ﺑﺳم ﷲ اﻟرﺣﻣن اﻟرﺣﯾم
اﻟﺣﻣد' رب اﻟﻌﺎﻟﻣﯾن وﺑﮫ ﻧﺳﺗﻌﯾن وﻻ ﺣول وﻻ ﻗوة إﻻ ﺑﺎ' اﻟﻌﻠﻲ اﻟﻌظﯾم
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
1. Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas segala usaha yang saya kira tentulah melibatkan banyak komitmen dalam menyediakan Belanjawan 2027 yang sudah tentu menuntut pertimbangan yang teliti antara kemampuan kewangan negara, keperluan rakyat dan tuntutan pembangunan jangka panjang.
2. Dalam membahas Rang Undang-Undang Perbekalan ini, ucapan saya pada hari ini berpaksikan kepada dua prinsip yang utama, iaitu yang pertama tentang keadilan dan kedua tentang keupayaan. Keadilan yang saya maksudkan ialah berkisar kepada pengagihan pembangunan, penghormatan kepada hak yang telah dipersetujui serta peluang yang saksama untuk setiap negeri dan rakyat.
3. Keupayaan pula merujuk kepada kekuatan kewangan, kecekapan pentadbiran dan kebijaksanaan Kerajaan dalam memenuhi tanggungjawabnya, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
4. Kedua-dua prinsip ini saling berkait. Tanpa keadilan, pembangunan tidak akan dirasai secara saksama. Dan tanpa keupayaan, janji pembangunan pula sukar diterjemahkan kepada kenyataan. Akhirnya ia akan tinggal sebagai suatu janji yang tidak dapat dilaksanakan.
Ruang Fiskal: Disiplin Demi Keupayaan Negara
Tuan Yang di-Pertua,
5. Belanjawan 2027 menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan perkara ini dilihat sering menjadi fokus yang ditekankan oleh Kerajaan.
6. Saya berpandangan kemampanan fiskal tidak seharusnya diukur melalui penurunan defisit semata-mata. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana Kerajaan masih mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan rakyat, membiayai pembangunan dan menghadapi krisis tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.
7. Berdasarkan angka yang dibentangkan kita dapati bahawa bayaran khidmat hutang meningkat sebanyak 6.5 peratus, daripada RM57.3 bilion kepada RM61 bilion. Jumlah ini kini merangkumi 16.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan mengurus Kerajaan Persekutuan.
8. Pertambahan bayaran khidmat hutang sebanyak RM3.7 bilion sudah pun melebihi pertambahan peruntukan pembangunan sebanyak RM2 bilion.
9. Dengan kata lain, pertambahan komitmen untuk membayar hutang adalah lebih besar daripada pertambahan peruntukan yang disediakan untuk pembangunan negara. Keadaan ini wajar menjadi peringatan bahawa ruang fiskal kita perlu diurus dengan lebih berhemat dan berpandangan jauh.
10. Tuan Yang di-Pertua, hutang negara tidak semata-mata angka di dalam lembaran kewangan. Setiap pertambahan komitmen membayar hutang adalah membawa kos peluang yang perlu kita pertimbangkan.
11. Apabila semakin banyak wang diperlukan untuk memenuhi bayaran khidmat hutang, ruang untuk membina sekolah dan hospital, menaik taraf jalan raya, memperluas bekalan air bersih serta meningkatkan kemudahan awam boleh menjadi semakin terbatas.
12. Akhirnya, rakyat berisiko yang menanggung kesannya melalui pembangunan yang lebih perlahan, kemudahan yang tertangguh dan ruang bantuan yang semakin sempit dan perkara ini telah dibangkitkan oleh ramai di kalangan rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang.
Federalisme: Keadilan Antara Negeri Berasaskan Formula, Bukan Budi Bicara
Tuan Yang di-Pertua,
13. Dalam Ucapan Belanjawan 2027, Kerajaan merujuk pemikiran John Rawls melalui gagasan justice as fairness, atau keadilan sebagai kesaksamaan. Jika Kerajaan mahu menjadikan Rawls sebagai asas falsafah keadilan, kita perlu meneliti bukan sahaja pada prinsipnya, tetapi juga bagaimana prinsip itu diterjemahkan kepada dasar.
