KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan isu pembayaran royalti petroleum sejak 2022 sebagai 'episod hitam' yang mencalar hak pentadbiran negeri dan menjejaskan kelangsungan perancangan pembangunan untuk rakyat.
Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022, berlaku perubahan dalam kaedah penyaluran royalti kepada Terengganu apabila kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus sekitar 50 peratus daripada keseluruhan jumlah bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menurutnya, keadaan itu juga tidak mengikut amalan asal pembayaran royalti dua kali setahun seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
"Episod ini tidak patut berlaku pada zaman moden, apabila kepentingan politik mengatasi keperluan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.
"Apabila hanya separuh sahaja royalti dapat diurus kerajaan negeri, ia menyukarkan kita membuat perancangan dan pelaksanaan pembangunan, apatah lagi melibatkan kepentingan rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu yang merujuk kepada ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 2026.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan supaya kaedah penyaluran royalti kembali kepada amalan asal sebelum 20 November 2022.
"Kita mahu hak negeri dipulihkan sepenuhnya agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur dan mampan demi kepentingan rakyat," katanya.
Sebelum ini, ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Terengganu ke-15, beliau menyatakan Kerajaan Terengganu menerima sebanyak RM1.08 bilion royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan setakat 2 November lalu.
Jelasnya, jumlah itu bersamaan 66.44 peratus daripada anggaran keseluruhan RM1.63 bilion sepatutnya diterima bagi tahun ini.
Menurut Ahmad Samsuri, daripada jumlah itu hanya RM583juta (53 peratus) disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri, manakala selebihnya RM497 juta (47 peratus) diuruskan oleh pihak lain di peringkat Persekutuan.
Untuk rekod, pada 2024 kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.5 bilion.
Jumlah itu menunjukkan Terengganu hanya mengurus 53 peratus hasil berkenaan, manakala selebihnya tidak dihantar terus ke akaun negeri.
0 Comments