Teks Ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 1.0

Salutasi


1.              Alhamdulillah, kita berada dalam majlis yang merupakan suatu titik yang sangat penting iaitu untuk kita terus memimpin Negeri Terengganu Darul Iman yang tercinta ini. Terima kasih kepada semua para hadirin, semua rakyat yang memberi kepercayaan kepada kami untuk memimpin Negeri Terengganu sejak daripada tahun 2018 lagi. Negeri Terengganu ini adalah negeri kita semua, bukan sahaja kepada mereka yang memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya yang lalu, bahkan mereka yang tak undi pun, mereka merupakan rakyat Negeri Terengganu yang wajar dipimpin.

 

2.              Tahniah kepada penganjur dan objektif kita adalah untuk mengajak seluruh rakyat Negeri Terengganu dan luar Terengganu walaupun program pada malam ini adalah program anjuran Parti Islam SeMalaysia PAS, tapi hasrat kita adalah untuk mengajak seluruh rakyat negeri Terengganu untuk bersama dengan kita, untuk sama-sama kita pimpin bagi membina Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera. Kita duk sebut sokmo, kita nak pimpin rakyat dan Negeri Terengganu untuk maju, berkat dan sejahtera.

 

3.              Apa maksud dia maju? Apa maksud berkat? Apa maksud sejahtera? Maju ni lagu mana gak? Saya masih ingat pada tahun 2019 sebelum COVID-19, saya pergi ke Norway, sebuah negara Skandinavia dengan suatu hasrat untuk melihat bagaimana cara pengurusan Sovereign Fund Norway, tabung kewangan negara Norway yang mendapat hasil minyak dan gas yang banyak. Semua hasil negara Norway ini daripada minyak dan gas dimasukkan dalam satu tabung yang dijaga oleh kerajaan dan diamanahkan kepada mereka yang pakar untuk mengurus tabung ini. Dan kerajaan hanya boleh ambil 4% sahaja untuk pengurusan negara dan pembangunan negara. 4% sahaja daripada wang hasil petrolium dan gas. Selebihnya, 96% digunakan untuk pelaburan.

 

4.              Saya pergi, selepas bertemu dengan kementerian kewanganlah, balik ke hotel saya duduk minum kopi di tepi hotel. Meja sebelah saya ada satu pasangan bersama dengan dua anak kecil. Saya duduk perhati, pasangan ini duduk bercakap macam pasangan lah, macam laki bini bercakap. Ada anak cakap-cakap-cakap. Rupa-rupanya negara maju seperti mereka ini macam-macam jenis pasangan. Rupa-rupanya pasangan yang kita kata pasangan itu adalah bukan laki bini, lelaki dan lelaki yang jadi bini dia. Kahwin sama-sama lelaki dapat anak, tak tahu mari dari mana anak tu. Adalah dia kata anak dia dua orang. Saya tengok itu membayangkan negara yang kononnya maju.

 

5.              Adakah maju yang demikian yang kita nak capai? Adakah maju seperti negara-negara di sebelah barat yang dilihat maju tetapi tidak ada roh, tetapi masyarakatnya punah-peranda? Maka tentunya kita kena beri kefahaman kepada seluruh rakyat dalam negeri kita ini dan juga rakyat dalam negara kita, Malaysia. Maju yang bagaimanakah yang kita nak negara kita ini? Saya sebut maju ini kerana apa? Kerana ada pula yang kata Negeri Terengganu kita ini tak ada bangunan-bangunan tinggi. Mana pembangunannya yang kita nak tengok? Kalau buat bangunan tinggi pun, nak buat apa? Tidak tengok. Lepas itu kosong bangunan itu. Maka tentulah, itu bukan tanda kemajuan yang kita nak. Maju dalam konteks Negeri Terengganu yang kita duduk sebut sokmo ni, Maju Berkat Sejahtera ialah keseimbangan antara dunia dan akhirat. Lahiriah dan batiniah berlandaskan Islam yang menjadi asas kita demi menjadikan rakyat hidup dengan penuh kemakmuran, nilai moral yang tinggi dan kesejahteraan bersama.

