Salutasi
Kita berikan tepukan kepada semua bikers. Alhamdulillah kita dapat sama-sama hadir dalam majlis pada malam ini. Tahniah dan terima kasih kepada Founder ECMC, Yang Amat Mulia Tengku Seri Temenggung Raja yang memimpin program Terengganu International Bike Week.
Terima kasih juga kepada YangBerhormat EXCO, semua ahli jawatankuasa penganjur, semua bikers, para penaja, penceramah-penceramah, agensi-agensi kerajaan dan semua pihak yang telah menjayakan program Bike Week pada kali ini. Saya juga dimaklumkan oleh YAB YB Datuk Razali bin Idris yang jaga bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah melancarkan sebuah lagu istimewa yang bertajuk “Tranung Dok Rilek” untuk mempromosikan Negeri Terengganu. Kita sama-sama dengar selepas ini lagu “Tranung Dok Rilek”.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Meneruskan ucapan saya pada malam ini, saya akan berpantun sepenuhnya. Jadi dengar elok-elok para bikers.
Deruman hali bergegar bunyinya,
Menyusur jalan laksana bahtera,
Dapatlah kita bersua akhirnya,
Semoga kita bertambah mesra.
Siapa grup hali sini?
Motor Kawasaki bergerak gagah,
Di jalan raya pantas berlari,
Tuan dan puan selamatlah melangkah,
Warisan Terengganu sedang menanti.
BMW pula dipandang orang,
Reka bentuknya penuh perkasa,
Ride lah di Terengganu dengan tenang,
Mencari makanan berbagai rasa.
Cuma balik nanti kena check kolesterol dan blood pressure.
Riders Yamaha dan Suzuki, dengar ini.
Yamaha dan Suzuki lincah menari,
Pantasnya seumpama enjin roket,
Tidaklah sah tuan datang ke mari,
Kalau tidak membeli batik dan songket.
KTM, ada yang bawa KTM hari ini? Ada?
Motor KTM pula menjadi idaman,
Paris-Dakar Rally menjadi juara,
Adat dan agama tidak ditelan zaman,
Terengganu Maju Berkat Sejahtera.
Honda dan Triumph, malam ini saya datang dengan Triumph Bonneville T120.
Honda dan Triumph meluncur berhemah,
Gaya sederhana tetap gagah perkasa,
Semoga program mendapat rahmah,
Banyak manfaat sepanjang masa.
Ducati,
Ducati merah hilau menyala,
Menjadi tontonan kita semua,
Usah serik datang semula,
Jadikan Terengganu destinasi semua.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Kalau ada model yang tertinggal, kita reserve untuk tahun hadapan pula.
Pesanan saya kepada semua. Bawalah kenderaan masing-masing, semasa pulang nanti selepas berakhir program Terengganu International Bike Week ini dengan penuh berhemah, jaga keselamatan.
Insya-Allah kita akan bersuara kembali pada tahun hadapan. Sekali lagi, taniah kepada semua. Dengan dan dengan membaca, Bismillahirrahmanirrahim.
Saya merasmikan penutupan Terengganu International Bike Week edisi 2025. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
0 Comments