Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2026

 

Alhamdulillah, pada pagi ini kita dapat hadir dalam majlis yang sangat istimewa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman bagi tahun 2026. 

Tahniah setinggi-tinggi kita sama-sama ucapkan kepada penerima, 60 orang penerima sekejap nanti dan sudah tentu ianya adalah berasaskan kepada dedikasi dan kerja yang telah dilaksanakan. Terima kasih kepada bahagian pengurusan sumber manusia, pejabat sosial kerajaan negeri serta seluruh urusetia dan semua pihak yang menjayakan majlis pada hari ini.

Sudah tentu pengiktirafan kepada penerima ini adalah merupakan penghargaan setinggi-tingginya daripada pihak kerajaan terhadap segala bentuk disiplin dan komitmen yang diberikan dalam melaksanakan tugas.

Apa yang penting ialah kepada para penerima dan kepada seluruh jentera pentadbiran kerajaan bahawa kita berada disini adalah sebagai sebuah keluarga. Masing-masing ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang berbeza-beza seumpama kita mengadakan kenduri di kampung. Ada orang bertugas koyok bawang, potong daging, pergi cari kuali, tukang masak, tukang sembelih lembu, tukang lapoh, tukang jadi badut pun ada, tukang duduk sambil minum air menceriakan suasana orang duduk di dapur, orang duduk di tanah, macam-macam orang dengan peranan masing-masing.  Tidak ada di kalangan mereka yang boleh mendakwa bahawa gulai yang sedap ini dia yang masak seorang. Masing-masing ada peranan masing-masing. Kalau tidak ada orang yang pergi beli garam atau gula atau rempah yang bagus, marilah tukang masak macam mana pun, rempah beli hok cap ayam, contohnya lah, maka seluruh yang menjalankan kerja pada hari itu akan terkesan. 

Kejayaan itu adalah kejayaan semua yang memainkan peranan walaupun sekecil-kecil peranan mereka dimainkan. Itulah maksud saya sebagai sebuah keluarga, masing-masing ada peranan masing-masing, ada yang bertugas di pejabat, ada yang bertugas di luar, ada yang bertugas kacau air, hantar surat, semuanya penting. Kalau tak ada orang, ni zaman ni mungkin surat tak banyak lah, kita bayangkan zaman ada surat ni kalau tak ada orang tukang hantar surat, tentulah kerja tak jalan atau kalau dia lambat-lambat, hantar surat kerja yang sepatutnya efisien, cekap tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. 

Oleh kerana setiap di antara kita ini ada peranan masing-masing, yang saya kira sama penting, tak kiralah apa kategori jawatan. Tak boleh, MB kata dia penting tak ada dia, tak jadi tak jalan kerja, tak boleh tak boleh EXCO kata demikian dan tidak boleh sesiapa juga menyatakan hal demikian. Kita kena anggap bahawa semua orang ada maruah, ada tugas yang mereka perlu laksanakan dan menyumbang kepada seluruh kejayaan yang kita capai terutamanya khusus di Negeri Terengganu ini. 

Saya masih ingat masa zaman belajar dululah, masa belajar masa dekat England, saya bekerja sebagai cleaner- tukang cuci di beberapa tempat sepanjang pengajian, masa buat masters dan buat PhD. Ada tempat yang saya kerja di showroom kereta, tukang kutip sampah, cleaner, kita panggil cleaner, zaman sekarang ini orang panggil floor engineer, tak apalah saya kerja di garaj kereta membersihkan garaj kereta saya bekerja di bangunan sekolah, membersihkan kutip sampah dalam dustbin itu dan bekerja di pejabat peguam yang salah satu one of the biggest law firm dekat Midland, United Kingdom. Walaupun kita bekerja pakai baju, tulis pakai baju t-shirt yang bertulis nama syarikat cleaning logistic, nama syarikat masa saya bekerja sebagai cleaner part time. 

Kita jumpa ramai orang para peguam di syarikat guaman yang terbesar di United Kingdom, sebagai cleaner, kutip sampah depan dia, clearkan meja dia sepanjang perbualan yang saya hadap bersama dengan para professional, peguam-peguam yang tersohor ini, tidak pernah mereka melihat dan memandang saya sebagai cleaner ini, sebagai kaki tangan bawahan. Mereka anggap macam kawan, cara bercakap macam kawan, tanya macam kawan dan itu memberi satu gambaran bahawa kerja adalah tugas masing-masing, yang masing-masing ada peranan tak kira lah, saya sebut tadi di garaj kereta, di sekolah mereka yang bertugas di sana. 

Apa juga jawatan mereka sekalipun, bila lihat kita sebagai cleaner, pegang vacuum, tolak nak vacuum lantai, dan pernah saya bekerja sebagai lap chrome di shopping mall, tak pernah mereka yang shop owner ataupun pekerja mereka yang melihat kita itu pandang sebelah mata, sebagaimana setengah kita sekarang ini. Mungkin bila kita tengok orang bangla kerja, kita rasa semacam. Tidak, tak pernah saya fikir bahawa mereka melihat kita sebagai second class individual, tapi kawan yang mereka bercakap, tanya tentang normal keadaan yang berbeza, yang normal itu yang saya sebut sebagai memberi gambaran bahawa itulah kehidupan. 