 

6.              Bukan maju, tengok sepertimana negara barat tu yang tidak ada isi. Luar nampak macam-macam comel tapi di dalam tidak ada apa-apa. Kita nak acuan kita sendiri. Kemajuan ekonomi kita nak, kemajuan pendidikan dan ilmu, kemajuan infrastruktur kita nak. Tapi infrastruktur yang bagaimana? Infrastruktur yang berguna kepada rakyat dan negeri. Bukan pergi buat suatu binaan di tengah hutan yang takde orang pakai. Tapi membuat binaan pembangunan infrastruktur yang berguna untuk rakyat. Kemajuan macam mana lagi? Kemajuan sosial dan kebajikan dan saya rangkumkan sebagai kemajuan yang berasaskan kepada syariat. Itu maksud maju yang kita nak capai di Negeri Terengganu ini.

 

7.              Berkat. Dalam dunia barat dia takde istilah berkat. Kita sahaja ada istilah berkat. Dunia barat, dunia jauh di sebelah Jepun, Korea walaupun maju tidak ada istilah berkat. Kerana pada mereka urusan dunia adalah urusan dunia semata-mata. Tidak ada sambung. Tidak ada rantaian yang sampai kepada Tuhan. Berkat bermaksud kita mendapat limpahan kebaikan dan rahmat dan keredhaan Allah SWT dalam segala aspek pertabiran kita. Kita nak kita memerintah dengan berkat. Bukan di Wisma Darul Iman sahaja, seluruh jabatan-jabatan juga mendapat keberkatan, seluruh daerah-daerah mendapat keberkatan. Di pejabat tanah, pejabat majlis, semua di syarikat-syarikat di bawah kerajaan, semua kita nak berkat. Ia bukan suatu kejayaan di mata manusia semata-mata tetapi kejayaan yang ada sambungan dengan dosa dan pahala. Sambungan kita kepada Tuhan, ada perkiraan dosa dan pahalanya.

 

8.              Berkat kita ini selain daripada itu ialah kerana untuk mendapat keredhaan Allah SWT di mana semua dasar, keputusan dan pembangunan dilaksanakan untuk mendapat keredhaan Allah, bukan hanya sekadar kejayaan duniawi semata-mata. Pembangunan pula, yang halal dan berintegriti. Kehidupan yang harmoni dan aman. Manfaat yang melimpah dan berterusan hasil daripada keberkatan, keadilan dan kesaksamaan, pembangunan yang bersifat inklusif, tidak meminggirkan golongan miskin, OKU, orang luar bandar, orang bandar, penyokong parti atau bukan penyokong parti, semua rakyat Negeri Tengganu mendapat manfaatnya dengan cara dan kadar masing-masing yang adil. Itu tujuan untuk kita mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

 

9.              Sejahtera bermaksud dalam konteks Negeri Tengganu ialah kita hidup dalam keadaan aman, selesa dan adil. Bukan sekadar bebas daripada penderitaan tetapi kehidupan kita adalah kehidupan yang stabil dan penuh harapan, selari dengan prinsip Islam, budaya tempatan dan matlamat pembangunan yang lestari. Kehidupan kita aman, selamat, ada seimbang dunia dan akhirat. Kita juga dalam masa yang sama, bukan bermakna kita takmboh segala kemudahan asas dan kualiti hidup. Kita nak, tapi kita nak ianya adalah yang dalam keberkatan di sisi Allah SWT. Sejahtera juga bermakna kita menjaga ekonomi rakyat, kestabilan sosial dan moral.

 

10.          Barulah kita kena rangkumkan Maju, Berkat, Sejahtera ini, itulah kefahamannya. Sebab ada juga di luar sana orang duduk kata kalau tengok GDP bakpe Tengganu ini nak berbanding dengan negeri lain, rendah. GDP ini bagi pakar ekonomi adalah satu kaedah untuk mengukur kedudukan ekonomi sesebuah negeri atau negara. Kaedahnya bukan sempurna, tak perfect. Tapi buat masa ini itulah yang dipakai oleh pakar-pakar ekonomi untuk mengukur. Tapi dalam masa yang sama kita juga harus faham, ada aspek-aspek yang tidak diambil kira dalam pengukuran GDP ini.