14. Kita boleh juga meneliti pemikiran Amartya Sen yang juga merupakan seorang pakar ekonomi, pemenang anugerah novel di dalam The Idea of Justice, yang menekankan bahawa keadilan juga perlu dinilai berdasarkan keadaan sebenar dan sejauh mana ketidakadilan dapat diperbaiki.
15. Point yang saya ingin simpulkan ialah dua negeri mungkin menerima peruntukan yang sama, tetapi setiap satunya mempunyai keupayaan yang berbeza untuk membina infrastruktur, menarik pelaburan dan meningkatkan pendapatan rakyat. Oleh itu, jumlah peruntukan semata-mata tidak memadai untuk menentukan sama ada sesuatu dasar benar-benar adil.
16. Jika Rawls mengajak kita membayangkan peraturan yang adil tanpa mengetahui kedudukan kita dalam masyarakat, Amartya Sen pula mengingatkan kita supaya menilai kesan sebenar peraturan tersebut terhadap kehidupan manusia.
17. Dalam konteks pembangunan negara, prinsip ini menuntut kita melihat peruntukan yang diagihkan lebih daripada sekadar angka. Apa yang lebih utama, sejauh mana besarnya jurang pembangunan dan keupayaan setiap negeri untuk membangunkan ekonomi mereka.
18. Justeru, di sini saya mencadangkan supaya Kerajaan memperkenalkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang telus, konsisten dan berasaskan keperluan sebenar.
19. Formula ini hendaklah mengambil kira empat faktor utama, iaitu pertama keperluan fiskal setiap negeri, kedua keupayaan menjana hasil sendiri, ketiga jurang infrastruktur serta yang keempat perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.
20. Melalui pendekatan ini, pengagihan peruntukan dapat dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan bukan semata-mata bergantung pada budi bicara sesebuah pentadbiran di peringkat persekutuan. Apatah lagi ianya bukan pertimbangan sentimen kepartian atau nilai keakraban.
21. Cadangan ini bukan sesuatu yang asing dalam amalan antarabangsa. Australia, Kanada dan Jerman yang pernah saya sebut dalam dewan yang mulia ini mempunyai sistem penyamarataan fiskal berasaskan formula, dengan Australia turut mengambil kira perbezaan kos penyampaian perkhidmatan antara negeri yang membentuk suatu Persekutuan atau sesebuah negara.
22. Di Malaysia, saya rasa semua kita sedia maklum bahawa telah wujud asas dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, termasuk geran per kapita dan geran penyelenggaraan jalan negeri (MARRISS). Namun, ruang masih terbuka untuk memperkukuh mekanisme sedia ada agar lebih responsif terhadap keperluan semasa terutama keperluan setiap negeri yang berbeza-beza.
23. Geran per kapita, misalnya, tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penduduk semata-mata kerana kos menyediakan kemudahan asas turut dipengaruhi oleh keluasan kawasan, taburan penduduk dan tahap pembangunan infrastruktur dan pelbagai perkara ataupun variable yang perlulah diambil kira kerana kita perlu membezakan antara negeri yang berada di koridor yang maju dan dengan koridor yang belum maju.
24. Dalam hal ini, Kerajaan sebenarnya telah cuba dilihat memahami perkara ini apabila hak Sabah dan Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 sedang dirundingkan dengan begitu teliti.
25. Pada masa sama, prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pengagihan yang adil wajar menjadi asas untuk memperkukuh hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dengan semua negeri setelah mengambil kira kedudukan undang-undang dan keperluan masing-masing.
26. Persoalannya, jika Kerajaan menerima kepentingan formula yang telus dan berasaskan prinsip keadilan dalam hubungan fiskal dengan Sabah dan Sarawak, mengapakah prinsip yang sama tidak boleh dipertimbangkan untuk memperkukuh penyamarataan pembangunan antara negeri-negeri di Semenanjung supaya ianya berlaku lebih keadilan?
27. Saya percaya bahawa formula yang jelas, mekanisme semakan berkala dan pelaporan terbuka adalah satu bentuk reform atau tajdid yang boleh dilaksanakan nanti insha-Allah, yang akan melonjakkan negeri-negeri yang membentuk negera Malaysia ini supaya semakin kecil disparity nya ataupun perbezaan kesenjangan diantara negeri-negeri.
Pembangunan Strategik Pantai Timur
Tuan Yang di-Pertua,
28. Belanjawan ini memperlihatkan pendekatan pembangunan yang mengambil kira kekuatan dan potensi berbeza setiap negeri. Saya sangat bersetuju dan menyambut baik pendekatan tersebut. Elemen itu sudah ada tetapi belum menyeluruh.
