Jauhi kempen berbaur ugutan, hasutan – Ahmad Samsuri


 PETALING JAYA – Pas meluahkan kembimbangan apabila ada pemimpin parti tertentu mula menggunakan kempen berbaur ugutan dan menakut-nakutkan bukan Melayu di akhir fasa kempen ketika ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kempen sebegini mengulangi kempen politik tidak sihat yang telah dibuat seorang pemimpin sebelum ini yang mengatakan sekiranya gelombang hijau menang, maka akan dirobohkan kuil-kuil.

Jelasnya, kenyataan seumpama itu merupakan ucapan yang amat jahat serta mengancam keharmonian kaum di Malaysia.

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini, mengajak dan menasihati para pemimpin politik untuk tidak menggunakan kempen politik ugut sebegini, berkempenlah secara sihat dan matang dalam memastikan keharmonian kaum dapat dijaga.

“Saya juga berharap rakyat Malaysia tidak termakan dengan politik sebegini yang sudah pasti merendah-rendahkan intelektual rakyat dan tidak madani. Budaya politik kuno sebegini wajar dinoktahkan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hannah Yeoh di hadapan orang bukan Melayu yang mengatakan sekiranya menukar Menteri Besar Selangor kepada calon daripada Pas dan menyingkirkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya adalah tindakan menghukum diri sendiri serta menghukum anak dan cucu di Selangor.

Jelas beliau lagi, di bawah pentadbiran Pas di Terengganu, hubungan kaum dijaga dengan harmoni, kebajikan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna parti terus dijamin tanpa ada sebarang diskriminasi.

“Hak semua rakyat ini telah dijamin oleh perlembagaan dan menjadi tuntutan dalam Islam.

“Justeru, saya mengajak semua pihak agar jadikan Pilihan Raya Negeri ini sebagai satu referendum untuk kita menoktahkan budaya politik ugut dan menakut-nakutkan rakyat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Post a Comment

0 Comments