 

11.          Hati dan perasaan tak diambil kira, semua dilihat nombor semata-mata. Keberkatan tak ada dalam perkiraan GDP. Keharmonian, kesejahteraan tak ada dalam GDP. Negara lain di luar negara sana, di sebelah Eropah, GDP mungkin tinggi tapi rakyat tidak aman terhadap jiwa dan raganya. Negara Skandinavia yang saya sebutkan tadi, bersama dengan negara sekitar dia - saya tak nak sebut namalah. Apabila tiba musim sejuk, musim winter, kadar bunuh diri adalah yang paling tinggi dalam dunia. Orang bunuh diri. Tak tahan sebab apa? Sebab siang hari 4 jam, 5 jam saja ada musim winter. Akhirnya bunuh diri.

 

12.          Negara duit banyak, trillion, GDP tinggi. Semua rakyat sekolah daripada sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, percuma di Negara Skandinavia ni. Tapi pasal apa? Kadar bunuh diri adalah yang paling tinggi - tidak ada keberkatan dan tidak ada kesejahteraan jiwa. Yang mereka nampak di hadapan adalah perkara yang fizikal semata-mata. Dan tentunya kita tidak mahu Negeri Terengganu kita ini begitu.

Hadirin hadirat sekalian,

 

13.          Berteraskan inilah, saya masih ingat pada malam saya angkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2018. Masih lagi duduk di istana pada waktu itu, sekumpulan wartawan mari tanya saya. Lebih kurang macam tadilah, dia serbu. Cuma waktu itu saya tak pakai nametag hok besar lagi lah. Dia mari serbu tanya, apa yang MB nak laksanakan di Negeri tengganu? Dia tanya, MB nak buat apa di Negeri tengganu lepas angkat sumpah MB ni? Kalau kita nak sebut sebutir-sebutir, pah ceroh tak sudah lagi. Betul tak? Saya jawab, bila saya kira balik apa yang saya jawab, saya jawab saya rangkumkan dalam 25 perkataan.

“Saya sebut, mana yang baik dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, kita akan teruskan dan kita akan tambah baik. Mana yang tak siap, kita siapkan. Mana yang keutamaan, kita akan laksanakan.”

 

14.          Kalau tuan-tuan masih ingat, sejak daripada 2004, Kerajaan PAS memerintah Tengganu sebelum ini - 1999 hingga 2004. Daripada 2004, 2005 sampai 2017, sehingga bulan Mei 2018, berapa belas tahun dah, kita dapati bertukar kepimpinan kerajaan negeri daripada parti yang sama, berapa kali? 3 kali, bertukar teraju pemerintahan - 3 kali dalam masa 14 tahun lebih kurang. Naik yang pertama, dia batal. Naik yang kedua, dia tinggal. Naik yang ketiga, dia tinggal, separuh jalan. Naik yang ketiga, dia tinggal. Naik yang ketiga, dia tinggal. Kita jumpa dengan projek yang terbengkalai yang dibuat oleh Menteri Besar yang pertama pada 2004. Lepas tu kita jumpa pula projek-projek terbengkalai yang tak tahu apa kebenda, yang dibuat oleh Menteri Besar yang kedua dan ketiga. Itu sama-sama di kalangan mereka. Mereka boleh buat tak tahu je.

 

15.          Akhirnya siapa? Akhirnya siapa yang rugi? Yang rugi ialah rakyat yang menunggu projek-projek yang kononnya tak pernah dilihat oleh manusia. Yang ruginya ialah Kerajaan Negeri yang mengeluarkan belanja berjuta-juta, beratus juta, berbilion untuk buat projek-projek yang dibatalkan atau tidak disambung oleh Menteri Besar yang berikutnya. Sampai bila keadaan ini akan dihadapi oleh Negeri Terengganu? Sebab itu saya sebut pada malam itu, pada 2018 bulan Mei, saya kata mana-mana yang baik, kita tak batal, kita teruskan - bantuan pendidikan, bantuan itu, bantuan ini. Kita teruskan mana-mana yang perlu tambah baik, kita tambah baik. Mana-mana yang tak siap, kita siapkan. Boleh ke tidak, projek-projek yang terbengkalai di Besut ada, di Hulu Terengganu ada, di Kenyir ada, di Kemaman ada, macam-macam. Boleh tak kita naik 2018 hari itu, kita kata tak nak tahu cara juga. Akhirnya semua projek-projek ini akan jadi gajah putih yang tidak memberi manfaat sedikit pun kepada rakyat Negeri Tengganu. Boleh, tapi apa kesudahannya?

