Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Penutupan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026


Muqaddimah

1.              Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kita pada hari ini akhirnya tuan-tuan dan puan-puan selaku ahli majlis telah selamat menghadiri Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu untuk Penggal 2024-2026.

2.              Tahniah kepada seramai 62 orang Ahli Majlis baru yang telah dilantik dan 112 orang Ahli Majlis yang telah disambung perkhidmatan termasuk ex-officio yang turut dilantik bagi penggal 2024 hingga 2026 untuk menjalankan tugas di PBT masing-masing. Keseluruhannya, kita ada 174 orang ahli-ahli majlis yang baru dan lama untuk menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan.

Peranan Ahli Majlis

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

3.              Semua kita sudah sedia maklum tentang peranan, tanggungjawab, akauntabiliti, dan keperluan integriti masing-masing sebagai  Ahli Majlis dan sudah tentunya sepanjang dua hari kursus yang telah dijalani oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian ini sudah memahami dan mematuhi segala akta yang perlu digunapakai oleh Majlis sama ada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) mahupun Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) atau lain-lain undang-undang yang digubal untuk dilaksanakan di PBT masing-masing.

4.              Tuan-tuan dan puan-puan sekalian adalah penghubung di antara Kerajaan dengan komuniti atau rakyat di bawah untuk mencapai semua matlamat yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri serta di masa yang sama mampu mewakili kepentingan-kepentingan masyarakat setempat.

5.    Ahli-ahli Majlis juga mestilah peka kepada keperluan dan kepentingan awam, serta tanggungjawab untuk menyumbangkan idea kepada PBT masing-masing, untuk memaju dan meningkatkan perkhidmatan, dan tidak hanya menjadi Ahli Majlis untuk melengkapkan bilangan korum mesyuarat semata-mata.

    Dan sudah tentunya dalam mengadakan perbincangan di peringkat PBT masing-masing akan timbul perbezaan pandangan dan pendapat. Kita adalah manusia yang berbeza-beza. Tentu ada pendirian, pandangan akibat daripada latar belakang yang berbeza-beza dan kadang kala kita boleh bertegang urat, bertegang suara, dan kadang kala kita akan bertemu dengan ahli-ahli  mesyuarat kita yang jenis, kalau orang Terengganu kata jenis keras keng, akan ada belaka. Tidak dapat tidak kerana itulah rencam dalam masyarakat kita tetapi yang penting ialah kita harus sedar bahawa tanggungjawab yang kita buat semasa bermesyuarat ataupun tidak bermesyuarat dan sepanjang menjadi ahli majlis ini adalah bukan untuk melaksanakan kepentingan peribadi masing-masing, kita sendiri tetapi untuk melaksanakan kepentingan hasrat kerajaan termasuklah mungkin dalam ketika tertentu kita mengetepikan kepentingan, pandangan dan sentiment peribadi sendiri kita.

6.    Perkara yang sepatutnya dapat diselesaikan di dalam mesyuarat, dan sudah tentu ada perkara yang tidak selesai dengan satu perbincangan. Akan ada beberapa perbincangan atau libat urus atau cara-cara yang tertentu, jangan dibawa keluar daripada mesyuarat untuk dipertegangkan pula di media social, di luar mesyuarat, apatah lagi tuan-tuan sedia maklum kategori dokumen-dokumen dan maklumat-maklumat yang ada sama ada ianya adalah sebagai terhada, sulit, apatah lagi jika sekiranya dikategorikan sebagai rahsia.

7.    Zaman kita sekarang ini, zaman baharu, bukan macam dahulu. Suatu masa dahulu mungkin, tak puas hati, surat layang sebagai surat pembaca atau surat pengarang dalam media-media massa, puluh tahun dahulu. Tapi sekarang ini mungkin di kalangan kita tidak tetapi ada orang lain yang mendapat maklumat dan cuba mempertegangkan maklumat ini di media social. Yang akhirnya, yang akan memberi kesan kepada kita sendiri di peringkat PBT.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8.    Akhir kata, saya ucapkan sekali lagi tahniah dan selamat maju jaya kepada semua Ahli Majlis yang telah dilantik. Selamat menjalankan tugas. Peganglah amanah ini, yang diberikan ini untuk menjadikan Negeri Terengganu kita ini sebagai Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.

9.              Dengan membaca Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Penutupan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu Penggal 2024-2026. Semoga kita semua diberkati oleh Allah SWT. Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamuaalaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Post a Comment

0 Comments