KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Masalah pengairan di kawasan sawah padi luar jelapang yang telah berlarutan sejak sekian lama bakal menemui titik penyelesaian apabila kerajaan meluluskan dasar peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan tali air utama.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pelbagai usaha dan rintangan telah dilalui sebelum kelulusan tersebut berjaya diperolehi daripada kerajaan Persekutuan.
“Ketiadaan sumber air daripada empangan menyebabkan petani hanya bergantung kepada parit semula jadi atau tali air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang nyata tidak mencukupi bagi menampung keperluan tanaman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Status Projek KETARA Fasa 2 yang berlangsung di Tingkat 6, Wisma Darul Iman semalam.
Menurut beliau, pembinaan tali air baharu akan dimulakan dari Empangan Paya Peda di Hulu Besut, dan akan mengalir ke kawasan Skim Pengairan Padi Luar Jelapang seperti Bukit Jeruk, Kepala Gajah, Gong Ubi Keling, Padang Lengkuas, Gong Machang dan Gong Telikong.
Dato’ Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi memaklumkan, ketika ini terdapat 7,000 hektar sawah padi luar jelapang di seluruh Terengganu, berbanding hanya 5,000 hektar dalam kawasan jelapang padi yang berada di bawah pengurusan IADA Ketara.
“Kawasan jelapang padi IADA Ketara merupakan penyumbang utama pengeluaran padi negeri ini kerana lengkap dengan sistem pengairan yang tersusun,” ujarnya.
Tambah beliau, sejak tahun 2018, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memasukkan baki 5,000 hektar kawasan luar jelapang tersebut ke dalam Projek IADA Ketara Fasa 2.
Mesyuarat penyelarasan tersebut turut melibatkan agensi dan jabatan berkaitan termasuk JPS Bahagian Pertanian KPKM, Jabatan Pertanian, IADA Ketara, jurutera perunding projek serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu.
“Kita kini berada dalam fasa pengambilan tanah yang sedang dilaksanakan dan dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum projek ini ditender,” katanya mengakhiri kenyataan. -TRDI
0 Comments