 

16.          Semuanya adalah politik cara lama, politik kuno balas dendam. Yang inilah yang bila kita naik pada 2018, kita tidak mahu lagi berlaku politik balas dendam kerana politik balas dendam adalah politik cara lama yang tidak membawa kebaikan kepada negeri kita dan tentunya jauh sekali daripada mendapat keberkatan di sisi Allah SWT. Perkara yang sama yang kita lihat dalam negara kita, peringkat Malaysia. Naik orang itu, dia dera orang yang sebelum pada dia, dia korek habis macam-macam. Benda ini tak kesudahan. Akhirnya negara kita ini, kepimpinan negara, hari-hari duduk fikir bagaimana nak berpolitik, dendam, balas dendam yang tidak memberi manfaat sedikit pun kepada negara dan rakyat kita.

 

17.          Tentunya saya percaya semua yang hadir di sini dan berada di luar, nak lihat kita memimpin Negeri Terengganu terus memimpin, insya-Allah dan satu hari nanti kita bersama dengan rakan-rakan muafakat politik akan juga memimpin negara kita insya-Allah. Nak atau tidak? Kita kena bawa negara kita ini khususnya dengan cara yang berbeza. Politik lama adalah politik seteru yang tidak memberi manfaat sedikit pun. Maka di atas rangkuman 25 perkataan yang saya sebut kepada wartawan itu, maka perjalanan kami di Negeri Terengganu, kita pulihkan projek yang terbengkalai. Kita teruskan agenda pendidikan dan pembangunan modal insan. Kita tak tutup Imtiyaz. Kita teruskan. Kita tambah lagi. Kita tambah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI). Kita tambah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan lain-lain seperti Jabatan Pendidikan Islam dan lain-lainnya. Mungkin ada orang kata pula, dah SRIDI bakpe tak buat banyak-banyak? SMIDI bakpe tak buat semua sekali di 8 parlimen? Orang yang tanya itu bukan dia tak tahu, orang lain duduk pegang pitih kita. Nak buat ni, bukan boleh main kita buat dengan hello je. Mesti dengan ada peruntukan pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Kalau piti kita orang pegang, nak buat mana? Maka, kita terpaksa ikhtiar dengan cara-cara yang berbeza.

18.          Bantuan Kewangan Pendidikan yang sekian lama sejak puluhan tahun di Negeri Terengganu, kita teruskan dan kita perkasakan. Aspek syariah dan pentadbiran Islam, kita laksanakan apa yang boleh kita laksanakan dalam konteks undang-undang yang sedia ada dan kita memperkemaskan kanun janayah syariah dan takzir. Mana yang kita boleh buat, kita buat. Mana yang tak boleh lagi, kita tangguh dulu.

19.          Kita pulihkan syarikat berkaitan kerajaan dari segi kedudukan kewangan dan transformasi syarikat-syarikat GLC di bawah Kerajaan Negeri. Bila kita ambil alih Kerajaan Negeri, bila kita buat cek syarikat - ada lebih kurang, bahasa mudahnya ada 100 syarikat yang di bawah Kerajaan Negeri. Dari pada ini, 30 adalah syarikat yang domain. Domain ni syarikat nama ada tapi tak ada aktiviti langsung. Tak ada pejabat pun, ada nama saja - register. Syarikat yang domain ini kalau kita tak tutup, kita masih setiap tahun kena buat laporan, submit laporan. Kita kena bayar share syarikat, kena bayar buat audit. Tak pasal-pasal kita buat pada syarikat yang sudah domain ataupun yang tidak beroperasi lagi. Kita tutup syarikat-syarikat yang berkenaan untuk menjimatkan kewangan. Syarikat yang sebelum daripada kita ambil alih kerajaan 2018, syarikat yang redundant,  bertindak dari segi operasi syarikat dia buat benda yang sama. Kerana apa? Kerana nak beri jawatan kepada rakan-rakan politik ataupun anak buah politik.

