Majlis Perasmian Pameran SG4 Sempena Karnival Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2026

 

Alhamdulillah kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama pada hari ini dalam suatu majlis bersempena dengan Muktamar PAS pusat di Kota Bharu.

Pameran yang saya percaya ada pada hari ini bukan sekadar ruang untuk memperkenalkan syarikat, produk atau perkhidmatan dan pencapaian negeri masing-masing. Ianya lebih untuk menggambarkan bahawa potensi besar yang boleh dibangunkan apabila negeri-negeri SG4 dapat bergerak secara bersama, berkongsi kekuatan dan membina sinergi ekonomi.

SG4 mempunyai kekuatan yang tersendiri. Kita mempunyai pelbagai sumber asli, pertanian dan agro-makanan, industri, tenaga, pelancongan, pembangunan hartanah, ekonomi digital serta modal insan yang besar.

Persoalannya ialah bagaimana kekuatan ini dapat kita gabungkan sehingga menghasilkan nilai ekonomi yang lebih besar untuk negeri dan rakyat yang boleh menjadi contoh ke seluruh negara.

Apa yang kita mahu ialah GLC di negeri-negeri SG4 dapat melihat bahawa mereka bukan sekadar menjadi entiti milik kerajaan negeri semata-mata. Bahkan GLC ini mestilah menjadi pemacu kepada pertumbuhan, mencipta peluang pekerjaan, peneraju pelaburan dan pembuka peluang ekonomi kepada rakyat serta usahawan tempatan.

Sebab itu ada tiga perkara yang saya ingin tekankan secara ringkas kepada semua. 

Yang pertama ialah bahawa GLC mesti berprestasi dan profesional kerana kita mahu syarikat yang kukuh mempunyai tatakelola yang baik, telus, berintegriti dan mampu bersaing. Kejayaan GLC akhirnya mesti boleh diukur melalui manfaat yang kembali kepada negeri dan rakyat.

Kedua, GLC negeri-negeri SG4 mesti memperbanyakkan kerjasama di antara satu sama lain. Kita tidak boleh lagi bergerak secara silo di negeri masing-masing sahaja kerana masing-masing negeri dan GLC ada kekuatan yang tersendiri yang boleh dimanfaatkan dan jika melakukan kerjasama ianya akan memberi kekuatan yang luar biasa.

Dan yang ketiga, semua GLC yang berada di SG4 termasuklah syarikat-syarikat yang bukan GLC, syarikat-syarikat usahawan tempatan di negeri SG4 mestilah keluar daripada sempadan negeri masing-masing. Kita mestilah mempunyai cita-cita untuk memasuki pasaran nasional, serantau dan antarabangsa.

Ini yang kita boleh buktikan bahawa negeri-negeri SG4 ini bukan sahaja kita boleh mentadbirnya secara baik tetapi juga mampu melahirkan institusi ekonomi yang cekap, berdaya saing dan diyakini oleh para pelabur.

Akhirnya saya berseru kepada semua supaya kita dapat mengambil peluang yang sangat baik pada hari ini untuk sama-sama meningkatkan ruang kerjasama dan membuka ruang dan peluang yang lebih besar di hadapan. Insha-Allah.

Dengan membaca lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pameran GLC Negeri-negeri SG4 sempena dengan muktamar tahunan PAS pada hari ini. Sekian.

Post a Comment

0 Comments