Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Wrh Brh
Ampun Tuanku,
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Segala Jajahan Takluknya,
Mengadap Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.
Ampun Tuanku,
Sebagai pemula kata, patik mewakili Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dengan penuh takzim menjunjung duli dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah pekenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al- Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Segala Jajahan Takluknya dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al- Wathiqu Billah Sultan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berangkat mencemar duli ke Majlis Penganugerahan Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) 2024, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada petang yang berbahagia ini.
Sesungguhnya dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku pada hari ini amat dialu-alukan dan dinanti-nantikan kerana memberi makna yang begitu besar kepada peminat peminat sukan selam skuba dan para jurugambar dasar laut.
Ampun Tuanku,
Patik dengan ini memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan sepatah dua kata kepada para hadirin yang hadir di majlis yang penuh bermakna pada hari ini.
Ampun Tuanku,
Salutasi
1.
Sultan Mizan Underwater Photography Award
SMUPA merupakan inisiatif istimewa yang lahir daripada ilham Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Tuanku, bertujuan memperkenalkan keindahan dan keunikan dasar
laut negeri Terengganu kepada dunia. Sejak penganjuran pertamanya, sambutan
terhadap pertandingan ini amat menggalakkan, melibatkan para jurugambar dasar
laut dari dalam dan luar negara sekaligus merancakkan sektor pelancongan di
negeri ini.
2.
Pertandingan SMUPA 2024 ini dinilai oleh
juri berkaliber dan mereka berpandangan penyertaan SMUPA bagi edisi 2024 telah
meningkat dengan ketara, melibatkan jurugambar berbakat dari pelbagai negeri.
Karya-karya yang dihasilkan bukan sahaja memperlihatkan keindahan lautan
Terengganu, tetapi turut membawa mesej kuat tentang pentingnya kita memelihara
ekosistem marin untuk generasi akan datang.
3.
Oleh itu, dikesempatan ini saya juga ingin
mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Anda telah membuktikan
bahawa bakat, dedikasi, dan minat boleh menghasilkan karya-karya yang luar
biasa. Sesungguhnya, gambar-gambar yang dihasilkan bukan sekadar imej, tetapi
juga kisah-kisah keindahan dan keajaiban laut Terengganu yang ingin kita
wariskan kepada generasi akan datang dan pastinya meningkat sektor ekonomi dari
sudut pelancongan.
4.
Menyedari kejayaan SMUPA dan berkat ilham
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan penuh rasa sukacita saya
mengumumkan, Sultan Mizan Underwater Photography Award (SMUPA) akan
diperluaskan menjadi Sultan Mizan International Photography Award (SMIPA)
pada tahun 2025.
5.
Dengan pelancaran SMIPA 2025 kelak,
pertandingan ini akan dibuka kepada penyertaan global, Terengganu diharapkan
akan mendapat tempat dan nama sebagai salah satu lokasi fotografi marin dan
alam semula jadi bertaraf dunia. Disamping itu, dua kategori baharu akan
diperkenalkan, iaitu:
1. Kategori
Budaya (Culture): Merakam keunikan budaya, warisan, adat resam dan kehidupan
masyarakat Terengganu dan rantau ini.
2. Kategori
Alam Semula Jadi (Nature): Menampilkan keindahan landskap, flora dan fauna di
daratan, dengan fokus kepada kelestarian dan konservasi alam. Dengan penambahan
ini, SMIPA 2025 akan meliputi keindahan Terengganu dari dasar laut hingga ke
daratan, menawarkan peluang lebih luas kepada jurugambar mempersembahkan
kreativiti mereka.
Penutup
6.
Akhir kata, Saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pemenang SMUPA
2024, semua peserta yang menyumbangkan karya-karya hebat, semua pihak yang
bekerja keras menjayakan pertandingan ini. Sekali lagi, patik menjunjung kasih
kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas keprihatinan dan sokongan
terhadap pemuliharaan alam dan pembangunan pelancongan negeri Terengganu.
7.
Semoga dengan usaha berterusan ini, negeri
kita akan terus makmur dan diberkati, serta kekal menjadi permata yang bersinar
di mata dunia.
Ampun Tuanku,
Sekian lah
sahaja persembahan ucapan patik, sekali lagi patik dan seluruh Jawatankuasa
Kerja serta para hadirin sekalian menjunjung duli dan menjunjung
setinggi-tinggi kasih diatas limpah pekenan Kebawah Duli Yang Mulia Tuanku dan
Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu berangkat mencemar duli
ke Majlis Penganugerahan Sultan Mizan Underwater Photography
Award (SMUPA) 2024 pada petang ini.
Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakthu,
Ampun Tuanku,
0 Comments