29. Dalam konteks ini, saya berpandangan bahawa Pantai Timur Semenanjung Malaysia wajar diberikan perhatian yang setimpal agar wilayah ini dapat memainkan peranan lebih besar dalam pertumbuhan ekonomi negara.
30. Pahang mempunyai asas industri petrokimia dan kimia di Gebeng yang disokong oleh Pelabuhan Kuantan.
31. Terengganu pula mempunyai ekosistem minyak dan gas, petrokimia, kejuruteraan luar pesisir serta industri maritim di sekitar Kerteh dan Kemaman. Kelantan mempunyai potensi dalam industri marin, perikanan, pemprosesan makanan dan perusahaan halal, termasuk di sekitar Tok Bali dan Pasir Mas.
32. Kekuatan ini bukan untuk dibangunkan secara terpisah, bahkan ia perlu disepadukan supaya dapat membentuk rantaian nilai ekonomi yang saling lengkap-melengkapi.
33. Saya mengambil maklum bahawa menurut ECERDC, walaupun kita tahu bahawa mandat terhadap koridor-koridor ekonomi yang bukan sahaja ECERDC, bahkan koridor ekonomi yang lain dalam negara kita ini telah melalui zaman yang sangat mencabar pada waktu ini kerana perubahan dasar Kerajaan Persekutuan sejak diperkenalkan koridor ekonomi ini. Kita dapati bahawa menurut ECERDC, Pelan Induk ECER 2.0 bagi tempoh 2018 hingga 2025 telah mencatatkan pelaburan direalisasikan sebanyak RM55 bilion, melepasi sasaran RM49 bilion, serta mewujudkan lebih 79,000 peluang pekerjaan.
34. Selain itu, pelaburan yang direalisasikan pada tahun 2025pula dilaporkan berjumlah RM10 bilion, menyamai sasaran tahunan. Pencapaian ini memberikan asas untuk kita melangkah lebih jauh, khususnya apabila Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL beroperasi sepenuhnya.
35. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mempercepat pelaksanaan Pelan Pembangunan ECER 2026–2030 dengan memberikan keutamaan kepada penyepaduan tiga nod maritim strategik, iaitu Kuantan, Kemaman dan Tok Bali, bersama kawasan perindustrian serta rangkaian ECRL.
36. Penyepaduan berstrategi ini adalah penting supaya pelaburan dalam logistik dan kawasan industri dapat menghasilkan manfaat ekonomi yang lebih besar.
37. Strategi ini tidak boleh terhenti pada pembangunan pelabuhan atau penyediaan infrastruktur fizikal semata-mata. Sebaliknya, ia perlu menghubungkan pelabuhan dengan industri hiliran, pembuatan komponen marin, pembinaan dan pembaikan kapal, pemprosesan makanan, logistik serta pembangunan tenaga baharu.
38. Apabila semua sektor ini bergerak secara bersepadu, zon Pantai Timur berpotensi menjadi hab ekonomi yang mampu meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran dan menarik pelaburan yang lebih berkualiti sekali gus mengurangkan kesenjangan ataupun disparity antara negeri di Malaysia dan dengan sendirinya ia akan membantu KDNK untuk negara kita yang bernama Malaysia ini.
Keselamatan Negara dan Dasar Luar: Berprinsip dan Berkeupayaan Bertindak
Tuan Yang di-Pertua,
39. Dalam suasana yang tidak menentu, keselamatan negara bukan sekadar berkait dengan pertahanan dan kawalan sempadan. Ia turut melibatkan bekalan tenaga, kestabilan ekonomi, laluan perdagangan serta keupayaan diplomatik.
40. Justeru, Malaysia memerlukan dasar yang mampu melindungi kepentingan nasional, dan pada masa yang sama, mengekalkan hubungan antarabangsa yang baik dan ruang untuk menyumbang kepada keamanan serantau serta global.
41. Dalam komuniti ASEAN, Malaysia perlu terus mendorong ke arah penyelesaian politik terhadap krisis Myanmar dan menangani isu Rohingya melalui pendekatan yang lebih tegas, tersusun dan berkesan.
42. Pendekatan ini mesti mengambil kira kepentingan keselamatan negara, tanggungjawab kemanusiaan serta keperluan mendapatkan penyelesaian jangka panjang. Kita tidak boleh membiarkan krisis berlarutan tanpa usaha diplomatik yang bersungguh-sungguh dan mekanisme pelaksanaan yang jelas.