20.          Kita streamline, kita kuatkan syarikat-syarikat ini dan ada dalam laporan yang pernah kita bentangkan di Dewan Undangan Negeri. Sejak kita mengambil alih dan pada tahun 2023 adalah jumlah revenue yang paling tinggi dalam sejarah GLC kita di Negeri Terengganu ini yang kita capai. Bila hasil banyak, tentulah cukai yang kita bayar kepada kerajaan pun banyak. Tentulah juga hasil, keuntungan juga banyak. PAT atau Profit After Tax ini banyak juga - yang dapat kita kembalikan kepada rakyat Negeri Terengganu dalam bentuk program, dalam bentuk projek, dalam bentuk bantuan-bantuan dan sebagainya.

21.          Kita juga sepanjang daripada 2018 sampai sekarang, kita ada kad laporan prestasi dan buku pencapaian negeri daripada 2018 hingga 2023 yang memaparkan pencapaian dalam 15 segmen utama. Cuba tuan-tuan tengok di tempat-tempat lainlah, di negeri lain. Kita di Terengganu ini, kita sangat transparent. Kita merintah cukup tahun, kita beritahu rakyat apa yang kita buat. Ada kad laporan, ada buku laporan. Ada pula yang kata, takda wak benda satu. Kalau tak baca - memanglah, kalau hari-hari duduk tengok TikTok yang tak berjenis itu, memanglah tak tahu. Cuba baca molek, apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, tengok kad laporan, tengok laporan prestasi kerajaan negeri, baru dia mungkin akan tahu. Kita juga melaksanakan perancangan strategik menerusi Plan Induk Terengganu Sejahtera PITAS 2030 sebagai hala tuju pembangunan jangka panjang negeri, merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Boleh pula dia kata kita tidak ada hala tuju.

22.          Sektor pertanian dan pengeluaran makanan negeri dan negara yang lebih baik berbanding dengan waktu yang lalu. Negeri-negeri SG4 ini, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis - empat negeri ini menyumbang 71% keperluan makanan ruji negara kita dan sektor pertanian di Negeri Terengganu mencatatkan pertumbuhan 74% pada tahun 2023 berbanding pengucupan 3.3% pada tahun sebelumnya. Itu sektor pertanian.

23.          Sektor pelancongan pun sama. Kita ada EXCO Pelancongan, Tok Li sini. Pada tahun 2024, tahun lepas, Terengganu mencatatkan 7.8 juta pelancong di mana sasaran asal kita adalah 4.5 juta. Bila pelancong masuk, dia mari Terengganu ni, dia tak tidur tepi patah buka khemah. Dia bawa khemah buka tepi pantai – dok. Dia duduk hotel. Dia duduk homestay. Hotel, homestay. Homestay ni hok siapa dia? Orang rakyat negeri kita lah. Hotel hok siapa dia? Rakyat negeri kita.

24.          Ada yang di bawah syarikat GLC Kerajaan pun ada, yang rakyat negeri kita pun ada, yang berbagai kaum pun ada. Ada orang, ada pengusaha kaum Tionghoa buka hotel. Melayu, India macam-macam buka hotel di Negeri Terengganu ni. Bila pelancong ramai-ramai masuk, mereka duduk di hotel ni ataupun di homestay. Siapa boleh hasil? Mereka dapat hasil. Mari Terengganu, masing-masing bawa periuk nasi, bawa beras, masak sendiri, pakat tak makan kedai, gitu ke? Tak. Dia mari sini tu kerana nak makan sini lah, nak makan di Terengganu. Nak makan satar, kepok lekor, nak makan makanan-makanan Terengganu, nasi dagang, nasi menyok, macam-macam. Siapa yang buat makanan-makanan tu? Rakyat negeri luar ke yang buka kedah makanan tu? Tak. Rakyat negeri kita.

25.          Maka rakyat negeri kita yang berniaga, yang sebelum ini mungkin hasilnya adalah RM1,000 oleh kerana ramai pelancong mari meningkatlah jadi RM2,000, RM3,000 - kedatangan pelancong. Sektor perkhidmatan kepada pelancongan yang sebelum ini tak ada. Oleh kerana ramai mari maka timbullah pelbagai perkhidmatan kepada para pelancong. Orang nak pergi pulau, ada pengusaha bot, tambah bot dia kerana makin ramai. Nak pergi candat sotong, macam-macam nak buat, nak pergi ngail. Dan inilah hasil yang diperolehi oleh rakyat Negeri Terengganu secara direct.

