hilton Kuala Lumpur dengan disaksikan Pengerusi TDM Berhad merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program Sukuk Wakalah adalah langkah signifikan dalam perjalanan TDM untuk mencapai pertumbuhan yang berterusan. 

"Dana yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyokong pelaburan masa hadapan dan memenuhi komitmen kewangan TDM dengan mematuhi prinsip Shariah. 

"Kerjasama dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad selaku penasihat utama bersama dan pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi Program Sukuk Wakalah tersebut mencerminkan keyakinan rakan kewangan kami terhadap visi dan strategi jangka panjang TDM," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, pogram tersebut memberi fleksibiliti kepada TDM untuk menerbitkan nota jangka sederhana mengikut prinsip shariah Wakalah Bi Al-Istithmar, dengan pilihan untuk menerbitkan Sukuk Wakalah tersebut sebagai ‘Rated’ atau ‘Unrated’.

"Inisiatif ini membolehkan TDM mengoptimumkan struktur kewangan, menyokong pertumbuhan masa depan dan memperkuat kedudukan modal operasi. 

"Tempoh keseluruhan program ini adalah selama 30 tahun bagi menyediakan keperluan kewangan untuk menyokong projek-projek akan datang dalam sektor Perladangan dan Penjagaan Kesihatan.

"Sebahagian besar daripada hasil penerbitan Sukuk akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, pelaburan, keperluan modal kerja, dan tujuan korporat am Kumpulan," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, program berkenaan juga bertujuan mengoptimumkan struktur kewangan termasuk membayar semula pembiayaan sedia ada. 

"Selain itu, dana ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan modal operasi bagi memastikan kelancaran operasi harian dan mengekalkan kecekapan operasi dalam perniagaan Kumpulan secara menyeluruh," ujarnya.

Menurut beliau, TDM kini menguruskan 13 ladang kelapa sawit yang berkeluasan 28,531 hektar dan masing-masing dua kilang kelapa sawit, kilang Bio-Organik dan loji Biogas yang terletak di Terengganu. 

Di samping itu katanya, Kumpulan TDM juga mengendalikan lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berlokasi di Kuala Terengganu, Kuantan, Taman Desa, Kelana Jaya, dan Tawau.

"Program Sukuk Wakalah ini akan memastikan TDM mempunyai kemampuan kewangan untuk memacu sektor perladangan dan memperluaskan penjagaan kesihatan.

“Program ini dijayakan dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyusun Utama Bersama dan Pengurus Utama Bersama. 

"Affin Hwang Investment Bank Berhad juga berperanan sebagai agensi fasiliti, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat Shariah untuk program ini," ujarnya. - TRDI

Post a Comment

0 Comments