Masing-masing tak boleh potong bawang belaka, 20 orang yang buat kerja di kenduri kawin itu, pakat nak potong bawang belaka ataupun pakat nak buat air belaka atau pakat nak sembelih belaka, tak boleh. Ada pembahagian masing-masing sebagaimana kita hari ini, ada pembahagian, atas sama ada kategori atas, kategori bawah, itu adalah kategori semata-mata, tetapi peranan masing-masing adalah sangat penting saya sebut begini kerana kita di Terengganu ini ada keunikan tersendiri berbanding dengan setengah-setengah negeri dalam civil servant ini kita control sendiri, setengah negeri macam polis, negeri 9 sebahagian mereka adalah federal officer, PTD bila kita atur sendiri, maka kita ada ruang-ruang yang tertentu untuk kita bina kekuatan anggota pentadbiran pelbagai bidang daripada bawah sampai ke atas. 

Dan tentunya dalam melaksanakan tugas pada zaman sekarang ini, zaman sosial media yang sangat komplek ini, yang menjadi buruan ataupun hentaman oleh pihak di luar rakyat kita, yang perlu kita tangani ini terkena pada semua orang. Bukan dia tuju pada MB masing-masing, ada silap bertugas di kaunter sikit kena hentam, orang ambil viral, sebagainya yang terjadi kepada AKPS ketua pengarah.  Itulah kita tak dapat lari daripada keadaan dan tentunya sepanjang kita bekerja, dari satu aspek kita melihat kita ingin kecekapan dan yang terbaik delivery yang terbaik. Tapi dalam masa yang sama, saya percaya ada aspek-aspek individu; kesihatan fikiran, kesejahteraan mental, perlu juga kita sama-sama tangani. Sebab itu, saya percaya mungkin telah dilaksanakan oleh pentadbiran oleh SS dan seluruh anggota utama untuk melihat anak-anak buah yang bekerja di bawah ini dari segi kesejahteraan nak sebut mental rasa macam berat, kesejahteraan minda, stress, apa lagi; koyak, tension, tension tu bukan kerja saja, macam-macam, kerja, hal kehidupan, tension, hal anak isteri pun tension. 

Kita sebagai keluarga inilah yang mainkan peranan untuk sama-sama membantu. Kepimpinan anggota pentadbiran kena teliti dan lihat anak-anak buah, siapa-siapa yang kita rasa macam, ini macam lain macam je kerja ni, tak macam biasa, stres barang kali, tak kiralah apa sebab, cuba tangani dan mungkin buat pendekatan dengan unit-unit tertentu untuk menangani stres di tempat kerja.

Sesetengah syarikat yang besar, mereka ada unit yang khusus menangani stres di tempat kerja. Suasana 20 tahun, 30 tahun dahulu berbeza dengan suasana sekarang ni, mungkin 20 tahun dulu kita dengar cerita daripada mantan PKN, mantan SS dia cerita bila jumpa dengan SS yang lama-lama, baling fail tu biasa, kena maki, kena marah, biasa tapi zaman sekarang ni dia jadi luar biasa. Sama ada kita tak suka, tak suka itu cerita lain itu perbahasan yang kedua tapi mungkin kita selalu sebut zaman dulu boleh je kita stres sampai begitu. Zaman sekarang ni oleh kerana suasana yang berbeza kita kena tangani stres di tempat kerja dengan sepenuhnya, supaya akhirnya semua anggota keluarga besar ni, saya panggil keluarga besar ni dapat bekerja dengan tenang dan baik. 

Kita tak anggap apa yang hanya kita buat di tempat kerja adalah tanggungjawab kita, bahkan apa yang diluar di tempat kerja sekiranya memberi gangguan kepada kerja ia juga tanggungjawab kita terutama ketua-ketua jabatan yang hadir di sini.

Saya berharap majlis APC pada hari ini menjadi dorongan kepada semua untuk terus mencari kecemerlangan. Dan sebagaimana yang saya saya sebut, kalau kita ada lima ribu orang, sepuluh ribu orang kakitangan, takkan adanya sepuluh sampai lima ribu semua dapat cemerlang, kena pilih, tak dapat tahun ni kita cuba pula tahun depan. Kerana itulah cara dan kaedahnya siapa yang tak dapat lagi itu, jangan kecil hati, terus berusaha insha-Allah, sampai waktu akan dapat juga. 

Semoga segala usaha tuan-tuan daripada yang kecil sampai yang sebesar-besar tanggungjawab ini diterima sebagai amal soleh serta diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya oleh Allah SWT.  

Saya ada baca buku former Diplomat British. Diplomat yang menceritakan tentang suasana civil servant di negara yang menjadi kuasa besar, kuasa veto dunia di UK. Sebenarnya bila kita teliti apa yang berlaku dalaman anggota pentadbiran, daripada atas sampai ke bawah, suasana stres di tempat kerja lebih teruk daripada kita. Cuma mereka pandai susuk, istilah kita. Jadi oleh karena itu, marilah sama-sama kita bekerja dan menganggap semua yang ada ini adalah adik-beradik kita, yang sama-sama kita bekerja together. 

Bersama kita semua insha-Allah kita mampu untuk melahirkan Negeri Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera selaras dengan penghayatan “Baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur’. Semoga segala usaha kita ini diberkati oleh Allah SWT dan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2026. Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Post a Comment

0 Comments