26.          Untuk sektor pelancongan ni, apa yang diterima oleh Kerajaan Negeri adalah sangat minima. Kerana yang masuk ni dia tak ada immigration dekat sempadan Terengganu ni atau sempadan dengan Kelantan ada immigration. Setiap kali masuk kena bayar kerajaan RM10. Tak ada. Kerana itu Kerajaan Negeri dari segi hasil direct kepada negeri tidak ada. Kecuali dia duduk hotel adalah bayar tukar beg tu yang dia tak perasan pun dia bayar. Yang lain adalah hasil yang diperolehi oleh rakyat. Kalau rakyat bahagia, meniaga untung banyak. Pertama, premis perniagaan ada nak kena bayar kepada PBT, kepada majlis. Kadarnya sama. Katalah kedai makan. Sebelum ini dia bayar tahunan RM100. Contohnyalah.

27.          Kalau dia meniaga untung macam mana pun banyak tu juga kecuali dia buka kedai lain. Tetapi hasil yang banyak yang diperolehi oleh siapa? Rakyat dan juga kerajaan pusat. Lebih daripada apa yang diterima oleh Kerajaan Negeri. Kenapa kerajaan pusat? Syarikat-syarikat yang berniaga hotel yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka, mereka ada kiraan kena bayar income tax. Income tax tak dibayar kepada Kerajaan Negeri, dibayar kepada kerajaan pusat.

28.          Oleh kerana itu, apabila pelancong mari ramai, sebenarnya yang mendapat hasil yang banyak bukan sangat Kerajaan Kegeri tetapi kerajaan pusat. Sebab itulah, kerajaan pusat kena beri kerjasama yang penuh kepada Kerajaan Negeri. Tak boleh dah nak hidup. nak beroperasi negeri dan negara Malaysia ini dengan cara yang berasingan atau nak berseteru dengan negeri - itu cara lama politik tahun, tak tahu zaman bila, nak bergaduh dengan negeri.

29.          Sektor industri dan pelaburan asing, tadi disebut yang gimik tadi, pelaburan yang masuk ke Negeri Terengganu, berapa bilion tadi? 3.7 bilion, ada orang banding juga dia kata masuk 3.7 bilion, ada negeri lain masuk 4 bilion, 10 bilion, 15 bilion, bakpe Terengganu sikit sangat? Dia ada beberapa masalah sikit. Yang pertama ialah cara pengiraan. Ada dua kaedah. Kaedah yang pertama disebut pelaburan yang direalisasikan, kaedah yang kedua ialah pelaburan yang komited. Pelaburan yang komited ini bila berlaku MOU, sign, persetujuan, dah ada MOE, maka dikira sebagai pelaburan yang komited. Bila ada sesetengah negeri, dia kata bila dah ada MOU dan MOE, dia dah kira sebagai pelaburan yang direalisasikan. Yang kita kira 3.7 tadi adalah pelaburan yang direalisasikan, bagi kita pelaburan yang direalisasikan ialah pelaburan yang bila naik tiang sebatang di tempat pelaburan itu, katalah kawasan kilang, nak buka tanah ni, ada kilang sini, mari naik tiang sebatang, baru kita kira.

30.          Ada negeri dia tak kira lagi, ada negeri dia kira, kata nak mari tu kira dah selalu dah, jadi kita ambil pendekatan yang lebih selamat - itu satu perkara. Yang kedua, memang kita nak pelaburan yang banyak, kenapa bila banyak syarikat-syarikat mari - yang paling penting adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Tapi kita kena ingat juga ada beberapa isu yang timbul.