43. Dalam hal ini, saya mencadangkan supaya pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian yang telah dilancarkan terus diperkukuh dan dipercepatkan, dengan perlindungan data yang jelas serta proses penentuan status yang telus.
44. Kerajaan juga perlu menetapkan pelan tindakan dan garis masa yang jelas bagi menangani keberadaan warga Myanmar di Malaysia, dengan membezakan status dan keadaan setiap kumpulan mengikut undang-undang yang terpakai.
45. Dalam konteks yang lain iaitu dalam konteks BRICS umpamanya, status Malaysia sebagai negara rakan dan bukannya ahli penuh perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempelbagaikan perdagangan, menarik pelaburan serta memperluas kerjasama teknologi.
46. Namun, penyertaan dalam mana-mana kerangka antarabangsa hendaklah dinilai berdasarkan manfaat yang benar-benar diperolehi Malaysia.
47. Saya menggesa Kerajaan untuk menetapkan petunjuk prestasi yang bersesuaian dan melaporkan hasil kerjasama tersebut kepada Dewan supaya penyertaan ini membawa pulangan yang lebih baik kepada ekonomi serta rakyat Malaysia.
48. Pada masa yang sama, Malaysia tidak boleh terperangkap dalam persaingan antara blok kuasa dunia. Dasar luar negara mesti terus berpandukan kepentingan nasional, menghormati undang-undang antarabangsa dan mengekalkan keupayaan untuk bekerjasama dengan semua pihak.
49. Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu dihormati bukan kerana ia berdiri di belakang mana-mana kuasa besar. Namun, ia adalah kerana Malaysia konsisten mempunyai prinsip yang teguh, pendirian yang jelas dan kebijaksanaan untuk menentukan jalannya sendiri.
Selat Hormuz: Kukuhkan Diplomasi Demi Kepentingan Negara
Tuan Yang di-Pertua,
50. Ketegangan di Selat Hormuz membuktikan bahawa konflik yang berlaku jauh dari sempadan Malaysia boleh memberikan kesan langsung kepada negara. Gangguan terhadap laluan strategik ini telah terbukti meningkatkan harga minyak, menaikkan kos logistik, menjejaskan bekalan tenaga dan menambah tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
51. Perkembangan ini mengingatkan kita bahawa keselamatan ekonomi Malaysia turut dipengaruhi oleh kestabilan geopolitik antarabangsa.
52. Oleh itu, keselamatan tenaga dan kestabilan fiskal merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Dalam mendepani hal ini, Malaysia perlu memulakan langkah segera dalam memperkukuh perancangan menghadapi gangguan bekalan anatranya seperti mempunyai stok tenaga yang lebih baik daripada keadaan yang ada sekarang ini dan mengurangkan pendedahan kepada kejutan luaran.
Penutup: Membina Malaysia yang Lebih Adil, Kukuh dan Sejahtera
Tuan Yang di-Pertua,
53. Izinkan saya mengakhiri perbahasan ini dengan kembali kepada dua prinsip yang menjadi asas ucapan saya, iaitu keadilan dan keupayaan.
54. Keadilan adalah tentang bagaimana setiap rakyat, di mana jua mereka berada tidak kralah di negeri pembangkang ataupun tidak mempunyai peluang yang setara untuk terus berkembang maju.
55. Keupayaan pula adalah tentang sejauh mana Kerajaan mempunyai ruang kewangan, kecekapan pentadbiran dan kebijaksanaan untuk bertindak apabila rakyat memerlukan. Ianya bukan mengenai angka semata-mata yang kita uar-uarkan setiap masa.
56. Inilah ukuran yang sewajarnya digunakan untuk menilai Belanjawan 2027. Kita mahu kewangan negara yang kukuh, pembangunan yang seimbang, hubungan Persekutuan-negeri yang berasaskan kepercayaan serta dasar luar yang mempertahankan kepentingan nasional dan elemen politik tidak menjadi sesuatu kembimbangan kepada mana-mana negeri yang melakukan perubahan kerana kita jangka mungkin dalam pilihanraya akan datang akan berlaku perubahan yang lebih besar lagi sehingga ke peringkat Persekutuan.
57. Semoga segala ikhtiar kita membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
0 Comments