31.          Pada tahun 1990-an hingga tahun 2000, bila kita buat analisa, pelaburan 200 juta pada tahun berkenaan dalam period itu, biasa menyediakan lebih kurang 1000 pekerja. Ini contoh pengiraan mudah saya nak sebut kepada tuan-tuan - 200 juta pelaburan, 1000 pekerja. Tetapi pada tahun 2020-an ini termasuk sekarang ini. Labur jangan kira 200 juta lah sebab 200 juta 20 tahun dulu ke sekarang ini, melabur katalah 500 juta. Kadang-kadang tak sampai 200 orang pun perlu, nak 100 orang pun ada. Ada extension salah satu Oil & Gas, aktiviti di sini, 200 juta tapi nak tak sampai 100 orang. Kerana apa? Kerana kesan penggunaan mesin, kesan penggunaan artificial intelligence kalau terkini dan juga kesan internet of things. Semua guna kontrol, duduk dalam bilik je - kontrol. Maka kuranglah rakyat negeri yang dapat bekerja, itu satu hal.

32.          Sebab itu kita kena bagi pemahaman kepada rakyat negeri kita, kita nak mereka bukan sekadar bekerja dengan syarikat itu, itu satu bab. Tetapi kita nak setiap di kalangan rakyat negeri kita ini, supaya dapat mencari kreativiti bagaimana untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi. Syarikat buka, katalah ada kilang sini, kilang perlu kertas, perlu pen, perlu barang-barang, perlu duet key komputer dalam ofis dia. Kilang ada pekerja dia, tapi penyelenggaraan dia tak buat, bersih kawasan kilang dia tak buat, bersih bangunan dia tak buat. Maka rakyat negeri kitalah yang menyediakan perkhidmatan itu dalam bentuk syarikat. Macam-macam perkhidmatan yang boleh dibuat kepada syarikat itu. Dan kita nak rakyat negeri kita ini terlibat dalam aktiviti itu. Kerana itu dapat menyumbang ekonomi yang lebih baik, bukan sekadar menjadi pekerja atau menjadi operator kepada syarikat yang mereka nak.

33.          Satu isu yang lebih besar yang pada saya, kita akan bawa ke peringkat negara kita ini supaya sekiranya kita diberikan amanah untuk mengurus takbir negara kita, saya ingin mencadang kepada rakan-rakan dalam Perikatan Nasional nanti. Supaya hasil yang diperolehi negeri lebih adil. Saya sebut begini kerana apa? Saya sebut contoh. Satu pelaburan, ada satu spesifik pelaburan ini, saya tak nak sebut nama syarikat lah, di Kemaman kita. Pada tahun 2024, pelaburan dia 2.5 juta, 2.5 bilion, 2500 juta. Keluasan tanah yang digunakan, diperlukan oleh mereka adalah 70 ekar. Taklah luas sangat, tapi pelaburan dia besar, 2.5 bilion. Jumlah yang dibayar, yang diterima oleh Kerajaan Negeri untuk tempoh pajakan operasi syarikat dia itu dalam 20 tahun adalah sebanyak 15 juta sahaja. Berbanding dengan hasil yang diperolehi oleh kerajaan pusat. Dalam bentuk keuntungan syarikat, income tax dibayar direct kepada kerajaan pusat.

34.          Pekerja-pekerja yang bekerja yang bayar income tax semua pergi kepada kerajaan pusat, tak pergi kepada negeri. Apa yang diperolehi oleh negeri adalah apa yang ada dalam perlembagaan. Perkepala, perhead, rakyat kita 1.2 juta, setiap rakyat ada perkiraan dia. Yang akhirnya kita akan dapat lebih kurang 25 juta setahun, hasil daripada kiraan kepala rakyat Negeri Terengganu. Rakyat Sselangor, ramai dia dapatlah lebih. Maka bila kita seru kepada kerajaan, saya seru dalam mesyuarat di Putrajaya dan saya sebut dalam parlimen dan dibuat kajian semula, maka ditambah - daripada 25 lebih kurang jadi 28 juta, sikit saja naik. Nak kaji balik mungkin 10 tahun akan datang pula. Apa lagi yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri? Ada. Dipanggil pemberian tahap, hasil daripada pembangunan ekonomi yang kita buat waktu kini dapatlah. Tak banyak pun, kurang daripada 100 juta.

35.          Apa lagi yang kita terima? Yang kita terima adalah hasil daripada apa? Mengikut kiraan jalan raya di Negeri Terengganu. Jalan jauh, banyak, banyaklah kita dapat. Itu pun setahun ada fixed value dia lebih kurang 200 juta. Saya sebut mudah lah 200 juta. Jadi walaupun banyak pelaburan yang masuk tetapi hasil yang paling banyak hanya diterima oleh kerajaan pusat. Kerajaan Negeri mungkin hanya mendapat kurang daripada 5% saja. Dan dalam kadar tertentu hanya dapat lebih kurang 1% hasil.

36.          Apa yang saya tekankan, saya sebut dalam parlimen dan kita akan perjuangkan dan saya akan sebut pada rakan-rakan Perikatan Nasional, supaya apabila kita mengambil alih kerajaan di peringkat Federal nanti, insya-Allah. Supaya kita buat kajian yang baru, kajian yang menyeluruh reformasi yang baru supaya pemberian kepada negeri-negeri ini adalah tidak dengan amalan yang sekarang ini. Tetapi dengan amalan yang disebut sebagai federalisme fiscal yang lebih seimbang. Kalau di negara maju, saya sebut contoh di Jerman. Mereka ada negeri-negeri juga dipanggil federation state. Ada 14 negeri di Jerman, ada lebih kurang 14 ke 16 negeri. Macam kita jugalah.

37.          Bagaimana negeri-negeri ini mendapat biaya ataupun peruntukan kewangan daripada pusat - Daripada kerajaan pusat mereka. Yang menentukan dapat banyak mana bukan ditentukan oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan. Kerajaan Jerman, bukan. Tetapi ditentukan oleh suatu institusi yang bebas daripada politik, menyebabkan kalau bertukar kerajaan di peringkat federal di Jerman. Ia tidak memberi kesan kepada bagaimana negeri-negeri di Jerman menerima hasil. Tak ada kesan kerana ianya tidak ditentukan oleh orang politik. Tetapi ditentukan oleh suatu institusi yang tertentu. Bukan maksud saya kita nak buat itu atau macam itu. Tidak. Tetapi yang pentingnya ialah pelaburan yang banyak masuk ke negeri. Negeri banyak berkorban tanah untuk pelaburan masuk. Maka perlu dibuat pembahagian yang lebih seimbang. Yang jauh daripada tekanan politik. Tidak ditentukan, tidak dijadikan oleh orang politik sebagai rotan kepada negeri-negeri. Mereka tak ikut aku, mereka tak beri sokongan kepada aku, mereka mengkritik aku - aku tak bagi peruntukan. Tak boleh macam itu. Memanglah tiap kali mereka datang daripada Putrajaya mereka mari, mereka sebut. Kita beri bantuan. Negeri Terengganu terima bantuan, buat hakisan, buat jambatan dan sebagainya. Memang kita dapat tapi apa yang kita dapat itu bukan bermakna diluluskan kelmarin. Satu-satu projek itu makan masa selama 5 tahun, 6 tahun.

38.          Apabila berada di tahun ke-4, siapa-siapa ambil alih kerajaan pada waktu tahun ke-4 itu, dia kena teruskan satu tahun atau dua tahun lagi itu. Kalau tidak, projek itu terbengkalai, tak siap. Jadi tak boleh orang yang mari pada tahun keempat, tahun ketiga kata, oh kita bagi peruntukan. Itu adalah wajib, peruntukan wajib yang kena diberikan. Sebab itu apa yang penting ialah kena dibuat kajian semula tentang cara pembagian kepada negeri-negeri supaya lebih adil dan saksama. Bukan dengan cara kaedah yang sekarang ini.

39.          Dan saya percaya semua negeri-negeri sangat bersetuju untuk dibuat satu kajian yang baru dan dilihat kembali tentang pembahagian kuasa antara negeri dengan kerajaan persekutuan. Saya rasa cukuplah sekadar itu apa yang saya nak sebutkan kepada tuan-tuan sekalian. Moga-moga majlis kita ini adalah merupakan satu batu tanda bahawa kita akan teruskan perjuangan kita ini untuk memimpin Negeri Terengganu dan memimpin negeri-negeri lain dalam negara kita ini.

40.          Dan insya-Allah, satu hari nanti kita akan memimpin Malaysia. Insya-Allah. Dengan membaca bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan program Himpunan Teguh Memimpin. Terus Teguh Memimpin negeri Tengganu 1.0. Moga-moga mendapat rahmat, mendapat pertolongan dan keberkatan di sisi Allah SWT. Sekian. 

Post a Comment

0 Comments